Wednesday, June 13

tadi punya hantu, sekarang untuk kamu

Masuk lah, sana bilik tidur.
Bermalam lah di sini.

Kalau lapar atau dahaga, minum sahaja air - air di situ.
Di atas tikar itu.
Aku hidangkan tadi, untuk hantu - hantu yang datang.
Datang untuk kononnya membantu aku. 
Untuk mengubah nasib aku. 
Tapi hantu - hantu itu semuanya bohong.
Sudah lah datang dengan hodoh - hodohnya.

Menakutkan. 
Mata takda, 
Giginya tajam.
Muka nya pucat. 
Matanya ada terkeluar,
Lidahnya terjelir panjang.
Sampai ke pinggang. 
Rambut mengerbang.
Kukunya panjang,
Kulitnya menggerutu.
Ketawanya mengilai - ngilai.
Kuat sekali. 
Baunya busuk, hamis. 
Ada yang tiada kepala.
Hodoh - hodoh semua. 

Tuannya kata semuanya akan bantu aku.
Untuk upacara. 
Habis aku hidangkan darah kambing, pulut kuning, telur dan ayam kampung.
Memang aku nak bagi makan semua. 
Bila aku dapat tahu sahaja hantu hodoh tu semua tak mampu buat aku ubah nasib, 
Aku terus halau semuanya.

Aku ugut dengan keris yang sedang terpacak tu. 

Sekarang tiada siapa yang mahu makan. 
Saudari semua ambil lah. Makan. 
Makan! Makan lah!

Cuma tinggalkan darah kambing tu sahaja.
Sebab nanti ada lagi hantu yang terakhir akan datang. 
Lebih hodoh dan mengerikan. Tapi jangan khuatir.
Rasanya waktu itu, saudari semua, 

sudah tidur.


Sunday, June 3

melancong hidup

Bayangkan, kita sedang berada di negara orang. Kita sedang melancong dengan persekitaraan yang terlalu baru dalam hidup kita. Pertama kali mata menyaksikan rupa pandang, orang tempatan, bangunan dan segala - galanya. Kita dibawa melawat ke tempat - tempat menarik, tempat - tempat bersejarah atau tarikan pelancong.

Dengan sebuah bas. Bas pelancong. 

Sekitar kita adalah orang - orang yang tidak sama bahasa dengan kita, dan kalau tidak ada pemandu pelancong, kita bakal sesat. Sesat yang menyukarkan kita untuk kembali pulang menjalankan kehidupan seharian kita.

Bayangkan, kita berhenti di zoo negara itu. Kita lihat haiwan - haiwan yang tak pernah kita lihat. Tak ada di negara kita, dan kita jadi teruja. Kita rancak berbual dengan rakan - rakan atau keluarga, tentang fizikal haiwan itu, bunyian yang dikeluarkan oleh haiwan itu. Habitatnya, tabiatnya. Macam - macam. Kita bual, kita gali informasi tentang haiwan itu. 

Bayangkan, kemudian kita naik bas semula dan dibawa ke muzium pula. Dimana sejarah dan cerita - cerita purba tentang negara itu. Wang lama, pakaian askar lama tentera negara itu. Kita berdiskusi, kita duduk dalam muzium itu memikirkan tentang pelbagai hal yang berkaitan dengan pameran dalam muzium itu. Kita bercanggah pendapat dengan pelancong lain, atau kenalan. Kita cuba dapatkan jawapan tentang sejarah dan barang - barang pameran. 

Dan sekarang, bayangkan. Zoo, Muzium dan tempat - tempat itu semua adalah masalah atau kecelakaan yang menimpa hidup kita. Kita duduk dalam masalah, kita bersedih, kita bergaduh, bercanggah pendapat dan macam - macam dan bas itu pula adalah kehidupan kita yang akan terus bergerak ke tempat - tempat lain. 

Kalau kita terus duduk dalam muzium itu, terlalu memikirkan tentang hal dalam muzium itu,

Bas akan terus bergerak meninggalkan kita. Begitu juga kehidupan.

Yang akan terus bergerak...


Sunday, May 27

tapak

Sebaik aku sampai di daerah itu, aku terus membuka sebuah kerajaan baru. Sebuah empayar baru. Empayar aku. Hasil dari perjalanan aku menerokai hutan dan lautan. Jalan air, dan jalan darat. 

Sekarang, kerajaan aku semakin luas. Aku sudah punya barisan menteri sendiri, aku sudah punya hulubalang, pendekar - pendekar yang berani berjuang demi kerajaan aku. Pembangunan lebih laju dari apa yang aku bayangkan. Ekonomi mencurah - curah keberjayaannya. Ekar - ekar tanah, sudah aku takluk semuanya, sana sini. Aku besarkan lagi dan lagi. 

Bertahun - tahun usahanya. Yang dulu tanah merah, kini menjadi jalan tar. Menghubungkan negeri - negeri dalam kerajaan aku. Digunapakai dari setiap menteri - menteri, sehinggalah rakyat jelata.

Tapi bila satu hari, aku melalui satu kawasan di mana tempat aku mula - mula pijak tanah kerajaan yang aku bina ini, mulanya tapak kakiku merasa tanah selepas laut yang aku redah, 

Kesan - kesan tapak kaki aku masih ada. Melekat. Segar. 

Macam baru tadi aku pijak sini.

Wednesday, May 23

VS BMT

Ini ada sikit perkara yang nak aku kongsikan pada sesiapa yang masih lagi belum dan berhajat untuk dapatkan buku aku, 'Bogel Menuju Tuhan' (Oh, tolonglah jangan tanya lagi apa maksudnya dan kenapa tajuk macam tu)

Jumaat ini, insyaallah aku akan ke booth ibuku di Space U8, Bukit Jelutong Shah Alam. Booth mak aku yang jual buku - buku lama (2nd hand book). Jadi kalau sapa - sapa yang akan ke sana untuk layan konsert VERSUS TV9 tu, sambil - sambil tu kalau nak beli, boleh singgah booth mak aku. Insyaallah aku ada dekat sana sampai malam. Nak borak ke, nak lepak ke, boleh. Sila lah. Nak bawak buku yang dah pernah beli untuk aku tandakan pun boleh. 

Okay? Jumaat ni, sambil tengok VERSUS TV9, di Space U8, Shah Alam.  

Aku serius tau. 


Sunday, May 20

itu bulu ayam, habis kita?

Carik - carik bulu ayam, lama - lama bercantum juga. Carik - carik antara sesama manusia?

Parah.

Thursday, May 17

bukan harapan, ia persoalan


Kadangkala, ada ruang - ruang kosong dalam hidup yang tak perlu kita selongkar. Biar ia tertutup rapat. Biar ia mampat dengan angin bergelimpangan di dalamnya. Tak tembus walau cuba dibocorkan oleh misteri, kenangan, harapan, kesedihan, kegembiraan, sejarah dan apa sahaja. Biar ia terus kosong, tertanam dalam kepadatan rutin - rutin tuntutan kehidupan melalui dosa - dosa lampau atau upah dari kebodohan sendiri. 

Ia memang diciptakan begitu, yang sampai sudah kita tak mungkin bertemu jawapan. Bukan harapan, tapi inilah persoalan. 

Tak kental.

Foto oleh Kas Roshan.

Sunday, May 13

datanglah lena, semoga demammu reda

Matanya terpalit rapat,
dibuai mimpi mungkinnya.
Menghilangkan lelah,
menerima dugaan kecil dariNya, 

Dia demam siang hari,
menggigil tubuh menahan resah,
menarik daya.
Tiada upaya.
Wajahnya ku tenung, 
dalam tidurnya. 
dalam sunyi malam,
sedalam - dalamnya. 
Melihatmu,
aku tenang, Puteri hatiku.

Tidurlah isteriku, 
demam ini dari Tuhan, 
baik buruk, ia tetap pemberian Tuhan. 

Tidurlah, suamimu disebelah ini.
Biar aku tidur lewat malam ini,
Menunggu kau didatangi lena. 
Semoga esok, demammu reda.

p/s: Terciptanya rasa kasih, rasa sayang, dalam diri, didikan ayah ibuku. Walau ia milik Tuhan.