Sabtu, Januari 31

satu rasa yang pernah berkuasa

Malam ini sudah malam ketiga karya aku dipentaskan bersama karya - karya teman lain. Tapi malam ini rasanya sedikit lain, detik hatinya sedikit sayu, pergerakkan mindaku sedikit layu. Macam - macam feedback yang aku terima baik pujian serta kritikan. Aku tersenyum walau hati masih tidak gembira sepuasnya.

Banyak yang aku lalui untuk menghasilkan karya yang dilintaskan beberapa minit sahaja di mata penonton ini. Tercetusnya karya ini bukan datang dari minda atau pemikiran, tetapi lebih dari hati. Perjalanan sebelum ini.

"Teruk" nama karyaku ini memang berasal usul dari cebisan hati aku dan suara dalaman. Ia lebih personal. Terlalu rapat dengan diriku. Aku tidak memberatkan pada penceritaan langsung kerana aku mahu cuba bermain dengan elemen yang lain. Kerana itu aku tulis sesimple yang mungkin dan lebih straight forward. Karya aku ini lebih menelitikan rasa dan mood. Walau tidak sebiji seperti yang aku rasa, tetapi aku cuba untuk menghampirkannya.

Hari ini, dari siang tadi, sepertinya rasa itu kembali lagi. Mengganggu seperti hantu. Aku cuba untuk tidak mengaku tetapi hatiku tidak menipu. Berjalan aku seorang melangkah anak - anak tangga kedai buku di Dewan Bahasa dan Pustaka. Satu buku puisi aku jadikan milikku dengan sah. Hanya untuk lari dari diganggu.

Dengan menghasilkan karya bersifat peribadi, semestinya membuatkan aku terngiang lagi. Memang rasa itu tidak ada lagi, tapi dalam tempoh pementasan cerita ni, aku tak dapat lari.

Selesai pementasan malam ini, aku keluar merokok sambil berbual berdiri mendengar suara pandangan penonton. Sutradara filem pertama lakonanku, hadir kedua - duanya. Tahniah dan good job kata mereka. Panjang kami bualkan dan kemudian entah dari mana, salah seorang dari mereka bertanya.

"I can feel you. Sakit ya?"

Aku mengangguk dan berkata, "Awal - awal dulu, sekarang tak lagi".

Seterusnya dari dia, "That bad ar Bob?". Aku diam beberapa saat sebelum tersenyum dan memberi riak muka 'ya'.

Bahuku ditepuk untuk mengalirkan semangat darinya. Kemudian datang junior aku dari ASK, memberi respond yang lain.

Bob, Qila kenal Bob.
Qila tahu cerita Bob sebelum ni.
Bila Qila tengok, Qila diam.
Qila tak tahu nak cakap apa.
Qila rasa.

Sampai situ sahaja fikiran aku termampu untuk berfikir kerana seluruh malam ini aku disarungi lagi rasa sial ini. Teater Kompilasi Volume 1 tinggal 3 pementasan lagi. Malam Sabtu, Ahad petang dan malam.

Aku cuma mahu berkongsi, walau ada mereka yang terkait sekali dengan pengalaman peribadi. Aku tulis bukan untuk jadi bagus, atau berlumba dengan sesiapa tapi aku cuma mahu lepaskan diri dan berkongsi.

Aku mahu berhenti membenci.

Setiap karya dalam teater ini akan dimulakan dengan lagu pendek. Liriknya ditulis oleh pengarahnya sendiri dan ini lirik yang aku tulis untuk lagu yang dicipta untuk cerita "Teruk".

Lakukan apa yang termampu,
Lakukan apa yang terlintas,
Lakukan apa yang terdetik,

Selagi ada di tangan,
Asalkan tidak melanggar garis batasan,

Bukan semua nasi habis dimakan,
Bukan semua perlawanan habis dengan kemenangan,
Bukan semua kehidupan berakhir dengan kebahagian.

Dan puisi yang terdapat dalam karya aku ini juga ditulis oleh aku sendiri sebelum ini. Pada yang pernah membacanya akan mengenalinya. Pada yang tidak, ini puisinya.

Dia kata & Aku Kata.

Jumaat, Januari 30

Fatihah untuk Samoza

Aku dapat berita petang tadi yang SAMOZA atau nama penuhnya Sabri Mohd Zain, seorang penulis telah meninggal dunia.

Mungkin ramai yang tak kenal beliau. Samoza antara batch pertama ASK semenjak dibuka dulu. Aku pun bila masuk ASK dulu barulah kenal namanya. Ada beberapa kali aku menghilangkan diri ke perpustakaan ASK dan terbaca beberapa karya terjemahannya. Ya, beliau banyak menterjemahkan karya dari bahasa lain ke Bahasa Melayu. Terjemahan beliau banyak membantu proses pembelajaran aku sewaktu sedang belajar dulu.

Untuk arwah, aku pinjam 3 minit korang untuk sedekahkan Al - Fatihah.

Kepada kawan - kawan yang kita suka yang beragama Buddha, kalau tidak terlambat aku ucapkan Selamat Tahun Baru Cina!

Isnin, Januari 26

Interview - Teater Kompilasi Volume I

Sedikit video temubual dengan Nam Ron dan Fared Ayam mengenai Projek KoKEN : Teater Kompilasi Volume I.

Tontonlah!


Jumaat, Januari 23

tahun yang berulang

Kalau budak - budak ni tak nyanyi lagu birthday pukul 11.50malam semalam, rasanya sampai ke rumah aku terlupa ulangtahun aku semalam.

Ah, kepala otak aku memang susah nak dibelah bahagikan.

Terima kasih pada kawan - kawan yang kita suka yang memberi ucap selamat. Harap - harap ucapan panjang umur, murah rezeki semua tu, menjadi kenyataan. Takpa, memang aku tengah berusaha nak jadikan semua tu kenyataan. Kecuali ajal.

Ada masa percuma, insyaAllah aku balas ucapan tu semua. Buat masa sekarang, aku memang tak menang tangan.

Buat masa ini, otak aku takda ruang untuk menconteng disini. Maaflah semuanya. Tinggal 3 hari lagi sebelum pementasan Teater Kompilasi Volume 1. Itu yang membuatkan masa tidur aku dah terbalik, masa makan aku tunggang langgang, dan masa mandi aku...

Masa mandi masih tepat.

3 hari sebelum pementasan teater, biasanya waktu - waktu inilah paling banyak bertikam lidah, argue, tarik - tarik rambut, masam - masam muka, cadangan & bantahan dan segala bagai.

Tapi itulah cara kerja yang sihat. Biarpun bergaduh bagai nak rak janji tujuannya bagus, iaitu untuk mencapai sesuatu keputusan bagi menghasilkan produk berkualiti.

Kawan - kawan yang kita suka, jangan lupa datang menonton Teater Kompilasi Volume 1! Dan kalau boleh sebarkan perkara ini. Copy paste lah poster ini di blog - blog atau di mana - mana yang kau suka. Tindakan itu aku dulukan dengan ucapan terima kasih.

p/s : Syukur, usiaku bertambah setahun lagi. Cecah 25 tahun, hari ini aku masih lagi naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembahkan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruhNya.

Isnin, Januari 12

Teater Kompilasi Vol 1

Kalau kau mahu teater muzikal di Istana Budaya, ini bukan entrinya.

Ini teater yang pernah aku bualkan. Tak ingat dengan siapa, bila dan dimana, tapi yang aku ingat aku pernah bualkan tentang perkara ini. Samada secara online atau face to face, aku tak ingat.

Teater yang akan kitaorang pentaskan ini ada 4 cerita, 4 pengarah dan penulis. Aku salah seorang daripada pengarah dan penulisnya. Tajuk teater ini ialah Teater Kompilasi Vol 1. Tema bagi teater ini ialah KUASA. Jadi, keempat - empat karya ini mempunyai cerita yang berkaitan dengan kuasa. Kuasa dari segi apa?

Kalau mahu tahu lanjut, boleh selongkar Facebook anda dan cari "Teater Kompilasi".

Selebihnya ada dibawah. Kawan - kawan yang kita suka, percumakan masa anda dan datanglah tonton teater yang dibikin oleh "orang muda yang tidak stabil tetapi tetap ingin berteater".

Projek KoKEN : Teater Kompilasi Vol 1


Tag Line : 4 Kes – 1 Motif

28 JAN – 1 FEB 2009
8.30 malam (28 Jan – 31 Jan)
3 petang dan 8.30 malam (1 Feb)

Stor Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur

Tiket : Melalui sumbangan minimum RM 20.00

http://rumahanakteater.blogspot.com

Pengarah dan Penulis Skrip
ZAHIRIL ADZIM
FARED AYAM
KHAIRUNAZWAN
KHAIRIL RIDZUAN

Pelakon
AMERUL AFFENDI
INTAN DIYANA
SHERRY
KE'EN

Pengarah Artistik
NAM RON

Sinografer
YUSMAN MOKHTAR

Pengarah Muzik
INDRA

Dramaturge
MOIZZIS R.CONG

Sabtu, Januari 10

berani mati - vitamin

Yang aku tonton hari ini.

Kawan - kawan yang kita suka, kalau senang pergi lah tonton ya?
Keterangan lanjut di poster.

Cali, sorry wa lupa nak tolong taruk poster lu kat sini. Tiba - tiba hari ni baru teringat lu mintak tolong promote itu hari. Aiseh, sorry beb.

p/s: Ada penonton hari ini yang tiba - tiba cakap pasal isu ketenteraman awam????
Itu lawak paling kelakar hari ni. Haha! Dengan jawatan lu, dengan kelulusan lu, memang buat jadi lagi lawak.

Heysh... Apa benda lah lu ni....

Ahad, Januari 4

perempuan merokok itu perempuan jahat

Imej perempuan merokok selalu dikaitkan dengan imej negatif.

Ye ke?

Hari tu aku menikmati teh tarik dengan seorang kawan perempuan berbangsa Cina yang juga perokok. Katanya, mak dia masih tak tahu yang dia merokok. Umurnya sudah hampir menjangkau 30 tahun dan bekerja sendiri. Dalam kata lain, rokok yang disedutnya adalah hasil dari duit gajinya.

Aku tanya kenapa tak beritahu sahaja? Kau sudah tua.

Jawab dia, bukan mak dia sahaja. Tetapi sebahagian masyarakat di kampungnya pun ada tanggapan yang sama iaitu;

Perempuan merokok adalah perempuan jahat.

Aku gelak kecil sambil tersembur teh tarik mengalir celah gigi. Aku tanya, orang Cina pun fikir sama dengan orang Melayu kan? Maknanya hampir tepatlah apa yang pernah aku bincangkan dalam kelas dulu.

Bukan masalah mentaliti bangsa, tetapi masalah mentaliti masyarakat Malaysia.

Sebenarnya masyarakat telah disogok dengan imej "perempuan merokok adalah perempuan jahat" melalui televisyen. Kita banyak dididik oleh apa - apa drama yang ada watak pelacur, GRO dan sebagainya. Watak - watak itu kebanyakkannya merokok.

Jadi terpalit sampai sekarang imej tu dalam kepala masyarakat kita.

Zaman nenek moyang kita dulu, memang golongan wanita yang bekerja sebagai GRO atau pelacur selalunya merokok. Kalau tak silap aku, kawan aku pernah bagitahu, kalau nak diikutkan sejarah, pengguna tembakau yang paling banyak zaman dulu ialah pelacur atau GRO. Aku pun dah tak berapa ingat sejarah tembakau yang pernah kawan aku ceritakan.

Abaikan dulu. Atau kalau rajin, google.

Sampai hari ini, masih ada lagi mentaliti sesetengah orang yang langsung tak boleh terima imej ini sebab terlalu banyak menonton fiksyen. Biasanya orang - orang seperti ini akan menggunakan alasan perempuan merokok bukan budaya orang timur. Dan apa pula definisi atau kriteria orang timur? Tentunya mereka tidak ada fakta dan teori yang kukuh untuk menjawab soalan ini. Cuma gosip liar sahaja. Alasan itu selalunya digunakan sebagai escapism atau kata lain, lari dari menjawab soalan. Sekali lagi, terlalu banyak menonton fiksyen (TV). Tapi kalau lelaki merokok boleh bertoleransi pulak?

Atau mungkin tidak. Bergantung kepada kapasiti minda diaorang.

Untuk tidak lari jauh dari topik, aku tidak mahu menulis dari sudut agama. Sebab ini cerita tentang 'imej di mata masyarakat' ya? Bukan cerita tentang fatwa pasal rokok. Lagipun, dah berkali aku pesan supaya kita tidak terkeliru antara agama Allah dan agama yang dipolitikkan di Malaysia.

Dari sudut kesihatan, memanglah merokok itu mendatangkan seribu penyakit. Tak kisah samada laki atau perempuan. Oleh itu, kalau dari sudut kesihatan, memang tidak relevan dengan topik aku ni.

Perempuan selalu dikaitkan dengan imej lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa, pertuturan yang cermat dan sebagainya. Tetapi, entah dari mana pulak datangnya pemikiran perempuan merokok itu tidak lemah lembut? Rokok dan sopan santun tidak boleh bersatu kah?

Ada perempuan yang merokok tetapi sopan santunnya lebih molek dari yang lain.

Kalau nak dikutkan, banyak imej - imej fiksyen liar seperti ni telah diserapkan dalam mentaliti masyarakat kita. Semuanya dipengaruhi oleh TV. Antara contoh yang popular ialah:

1)Perempuan merokok itu perempuan jahat.

2)Lelaki rambut panjang adalah penagih dadah, penyangak dan sebagainya (pilih mana yang senang sebut)

Imej - imej fiksyen bayangan pengarah dari zaman Maria Mariana atau sebelumnya ini, telah berkali - kali digunapakai. Dari situlah datangnya pendidikan tentang imej - imej yang kononnya negatif ini. Kalau zaman Geisha dulu memang kebanyakkan perempuan merokok itu kerjanya tidak molek, tapi hari ini?

Relevan lagi kah?

Hari ini, adakah semua perempuan merokok itu jahat? Adakah semua lelaki berambut panjang itu penyangak?

Kawan - kawan yang kita suka jawab sendiri.

Pesongan kata:
Jangan amik ini sebagai alasan untuk merokok. Kalau tanya aku, merokok tidak bagus untuk ekonomi anda. Ini pesanan dari seorang perokok yang sedang mencari cahaya untuk berhenti.

Had umur untuk merokok ialah 18 tahun ke atas. Jangan buat - buat lupa.