Sabtu, November 3

kembalikan

Setelah mungkin bertahun aku kejar apa yang aku impikan, sebenarnya aku telah tinggalkan apa yang aku pernah ada. Tapi itulah pengorbanan yang tanpa sedar, telah aku lakukan.

Aku membuka terapiku, Bogel Menuju Tuhan edisi penulis yang selalu terselit di antara buku - buku yang aku bawa ke set, setiap hari. 

Helaian demi helaian aku semak dan baca semula 'aku yang dahulu'. Yang dahulu yang ternyatanya dalam tempoh hari - hari tidak berwarna, penuh rabak dan pedih. Tapi percaya atau tidak, aku tak mungkin dapat menyatakan apa yang aku rasa hari ini ke atas kertas seperti yang pernah aku lakukan. 

Aku sedar bahawa dahulu aku hidup dalam ruang imaginasi aku sendiri. Yang sebenarnya dimiliki setiap orang. Sebuah ruang yang aku panggil ruang infiniti tidak bergraviti, yang mana ruang itulah yang mengajar siapa diri kita hari ini. 

Ruang untuk kita kenali diri kita, ruang untuk kita selongkar apa fungsi diri, ruang yang telah banyak mengajar kita tentang hidup. 

Kerana setiap kali kita bertanyakan siapa nama kita pun, kita akan memasuki ruang itu. Apatah lagi bertanya pada diri sendiri tentang apa yang hendak kita lakukan, apa yang telah kita lakukan. Pendek kata, 

setiap kali kita berfikir, kita berada di dalam ruang itu. Itulah dunia kita yang lagi satu .

Hari ini aku tak yakin aku punya lagi ruang yang mewah seperti dulu. Hari ini pada aku sudah lain, usia sudah meningkat yang menolak aku untuk bertanyakan soalan - soalan fasa yang baru. Yang bertanggungjawab. Sama sekali tidak sama. Dengan tuntutan kerjaya yang menghimpit aku setiap hari. Tapi malam ini, aku kembali ke ruang itu lagi dan mengharapkan..

Agar kembalikan ruang itu...