Jumaat, Februari 27

di tengah kota orang

Seringkali aku tergambarkan diri aku di tengah - tengah kotaraya bukan di Kuala Lumpur apatah lagi di Malaysia. Di negara orang maksudnya.

Menilau mencari jalan untuk mengisi perut yang kelaparan sambil menimba ilmu tentang kehidupan. Waktu itu, aku sedang dikelilingi oleh manusia - manusia negara itu yang sedang pantas mengejar masa bekerja. Waktu itu juga, bahasa menjadi penghalang untuk aku berkomunikasi. Tinggal aku dan kreativiti ku untuk terus bertahan meneruskan kehidupan.

Mungkin. Mungkin suatu hari nanti aku akan tinggalkan apa yang aku ada sekarang dan mula berjalan seorangan melihat dan merasa kesusahan di suatu tempat yang baru yakni bukan tempat aku.

Tapi aku masih lagi tidak tahu apakah maksud sebenar gambaran itu. Berkali - kali aku terbayangkan aku di situ, berkali - kali aku merasakan akhirnya aku di situ. Aku masih lagi mencari apa, kenapa, bagaimana, siapa dan di mana..

Kerana hari ni, pujian boleh melalaikan, keselesaan, tanpa sedar boleh menghanyutkan...

Aku tidak mahu terlalu selesa.

Photo by Khairil M Bahar
Ghost 2 (Coming Soon)


p/s: Aku mahu tulis lebih panjang lagi tentang ini sebenarnya.

Ahad, Februari 22

menghitung kebodohanmu

WAH! Terlalu banyak kebodohan mu, sampai tak terhitung aku!

Aku hanya mampu tertawa kecil sambil mendengar dan memerhati. Buatlah selagi kamu fikir kamu sahaja yang betul. Tundinglah pada sesiapa kecuali kamu. Hukumlah sesiapa kecuali puak - puak mu.

Oleh itu, aku cadangkan lebih baik kau jadi Tuhan sahaja.

Aku teringat kata - kata yang dilemparkan Sani Sudin pada pertemuan tempoh hari.

"Adakala kita kena buat - buat bodoh, untuk menimba ilmu".

Bila aku kaitkan barisan kata itu dengan waktu ini, Oh, sekali lagi aku tertawa..

Ahad, Februari 15

soalan kubur

Dalam kubur nanti, akan datang dua malaikat untuk bertanyakan beberapa soalan tentang amalan kita di dunia.

Dan tidak akan ada satu pun soalan tentang Melayu dan Ketuanannya ya..

Jadi tak perlulah kecoh - kecoh hari ini. Terima kasih.


Rabu, Februari 11

tulis untuk tidur

Berkepul - kepul asap rokok naik dari ashtray yang penuh puntung ke ruang udara dalam bilik aku. Cahaya dari lampu tidur memancar suram gelapnya bilik aku yang seperti bekas tapak pasar malam. Berselerak terbiarnya.

Aku tak dapat tidur malam ini.

Mataku tidak mahu pejam seperti biasa. Minda ini tidak mahu berhenti bekerja seketika. Berguling - guling, beratus - beratus darjah sudah ku pusing. Sudah puas ku pujuk diri. Tidak mahu juga.

Lalu aku bangun. Nikotin dan kafein berlawan - lawan memasuki tubuhku. Mereka sebati, dari dulu lagi. Aku bangun kerana benar - benar tidak terpejam mataku mengundang tidur. Aduhh.. Aku bingung soal kerja lagi. Mindaku terus berfikir, tetapi tidak banyak yang aku catatkan. Aku percaya ramai manusia sepertiku, otak mereka laju berfikir, tetapi hanya secebis yang mampu dinyatasuarakan. Takpalah, lupakan itu.

Lihat!

Tadinya sebelum jari jemari ini mengatuk papan kekunci, berbuah - buah perkataan yang mahu aku turunkan ke sini. Nyata sekarang telah kabur terhilangnya sendiri. Waktu ini aku hanya mahu menulis untuk tidur.

Aku mahu tidur..

Nah, tak boleh juga. Orang tiada kerja jadi bingung, aku yang terlebih kerja juga bingung. Dua jam yang lepas, aku baru mengatur jadual kerjaku yang telah bikin semak otak aku seperti seluruh bilikku ini. Banyak semuanya. Ke sana kemari. Ke depan ke belakang dan ke kiri ke kanan. Hujung minggu ini aku mula menembak semula. Kali ini tidak kenal rehat lagi sehingga bulan April lamanya. Lanjutan itu pula, lain kerja yang menunggu di ruang masa yang berbeza.

Aku yang telah meletakkan jiwa pada kerja dan kerjaya, bertitik mula dari keinginan yang disaluti kesungguhan. Apa yang aku lakukan hari ini adalah apa yang aku inginkan 5 tahun lepas dengan cebisan hati hancur yang dikutip semula lalu aku bawa lari ke hari ini. Aku pada masa itu jauh sekali dari aku pada hari ini. Yang menolak aku ke hari ini adalah kekecewaan. Jadi, siapa kata kekecewaan itu hanya berakhir dengan kehancuran?

Tidak. Jika ia diheret ke ruang baru yang lebih positif.

Sekali lagi aku cuba untuk pujuk diri agar menyambut kepenatan yang membutuhkan?

TIDUR...

Selamat malam seluruh hamba.

Selasa, Februari 3

dua perkataan yang berharga

Terima kasih adalah dua perkataan yang selalu diucapkan. Walau berbeza intonasinya, durasinya, lenggoknya tapi nilainya sama mahal pada yang benar - benar jujur mengucapkannya.


Dengan rendah diri menunduk ke bumi atas nama hamba Yang Berkuasa, menghargai setiap sokongan, budi dan jasa dengan perkataan TERIMA KASIH dari kami

RUMAH ANAK TEATER