Isnin, Oktober 24

catatan pagi ini

Dekat - dekat jam 6 pagi. Aku masih terbeliak mata, menunggu azan Subuh. Inilah akibatnya, semalam aku tidur kemain lagi. Balas dendam lepas beberapa minggu tak cukup tidur. Ke sana, ke sini, settlekan banyak benda. Perihal pernikahan nanti dan perihal kerja jugak. Sambil - sambil menunggu laungan seruan, aku belek - belek buku yang aku baru beli di OctTwtFest semalam. (Oih, ramai bebenor manusia)

Kitab Terfaktab, tajuknya.

Baru 2 tajuk aku baca. Nak konklusikan keseluruhan buku, belum layak. Tapi aku layan pra-katanya, dan catatan - catatan awal dalam buku ni. Oh, pasal galian - galian subjek cinta agaknya, aku fikir. Sampailah satu tajuk, si penulisnya seorang wanita. Dia berkongsikan tentang aktiviti sewaktu dia sedang mengenali seseorang. Daripada 'friend request' hinggalah ke chatting sampai subuh.

Hehe.. aku tertawa. Oh, aku pernah buat jugak dulu. Dulu - duluuuuuuu.....

Aku fikir, yelah, sanggup jugak kan kita dulu - dulu sampai korbankan waktu tidur. Aduyai.. Kelakar. Terus menerbangkan fikiranku ke zaman - zaman waktu itu.

Bila aku pulang ke realiti, aku lihat diri sendiri. Di mana aku sekarang. Bukan, di waktu apa aku sekarang ni? Jawapannya, di hari yang tinggal 27 hari lagi untuk akad nikah.

Aku diam, dan bersyukur. Syukur lagi. Syukurnya aku atas setiap perkara yang aku terima hari ni, lebih daripada perkataan 'syukur'. Syukur aku bukan sekadar menyatakan syukur di blog aku ni.

Hanya Pencipta aku yang tahu.

Kerana Dia sahaja yang mengerti setiap perit dan hitam - hitam yang aku pernah mengadap sebelum ni. Nah, ini dia pulangan yang diberikan untuk setiap duka - duka lampau. Alhamdulillah.

Gementar, gelisah, teruja, gembira. Macam - macam. Menyambut sebuah lagi tanggungjawab dunia dariNya untuk dibawa ke akhirat nanti. Menjadi suami. Itu perkataannya. Menjadi suami kepada seorang bidadari hati.

Wow. Macam tak percaya. Rasa macam baru je tahun lepas belajar bercinta. Aku tersengih. Lebih tersengih bila aku teringat soalan - soalan dari orang keliling. Tentang 'sudah sedia ke?', tentang 'tak muda sangat ke?' tentang ini lah, tentang itulah.

Tentang, "Rugi kau kawin awal, kau tengah naik"

Jawab aku, apakah itu semua seharusnya menjadi persoalan? Walhal bukankah yang paling penting adalah agama? Aku lebih berminat untuk mendengar isu - isu agama yang berkaitan dengan perkahwinan daripada isu - isu umur, karier, populariti dan segala benda duniawi. Walau aku mungkin jadi seorang pemeran yang bagus, belum tentu aku boleh jadi seorang Islam yang bagus. Apatah lagi jadi seorang suami yang bagus. Jadi biarlah telinga aku ini menerima perkara - perkara yang lebih baik, yang lebih bermanfaat.

Yang lebih ke jalan Allah Ta'ala.

Sebab aku percaya, landasan atau tiang untuk mengukuhkan sebuah rumahtangga, adalah agama. Itu sudah cukup untuk menjaga keseluruhannya. Insyaallah. Kerana setiap cinta itu datangnya dari Tuhan, maka aku perlukan cinta dari Tuhan. Biar aku cinta isteriku atas nama Tuhan.

Segala - galanya yang dituliskan oleh penulis tadi,
sudah aku lalui
dan hari ini
aku tersenyum sendiri,
memohon berkat dari Illahi,
setiap hari.

Buat pelengkap rusuk kiri,
yang bakal aku nikahi,
Tak lama lagi,
Semoga pernikahan kita nanti,
diberkati Illahi.

Allahu Rabbi.

27 hari lagi.
Selamat tinggal dunia bujang.
Azan Subuh sudah berkumandang.
Jom.

Rabu, Oktober 12

take care

Kiranya sudah berjuta kali dalam sepanjang umur aku 27 tahun ini, aku mendengar ayat 'Jaga Diri'. Tapi yang benar - benar aku mahu bertanya, tapi tak tahu pada siapa. Mungkin utamanya pada diri aku sendiri,

Apakah benar kita pandai dan mampu jaga diri?

Jaga dari apa?

p/s: Take care.

Rabu, Oktober 5

padan muka kau

Dulu aku selalu berjalan ke mana - mana mesti bertemankan buku nota dan pen. Apa saja yang terlintas di kepala, aku dokumenkan.

Tapi sekarang mana? Mana semua tu?

Jangan kata buku nota dan pen, dalam kepala pun dah takda apa. Padan muka kau.