Ahad, Januari 30

sebenarnya John tak hilangkan Johan

Orang kampung kata dia kena samun. Tapi tak pulak sapa - sapa nampak. Ditanyakan pada budak - budak simpang dengan gitar tong tu, diaorang cakap, kami memang sampai 4 pagi tiap - tiap hari dekat sini tok, tapi takda pulak dengar orang menjerit atau nampak kelibat orang kena samun.

Itu diaorang cakap.

Biasalah, mesti ada batch - batch lama (baca: otaimer) kampung ini yang tak setuju. Kata diaorang pulak, boleh caya ke cakap budak - budak simpang tu. Mengaku balik pukul 4 pagi pun dah susah nak percaya. Pandai pulak diaorang tengok jam hari - hari?!

Oh, kalau nak cerita busuk hati masing - masing orang kampung ni, memang tak settle masalah sebenar. Baik kita biarkan je. Tok Ketua dah mula pening. Meja makan yang baru je bertukar jadi meja mesyuarat dekat Warong Pak Shah dah mula diketuk - ketuk orang kampung.

Kecoh.

Baik, Baik! Tok Ketua meninggikan sedikit suaranya dengan harapan dapat mencantas kekecohan itu. Saya rasa si John ni tak kena samun. Mungk... Belum sempat Tok Ketua habiskan ayat nya, muncul suara yang lebih kuat menyampuk dengan amarah.

"Panggil je lah Johan! Dah itukan nama dia! Benda ni pun jadi pasal dia tukar nama dia lah tu!"

Makin kecoh. Ramai yang setuju. Tok Ketua tarik nafas dalam - dalam. Ok, ok, Tok ketua sambung, saya rasa budak Johan ni tak kena samun, mungkin tercicir mana - mana. Dia pun jarang ada dekat rumah, ye tak? Tok Ketua cuba mencadangkan orang kampung untuk tukar sudut pemikiran.

Hmm. Terdiam kejap.

Bunyi bisikan pulak sekarang. Bisikan yang banyak sesama sendiri. Macam nak bersuara, tapi seorang pun tak jelaskan suara masing - masing. Semua tahu berbisik je. Dalam bisikan tu macam - macam pendapat keluar. Kalau betul kau rasa pendapat kau betul, kenapa tak cakap kuat - kuat? Kenapa berbisik?

Di sudut kiri Warong Pak Shah, area belakang - belakang sikit, Nazim bangun. Dia nak bersuara. Nazim ni perangai dia suka bersuara tentang benda yang orang semua dah fikir. Benda logik. Kadang - kadang tak payah disuarakan pun, dah memang ada dalam kepala otak semua orang. Tapi, disebabkan semua orang tengah berbisik dan takda seorang pun bangun, Nazim pun rasa dia lah anak muda yang patut dicontohi sebab ada idea waktu - waktu getir macam ni.

Tok, perkara yang hilang ni, bukan benda main - main.

Orang kampung senyap, menoleh ke arah Nazim. Bila biji mata orang kampung dapat tangkap je suara tu datang dari Nazim, secara automatiknya otot muka orang kampung terus menggerakkan ekspresi muka menyampah khas buat Nazim. Belia kampung seluar track. Nazim tak pernah makan saman. Dia tak pernah sensitif pun dengan keadaan sekeliling. Sikit pun dia tak rasa aura negatif dari orang kampung yang hadir pada malam tu, terutamanya aura dari si Pian yang jenis terang - terang tunjuk muka tak suka dekat dia. Nazim sambung.

Kalau nak cari balik pun, susah. Sekali hilang, memang akan hilang terus. Kebanyakkan macam tu tok. Kalau jumpa balik pun, satu dalam seribu je.

Aduh, ini semua orang tahu kot! Sebab tu lah orang kampung sanggup berjaga malam datang kat warong ni. Nak bincang. Pasal benda ni bukan main - main. Kalau benda ni tak serius sangat, Mak Mala dah lama hantar Pak Ajib sebagai wakil. Mak Mala boleh duduk rumah tidurkan anak.

Menyirap je Black tengok Nazim dari atas motor dia. Konon - konon mat genius lah si Nazim ni.

Tok Ketua pun perasan yang semua orang depan dia sekarang ni macam tunggu time je nak baling kerusi dekat Nazim. Jadi dia pun cepat - cepat keluar satu kata putus supaya benda tak elok jadi.

Dekat Nazim.

Macam ni lah ya, kata Tok Ketua. Kita bersurai malam ini. Jangan ada sesiapa keluar dari kampung sepanjang minggu ni. Sebab perkara ni melibatkan nama kampung kita jugak! Jadi bagilah kerjasama. Dan juga, jangan benarkan orang luar masuk ke kampung kita sementara waktu kita mencari benda ni. Kalau ada sesiapa yang terjumpa, terus hubungi saya dengan secepat mungkin. Ok? Kita bersurai. Assalamualaikum.

Nak taknak, penduduk kampung pun dengan berat hati bersetuju sambil menyeret selipar masing - masing pulang ke rumah. Waktu penduduk kampung bergerak menuju ke motorsikal dan kereta masing - masing, Ajak yang dari tadi macam blur tentang mesyuarat ini menepuk bahu Epul dari belakang.

Epul! Panggil Ajak. Ajak jaga volume suaranya. Tidak terlalu kuat. Bila Epul dengar Ajak macam tak berapa nak jerit, tak berapa nak bisik, Epul dah tahu, Ajak mesti ada benda yang agak rahsia nak dikongsikan. Apa? Jawab Epul sambil bergerak ke Ajak. Jawab Ajak,

"Johan tak hilangkan, sebenarnya dia memang dah lupa asal usul dia!"

Foto oleh Sufian Mohamed


Jumaat, Januari 28

bila dapat satu, mesti hilang satu. itu gerenti

Ini bukan perang biasa.

Ini perang besar dalam diri. Perang antara keselesaan dan nikmat yang diterima atas usaha selama ini dengan kesunyian yang pernah menjadi sahabat karib dulu - dulu kala.

Dulu - dulu.

Waktu yang sangat memeritkan, memedihkan. Tapi waktu berkawan dengan kesunyian itulah yang menghasilkan beratus - ratus perkataan. Berbuah - buah pemikiran, layangan pemerhatian. Penerbangan imaginasi yang mengandungi pelbagai dimensi. Setia! Setiap masa, yang hakikatnya adalah satu zon masa yang lebih sesuai, gamaknya.

Tapi itu dulu.

Waktu itu, sudah tanam hajat. Sudah tanam impian. Sudah nekad. Nak keluar dari zon itu. Nak kerja keras, nak usaha lebih. Sekarang lebih selesa. Sudah. Nah, inilah dia impian itu.

Syukur memang lah syukur. Segalanya seperti yang dirancangkan, walaupun perancangan master belum mencapai kejayaan total. Tapi tengah on track untuk ke sana. Masalahnya sekarang ini ialah, bila dah masuk ruang ini habis hilang semua perkataan - perkataan lama. Dah takda bau kejujuran kata. Dah takda bau rasa. Macam pudar, macam hambar. Membosankan.

Dah hilang kesunyian.

Mungkin perlu bersunyi sendiri. Yang bunyi syiling pun tak nak.


Ahad, Januari 23

hari ni jadi entri harijadi

Syukur Alhamdulillah.
Syukur aku layang-terbangkan, sebagai seorang hambaNya.
Aku panjatkan kepadaNya.

Allah S.W.T

Tambah setahun lagi umur aku, dengan izinNya.

Bermakna sudah jadi 27 sekarang. Nombor - nombor yang hampir mencecah 30 puluh ini agak menakutkan. Apatah lagi sebagai seorang jantan. Bermakna juga, tanggungjawab semakin berat, bahu semakin ditekan beban. Mulut sekeliling semakin lantang.

Mak suruh kawin.

Ish, aku dah agak dah. Aku mesti termasuk isu ni jugak. Dah cuba elak dah, starting entri ni je mesti terlajak ke isu ni.

Cukup.

Sebelum apa - apa, aku nak ucapkan ribuan terima kasih. Tak tahu lah macam mana nak ekspres kan penghargaan aku ini dengan perkataan. Penghargaan buat setiap kawan - kawan yang kita suka yang mengucap Selamat Ulangtahun pada aku di Twitter, Facebook dan lain - lain. Jangan kecik hati kalau aku tak balas. Bukan apa, nanti penuh Timeline aku, followers lain menyampah pulak nak baca. Kena faham sikit lah. Terima kasih.

Biasanya aku jarang lah sambut ulangtahun ni. Setakat keluar makan dengan keluarga je. Itu pun dah cukup untuk aku. Entah kenapa memang dari kecik kot, aku rasa birthday ni cuma hari. Hari penambahan umur. Tahun - tahun lepas dah berapa kali aku asyik terlupa pasal birthday sendiri. Kerja punya pasal. Bila otak dah fokus dekat kerja, hidup personal pun aku dah tak pandang.

Tu yang syok tu.

Tapi tahun ni aku terkejut! Terkejut sebab aku orang kejutkan aku! Wah, nasib baik tak pengsan!

Mana ada orang buat kejut - kejut macam ni woh sebelum ni. Bahaya betul. Tak tahu macam mana nak react. Apa pun, aku nak ucapkan terima kasih yang gila babi dekat 'awak'. Awak ni suka kejut - kejutkan orang lah.

Habis dia plan dengan kengkawan, menyorok kat rumah aku. Mak aku pun bersekongkol dengan dia. Elok lah tu.

Thank you so much awak.

Thank you jugak kengkawan tukang kejut. Cis!

Aku harap, apa yang aku rancangkan tahun ini, menjadi semuanya. Walaupun aku tahu bukan semua yang kita rancang akan jadi, tapi biar sekurang - kurangnya kita usaha sampai ia hampir jadi. Jadi?

Siri menulis aku tergendala sementara, kerana terlalu sibuk dengan kerja. Itu yang buat aku murung sikit kebelakangan ini. Minda dah dipenuhi dengan kerja dan jadual. Tapi aku tetap cuba untuk tenang. Sampai dapat. Insyaallah.

Dan 28 haribulan ni, ada projek kat Carrefour Wangsa Maju. Korang dah tahu? Ke nak tunggu next entri?

Selasa, Januari 18

writer's block

"Sekarang ni, aku budget kau siapkan semua tulisan kau hujung Febuari. By April dah boleh release buku kau. Ok? So, jangan lambat - lambat lah!"

*Blackout*

Terduduk aku depan komputer aku ni. Macam biasalah. Termenung pada entah apa yang aku menungkan.

Writer's block!
Writer's block!
Writer's block!

Memang satu apa pun tak keluar.

Tapi memang kena ada orang macam Faisal Mustaffa ni. Kena push. Letak deadline. Kalau tak, tak jalan aku. Tapi memang tak jalan pun. Bukan aku yang tak jalan, otak aku yang taknak jalan! Aku dah cuba, tak boleh mula! Memang stail aku macam ni, payah nak mula. Tapi kalau dah mula tu nanti, Insyaallah, takkan berhenti.

Tapi masalahnya ialah, ni tak mula -mula lagi ni.

Setiap hari banyak benda yang aku kena fikirkan. Pasal kehidupan seharian aku. Pasal komitmen kerja, duit kereta, duit motor, duit ini duit itu. Alah, standard lah, macam orang - orang bekerja yang lain jugak lah. Aku pun survivor sama - sama macam korang kat Kota Lumpur ni.

Sumpah aku dah cuba.

Aku tarik balik momentum membaca aku. Habis buku - buku aku settle kan bila dekat set. Pantang ada free time je, aku bukak buku. Nak cari momentum namanya. Sebenarnya dari hari tu lagi. Berapa banyak buku aku habis baca dekat set. Itu pun tak cukup lagi aku rasa.

Takkan pernah cukup buku yang aku baca.

"Aku ingat nak amik entri - entri kau dekat blog je, aku compile kan mana yang aku rasa sesuai"

Kalau nak ikutkan, aku okay je. Tapi, aku ada banyak benda yang aku tulis dan tak diterbitkan kat sini. Aku fikir, nak hulur apa yang belum diterbitkan. Juga beberapa tulisan yang lain.

Dah cuba. Pantang terlintas je dalam kepala, aku catit ke telefon bimbit aku. Ke buku nota aku yang naik lusuh. Yang ke hulu, ke hilir aku usung. Memang takkan faham tulisan - tulisan aku dalam buku tu. Takde arah. Pantas lintas, aku catit. Takde paksi. Berterabur. Serabai.

Writer's block!
Writer's block!
Writer's block!

Itu lah yang aku tengah hadapi sekarang. Dah cuba panggil balik momentum menulis, tapi sikit - sikit je dia datang. Geli - geli. Berapa biji buku aku khatam dekat set sementara menunggu shooting. Haram tak datang idea.

Sebenarnya punca utamanya ialah gangguan sekeliling. Perihal - perihal orang bujang yang perlu diselesaikan. Perihal - perihal shooting yang tak habis - habis. Itu semua gangguan!

Dari environment.

Apa yang aku perlu sekarang ialah bersendirian. Entah, aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Mungkin environment baru. Sebab aku memang macam ni, cepat bosan dengan sekeliling. Aku memang tak boleh hadap benda yang sama hari - hari.

Nak - nak meja komputer aku ni. Rak buku atas meja ni. Semuanya sama. Secara visualnya, sama. Nak ubah, nak bubar, memang aku takda masa langsung. Mengadap benda yang hari - hari dihadap. Lapuk semua visual depan mata aku ni! Tak membantu. Malah entri di bawah ni pun, salah satu usaha siri menulis aku ini.

Tak jugak membantu.

Nanti lah aku sambung.

p/s : Nak lari kejap dari Kota Lumpur, cari environment baru, dengan lap top atau buku nota, baru boleh kot.

Cheh, harapan je lah.

B, help me. I need you.

Sabtu, Januari 15

[sang pencinta]*

Seminggu itu akalnya 7 hari.
Sebulan itu akalnya 30 hari.
Setahun itu akalnya 365 hari.

Dan dalam 365 hari, akan datang hari - hari yang begitu jahat. Kejam. Yang tak mampu kita tentang, tak mampu kita lawan.

Lalu mencabut jiwa - jiwa yang selama ini bebas berligan sesama sendiri. Ini kekejaman yang dahsyat untuk Sang Pencinta yang telah lama menafikan nafsu demi dunia khayalan indah ciptaan bersama Seri Dewi.

Kembali terjelobos dari langit ke tujuh yang penuh dengan kata - kata awangan dan kesetiaan, bergelimpar di tanah bumi.

Lalu Sang Pencinta mengambil papan kayu dan arang, mencatitkan apa yang dilaluinya sebelum naik ke langit dan sepanjang di awangan.

Bermula lah penulisannya.
Dengan jiwa luka.


Rabu, Januari 12

dah tak joget, balik menembak

Kolaborasi dengan gadis berbaju kurung pun dah selamat. Selamat yang boleh disenyumkan oleh dia.

Senyum lebar.

Dan oh, aku terima banyak Tweet dari kawan - kawan yang kita suka pada malam tu. Terima kasih banyak yang tak terhingga. Walaupun aku cuma tukang joget dan tidak menyumbang pada pembikinan lagu, tetapi, sekali lagi,

Terima kasih banyak untuk penghargaan itu semua.

Tahniah untuk Gadis Berbaju Kurung dan seluruh tenaga kerja di belakangnya. Aku pernah menyebut, pada kali pertama aku diberi dengar lagu ini sebelum perbincangan untuk kolaborasi bersama membikin muzik video lagu ini, "Sedap lagu ni Ana. Sungguh"

Aku cepat stim dengan gesekan cello dan biola. Dan pukulan gendang. Apa - apa jenis gendang.

Dan tak perlu kita serabutkan kepala otak tentang suara - suara yang muncul pasca-pertandingan. Itu adat.

Senyum sahaja. Biar suara - suara itu dihanyutkan angin masa yang akan sayup - sayup pergi.

Ok sudah. Aku percaya kita semua sudah matang. Setidaknya, pura - pura matang.

Mereka gembira, aku tumpang gembira.
Mereka melonjak seronok. Aku?

Kena sambung kerja.

Kerja apa? Takda kerja lain yang aku buat setakat ni selain daripada menembak. Joget itu cuma sebahagian dari kerja pentas aku. Performing art. Bukan kerjaya. Kerjaya aku kan seorang pemeran. Menembak. Menembak apa?

Nah perkhabaran buat masa ini.

"6 Progresif"
Bermula 13 Januari 2011
Khamis 8.30 TV9

Tahun lepas dah main karektor yang agak berat. Okay, bukan semua berat, tapi tetap memenatkan emosi. Dan Insyaallah, kalau diizinkan, semuanya yang ditembak tahun lepas, bakal ditayangkan tahun ini.

Dari karektor seorang budak ofis yang selalu dibuli bos dan bercinta dengan Pontianak, kepada karektor seorang anak muda pembela saka yang mistirius (ejaan apa ni?) hinggalah kepada karektor jaguh Tomoi yang berdepan dengan konflik keluarga dan keturunan. Yang juga dalam pada masa yang sama, diburu oleh gangster yang menginginkannya dibunuh.

Jadi tahun ini, sebagai pembukaan, aku nak layan karektor yang ringan - ringan (walaupun ada yang tak berapa ringan) Supanya minda dan emosi memiliki masa yang secukupnya untuk di-centralize-kan.

Kan ke cantek plan macam tu? Nampak tak. Timaseh.

Lagi cantek kalau korang usha Facebook dan Twitter "6 Progresif". Apa - apa hal update banyak kat sana.

Weh, terima kasih weh.

p/s: Move on.


Khamis, Januari 6

kolaborasi dengan gadis baju kurung? eh?

Untuk beberapa hari ni, kederat aku diguna-pakai lebih sikit. Gerak - gerak lebih. Peluh - peluh pun lebih. Bukan main motor, tapi untuk benda lain. Siang aku pergi menembak, tak dan nak balik rehat, aku ke praktis pulak. Sebab hari dah nak dekat.

Eh? Hari apa?

Kolaborasi dengan Ana Raffali untuk lagu "Tolong Ingatkan Aku"

Eh?

Anugerah Juara Lagu?

Eh?

K. Bye.

Isnin, Januari 3

nak mulakan dua ribu sebelas ada berapa?

Ada dua.

Ada yang bersama agama dan ada yang bersama cinta. Antara satu. Atau mungkin ada yang bersama kedua - duanya. Lebih kuat. Walaupun kedua - dua nya sudah kuat untuk manusia, tapi lebih dahsyat jika bersama - sama.

Bila manusia berpegang pada dua itu, dan berjalan, Insyaallah, 2011 ini milik kamu.

Biar tahun ini, kamu adalah kamu yang "lebih" dari kamu tahun lepas. Ganda dua, atau empat atau lebih.

Kamu pilih. Corakkan dengan hebat. Dengan izin Tuhan.

Salam Tahun Baru.


p/s: Takda azam, cuma harapan tahun ini. Ingin memberhentikan kemasukan nikotin dan kafein. Boleh? Saya cuba dulu, terima kasih.