Rabu, Januari 25

ok kot

Hari jadi baru lepas.

Filem JUVANA pun dah habis shooting.

Esok berangkat ke Jepun. Family trip + wifey. Juga melawat abang ipar, kakak dan 2 orang anak buah yang dirindui.

Macam rilek sangat je hidup aku ni?
Ok ke? Ok kot.

Tengoklah kat sana kalau rajin, aku update sikit - sikit. Tu pun kalau sempat jumpa internet. Apa - apa hal boleh usha Twitter aku.
@zahiriladzim

Ahad, Januari 8

langsung takda

Aku masuk bilik komputer.
Aku bukak suis lampu.
Aku bukak komputer.
Aku tarik kerusi.
Aku duduk.

Aku bukak blogger.com sebab nak tulis entri baru.
Aku pandang dua biji monitor depan aku.
Aku pandang, aku tenung.
Tenung monitor, tenung punya tenung.
Aku tenung lagi.

Peh, monitor ni tak memberi inspirasi langsung siot.
Bangang.
Tak bleh blah.
Aku blah.


+ Ini bukan puisi

Isnin, Januari 2

2 0 1 2

Selamat Tahun Baru buat semua pembaca blog ini. Saya tak tahu nak update apa sebab otak belum ready nak menaip apa - apa lepas bernikah hari tu. Kenapa?

Sebab terlalu sibuk nak susun balik semua benda. SEMUA. Kerja, kehidupan, rumah, kewangan dan segala - galanya lah. Alah, korang yang dah kahwin mesti faham.

Kan? Kan? Kan? Kan? Banyak benda nak settle, ye dak?

Jadinya, bila dah ada benda nak tulis, dan bersiap sedia, insyaallah, saya update entri di sini. Memang banyak benda nak cerita, tapi tak banyak masa.

OK, jangan marah.

SELAMAT TAHUN BARU.
I LEV YIU.

Jumaat, November 11

dosa manusia dengan manusia

Andai ada seorang manusia yang melakukan dosa dengan Allah, lalu kita kutuk. Hina, caci. Kita lemparkan kata - kata kesat padanya dan kemudian, kita ajak manusia lain untuk bersekutu dengan kita untuk mencacinya.

Kita keji, dari rupa paras fizikalnya, sehinggalah ke peribadi serta keluarganya. Kita betul - betul jelek melihat dia melakukan dosa dengan Allah.
(sedih aku tengok)

Dan sekarang, semakin lama semakin ramai yang bersetuju untuk mengkeji manusia itu. Keji berjemaah.

Sampai suatu hari, manusia yang dikeji itu, bertaubat dan memohon ampun dari Allah Ta'ala. Jika dia benar - benar insaf, dan mahu bertaubat, kemungkinan besar, taubat dan ampunnya diterima Allah. Maka selesai sudah, dan dia sudah insaf, sudah berubah. Bukan kerana dikeji, tetapi kerana dia mendapat hidayah. Alhamdulillah.

Apa yang tak selesai.

Dosa kita dengan dia, yang selama ini kita maki caci, keji. Juga mengajak manusia lain untuk mengkeji dia.

'Kalau berdosa dengan manusia, kita kena mintak ampun dari manusia"

Habis.

Manusia tadi sudah bertaubat dan insyaallah Tuhan ampunkan dia. Tapi kita akan terus berdosa dengan manusia itu.

Ada terfikir?

Isnin, Oktober 24

catatan pagi ini

Dekat - dekat jam 6 pagi. Aku masih terbeliak mata, menunggu azan Subuh. Inilah akibatnya, semalam aku tidur kemain lagi. Balas dendam lepas beberapa minggu tak cukup tidur. Ke sana, ke sini, settlekan banyak benda. Perihal pernikahan nanti dan perihal kerja jugak. Sambil - sambil menunggu laungan seruan, aku belek - belek buku yang aku baru beli di OctTwtFest semalam. (Oih, ramai bebenor manusia)

Kitab Terfaktab, tajuknya.

Baru 2 tajuk aku baca. Nak konklusikan keseluruhan buku, belum layak. Tapi aku layan pra-katanya, dan catatan - catatan awal dalam buku ni. Oh, pasal galian - galian subjek cinta agaknya, aku fikir. Sampailah satu tajuk, si penulisnya seorang wanita. Dia berkongsikan tentang aktiviti sewaktu dia sedang mengenali seseorang. Daripada 'friend request' hinggalah ke chatting sampai subuh.

Hehe.. aku tertawa. Oh, aku pernah buat jugak dulu. Dulu - duluuuuuuu.....

Aku fikir, yelah, sanggup jugak kan kita dulu - dulu sampai korbankan waktu tidur. Aduyai.. Kelakar. Terus menerbangkan fikiranku ke zaman - zaman waktu itu.

Bila aku pulang ke realiti, aku lihat diri sendiri. Di mana aku sekarang. Bukan, di waktu apa aku sekarang ni? Jawapannya, di hari yang tinggal 27 hari lagi untuk akad nikah.

Aku diam, dan bersyukur. Syukur lagi. Syukurnya aku atas setiap perkara yang aku terima hari ni, lebih daripada perkataan 'syukur'. Syukur aku bukan sekadar menyatakan syukur di blog aku ni.

Hanya Pencipta aku yang tahu.

Kerana Dia sahaja yang mengerti setiap perit dan hitam - hitam yang aku pernah mengadap sebelum ni. Nah, ini dia pulangan yang diberikan untuk setiap duka - duka lampau. Alhamdulillah.

Gementar, gelisah, teruja, gembira. Macam - macam. Menyambut sebuah lagi tanggungjawab dunia dariNya untuk dibawa ke akhirat nanti. Menjadi suami. Itu perkataannya. Menjadi suami kepada seorang bidadari hati.

Wow. Macam tak percaya. Rasa macam baru je tahun lepas belajar bercinta. Aku tersengih. Lebih tersengih bila aku teringat soalan - soalan dari orang keliling. Tentang 'sudah sedia ke?', tentang 'tak muda sangat ke?' tentang ini lah, tentang itulah.

Tentang, "Rugi kau kawin awal, kau tengah naik"

Jawab aku, apakah itu semua seharusnya menjadi persoalan? Walhal bukankah yang paling penting adalah agama? Aku lebih berminat untuk mendengar isu - isu agama yang berkaitan dengan perkahwinan daripada isu - isu umur, karier, populariti dan segala benda duniawi. Walau aku mungkin jadi seorang pemeran yang bagus, belum tentu aku boleh jadi seorang Islam yang bagus. Apatah lagi jadi seorang suami yang bagus. Jadi biarlah telinga aku ini menerima perkara - perkara yang lebih baik, yang lebih bermanfaat.

Yang lebih ke jalan Allah Ta'ala.

Sebab aku percaya, landasan atau tiang untuk mengukuhkan sebuah rumahtangga, adalah agama. Itu sudah cukup untuk menjaga keseluruhannya. Insyaallah. Kerana setiap cinta itu datangnya dari Tuhan, maka aku perlukan cinta dari Tuhan. Biar aku cinta isteriku atas nama Tuhan.

Segala - galanya yang dituliskan oleh penulis tadi,
sudah aku lalui
dan hari ini
aku tersenyum sendiri,
memohon berkat dari Illahi,
setiap hari.

Buat pelengkap rusuk kiri,
yang bakal aku nikahi,
Tak lama lagi,
Semoga pernikahan kita nanti,
diberkati Illahi.

Allahu Rabbi.

27 hari lagi.
Selamat tinggal dunia bujang.
Azan Subuh sudah berkumandang.
Jom.

Rabu, Oktober 12

take care

Kiranya sudah berjuta kali dalam sepanjang umur aku 27 tahun ini, aku mendengar ayat 'Jaga Diri'. Tapi yang benar - benar aku mahu bertanya, tapi tak tahu pada siapa. Mungkin utamanya pada diri aku sendiri,

Apakah benar kita pandai dan mampu jaga diri?

Jaga dari apa?

p/s: Take care.

Rabu, Oktober 5

padan muka kau

Dulu aku selalu berjalan ke mana - mana mesti bertemankan buku nota dan pen. Apa saja yang terlintas di kepala, aku dokumenkan.

Tapi sekarang mana? Mana semua tu?

Jangan kata buku nota dan pen, dalam kepala pun dah takda apa. Padan muka kau.

Isnin, September 26

kelak orang tua

Jika aku diberi peluang menjadi orang tua, maka aku berdoa agar tidak mahu menjadi orang tua yang menunjuk pandai kepada orang muda.

Khamis, September 15

kerja cuba dan gagal

Aku susun pecahan - pecahan perjalanan hidup ini elok - elok. Aku padan - padankan dan himpunkan. Gambaran kecil yang berselerak di dalam minda. Macam jigsaw puzzle. Kutip - satu persatu.

Cuba dan gagal. Cuba lagi.

Dan gagal. Bukan gagal terus, tapi bermakna mungkin bukan gambarannya tidak kena. Jadi aku cuba susun gambaran kecil yang lain. Macam jigsaw puzzle-lah. Kena.

Biar ia menjadi satu gambar besar, sebuah potrait yang hebat. Yang gah. Yang dapat aku banggakan. Bukan gambar itu yang akan aku banggakan, tapi melihat kerja - kerja cuba dan gagal yang aku tempoh selama menyiapkan gambaran besar itu.

Usaha. Kecekalan.

Biar lama sedikit kerjanya hari ini, maka akan kukuh lah ia di hari esok. Insyaallah. Dengan izin Tuhan.

Semoga tidak ada niat - niat zalim di luar yang hampir kepadaku untuk menendang kerja - kerja aku hari ini.

Kalau Tuhan tidak izinkan, maka ia tetap takkan jadi.

Foto oleh Iskandar-filem Bunohan

Isnin, September 12

fresh angle

Aku memang selalu macam ni.

Macam mana?

Macam ni lah. Selalu terinspirasi bila berjalan atau merantau. Tapi tak boleh jugak kalau nak cakap merantau, pasal bukan jauh sangat pergi pun. Sekejap pulak tu. 2 hari.

Tak kisah lah.

Yang penting, aku selalu balik dengan pengisian. Dalam semangat, dalam hati, dalam jiwa, dalam fikiran. Dalam - dalam diisi pengisian.

Itu sebab aku suka travel. Tapi mana pernah ada peluang yang kerap. Jarang - jarang. Kerja macam aku ni, travel waktu kerja je. Kalau nak pakai waktu dan duit sendiri, memang harapan je lah.

Aku baru balik dari program jelajah GPS Iman, dengan konvoi bermotor. Besar motornya, lagi besar dari aku. Tapi bukanlah pasal motor yang jadi bahan cerita, tapi tentang saat - saat bersama pemikiran sendiri apabila kita sedang berada di tempat orang, bersama orang - orang yang baru kita kenal dalam hidup.

Gelak, gelak jugak. Ketawa, ketawa jugak. Seronok, seronok jugak. Tapi dalam pada seronok gelak tawa tu lah aku berbual - bual dengan macam - macam orang. Dapat ilmu sana - sini, itu yang paling sedap bila kita dapat. Dengar pengalaman orang sana - sini.

Makin kuat benda yang aku fikir dari dulu. Antara perkara - perkara yang membuatkan minat untuk travel tu makin kuat. Tapi nak buat macam mana, komitmen aku dan tuntutan kehidupan seharian, mana pernah bagi chance.

Apa yang aku dapat, payah yang aku nak kongsikan. Ia buat aku guna sebagai panduan dalam melukis masa depan dan cita - cita.

Tapi percayalah,

Setiap kali kita keluar (sementara) dari kelompok manusia yang kita biasa dan berjumpa dengan kelompok manusia baru, di tempat yang baru..

Otak kita akan dapat pemikiran dari satu lagi sudut yang segar.

Fresh angle.

p/s : Sentiasalah teroka kehidupan kita sendiri dari sudut - sudut luar dari kebiasaan kita. Insyaaallah, ada benda baru sedang menunggu.

Nota
(re-edit. Sorry aku silap, the word is angle not angel. Macam mana aku boleh terlepas pandang, aku pun tak tahu. Jam 3 pagi. Susunan huruf boleh memberi interpretasi yang berbeza. Malaikat dan sudut. Jauh tu. Oh, terima kasih pada yang menegur.)

Selasa, September 6

bukan sajak untuk semut

Aku tak mahu menulis sajak pasal semut. Bukan pasal deretan semut di balik siku kanan, tangan aku yang sedang berahi meraba - raba papan kekunci ini.

Tapi mungkin juga ya.

Mungkin juga aku kagum dengan binatang kecil ciptaan Maha Kuasa ni, yang terus bekerja tanpa henti, biar apa pun terjadi. Terus dan terus. Tanpa memperdulikan sekelilingnya. Tunggang langgang terbalik dok, pun semut - semut ni lari kejap bertempiaran. Tapi kejap - kejap lepas tu, semut - semut ni sambung balik kerja, carma (cari makan).

Taknak. Aku taknak tulis pasal semut.

Tapi semut lah yang paling hampir dengan aku sekarang. Bukan hampir pada jasad sahaja, malah terlalu hampir dengan keadaan aku sekarang. Apa yang aku masih peduli tentang apa yang terjadi sekeliling aku? Dah selalu sangat, jiwa runtuh, hati lerai, mengharapkan sesuatu yang entah bila akan berakhir lalu bermula yang baru.

Tapi apa dan kenapa masih aku peduli?

Kenapa tak boleh ikut perangai semut? Yang tidak dikurniakan akal fikiran oleh Allah Ta'ala. Tapi aku yang dikurniakan akal, sibuk nak peduli tentang perkara - perkara yang menyakiti hati sendiri.

Sebab aku manusia. Sebab aku manusia yang sibuk nak terasa hati, nak kecil hati, nak makan hati. Sibuk nak amik tahu hal - hal sekeliling yang kurang penting. Yang kuman - kuman. Sampai terabaikan perkara yang lebih besar. Sampai membunuh acara - acara masa depan yang pernah cemerlang di dalam genggaman.

Yang aku sudah hilang.

Memang lah sakit. Hati. Lara dibuatnya. Habis kalau aku ketuk - ketuk papan kekunci ni, semut - semut ni tak sakit dengan gegaran meja ni?

Kenapa aku tak boleh buat ni?

Rabu, Ogos 17

kurang gemar bercakap

Aku sedar satu perkara yang sedang merebak dalam diri aku sekarang ini. Mulanya aku sedar, tapi aku abaikan. Lama - lama, ia semakin teruk dan tidak boleh lagi dilepas pandangkan.

Aku semakin kurang bercakap. Atau semakin menjadi pendiam.

Aku kurang gemar bercakap hari ni, apsal ah?!
Aku lebih minat membiarkan semuanya di dalam kepala.

Aku tak boleh bercakap dan berfikir dalam satu masa.

Jika aku bercakap, aku susah berfikir. Bila aku berfikir, aku susah bercakap. Aku perhatikan, ramai orang yang mampu bercakap dan berfikir dalam satu masa. Tetapi aku tidak. Aku tak dapat jadi itu.

Berfikir maksud aku, dengan berat. Aku lebih tidak memilih untuk bercakap.

Eh, entahlah. Tapi aku bercakap jugak. Dah kerja aku bercakap.

Liang lahad - Khurafat The Series

Sabtu, Ogos 6

diam di kediaman

Peralihan malam ke siang. Separa malam separa siang.

Aku diam. Terkenang. Bunyi yang paling tepat untuk telinga aku saat ini ialah diam. Diam yang aku hampir boleh mendengar mindaku berfikir. Diam di dalam kediaman.

Aku tinggalkan alatan teknologi yang berjenis - jenis di hadapan aku ini. Sementara. Alatan ini kekadang menyentuh rasa hati. Baik manis, gembira, robek. Baik pahit, perit. Baik rindu, sedih, sayu. Baik sendu.

Baik - baik dan tak baik.

Aku diam lagi, mengadap jendela yang melukiskan langit subuh. Gelap.

Aku diam lagi. Dengan rasa yang leper. Kosong. Dengan persoalan - persoalan tentang kewujudan diri, persoalan - persoalan hubung kait aku dengan manusia lain di dunia ini. Persoalan ini, persoalan itu.

Persoalan - persoalan yang ragu - ragu menghulurkan jawapan. Mungkin segan.

Mengenang sejarah diri, kisah - kisah pahit manis dan hukuman - hukuman aku pernah terima sebelum ini. Ini lah sejarah aku.

Aku diam lagi.

Akan ada masa yang tiba - tiba kita tak pasti apa yang sedang kita lakukan kerana apa yang kita paling harapkan, kita paling takkan dapat.

KetentuanNya.

p/s: Kaulah tempat aku bergantung

Rabu, Ogos 3

lewat

Lewat malam.

Masih banyak yang belum aku lewati dalam hidup ini, sementara hari telah bersilih ganti dengan malam yang lewat.

Peristiwa - peristiwa datang dan pergi. Dugaan dan kesejahteraan datang dan pergi setiap hari dan aku masih terlalu kecil yang terlalu banyak belum dilewati.

Kecilnya aku berbanding alam ini.

Allahu rabbi.

p/s: Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua pembaca dan kawan - kawan yang kita suka.

Isnin, Julai 25

diubah sejarah yang sedang mengubah sejarah

Berhari, berminggu, berbulan, bertahun.
Berpuluh - puluh tahun.

Kita masih hidup menjadi kita. Tidak berubah. Yang berubah hanya sekeliling. Orang - orang. Mungkin. Atau alam. Mungkin. Atau alam orang, mungkin. Atau orang alam. Juga mungkin.

Memungkinkan.

Di sekeliling berubah - ubah menulis, melukis sejarah. Menjadi sejarah. Yang terdustakan. Tapi mampu didustai. Atau mungkin sejarah sedang mengubah kita? Atau mungkin juga, aku yang sedang menulis ini sedang diubah oleh sejarah aku?

Dimungkinkan.

Mungkin benar, aku atau Aku yang menggerakkan jemari menekan papan kekunci ini sedang hidup di dalam kehidupan yang telah diubah oleh sejarah atau aku sedang mengubah sejarah?

Bingai. Tak temu jawapan.

Jumaat, Julai 8

kabar - kabar biasa

Hampir jam 5 pagi.

Baru - baru ini aku banyak terjebak dengan kemalangan minda. Tapi, syukur Alhamdulillah aku masih lagi mampu tersenyum dengan tenang. Bukan main - main, memang masih dapat tersenyum dengan tenang.

Apabila bertemankan kalimah - kalimah suci Allah, memang inilah keistimewaannya.

Entri aku yang kali ini cumalah tentang perkhabaran yang aku fikir, perlu aku kongsikan. Tentang kerja aku, tentang peran yang aku perankan. Jadi, yang pendek - pendek sahajalah taipan aku kali ini ya?

Baik, semalam telah bermula tayangan filem aku yang terbaru iaitu "Tolong Awek Aku Pontianak". Ini terang - terang bukan cerita seram lagi, tapi komedi. Buat ringan - ringankan minda, dengan niat nak berhibur (yang tidak over). Sudah banyak watak - watak berat yang aku bawa selama ni, jadi mungkin kali ini aku ingin lari sekejap.

Memang sekejap, tak percaya? Baca sampai bawah.


Untuk filem kali ini, watak aku lebih ringan dan sengal. Segala info dan sinopsis, seperti biasa, bak kata Hanis Zalikha, aku tak akan senang - senang spoon-feed-you. Rajin - rajinkan lah google.

Antara tukang lakon yang menjayakan filem ini ialah, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed, Rashidi Ishak, Yus Waisar, Nurul Wahab, Syanie, Ameerul, Datuk Jalaludin Hassan, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki, Ruminah Sidek, Jehan Miskin, Bell Ngasri.

Baik? Jangan lupa serbu pawagam. Janganlah tunggu DVD keluar atau di Astro First. Ternyata feel nya lain. Bukan main - main, ini serius.

Seterusnya.


Sekarang ini aku dalam proses menembak drama bersiri "Khurafat" yang bakal ditayangkan di Astro Ria, bermula 12 Julai ini, jam 10 malam selama 13 episod. Sepanjang menembak projek inilah aku jadi kurang tidur, kurang ini dan kurang itu. Tetapi tidak kurang ajar. Kalau ya pun ada, aku mintak maaf. Ini tidak disengajakan. Sekali lagi, infonya? Sila google.

Dalam drama ini pula, watak aku berat. Damn, kembali membawa watak cenggini. Selalunya memang macam tu, bila bawak watak - watak berat macam ni, seluruh tubuh badan aku akan jadi lesu setiap hari. Tapi takpa..

Biasalah, orang nak menikah, kenalah kerja keras sikit.

Rabu, Jun 22

kurus sekarang gemuk - gemuk esok lah

"Apasal kurus sangat sekarang?"

"Kurang makan, kurang tidur, kerja keras"

"Ler, rileks ar. Ni kurus sangat weh. Agak - agak lah."

"Aku dah nak kawin kan"

"Orang lain pun nak kawin, tak menggelabah pun macam ni"

"Takpe lah, biarlah aku kerja keras sekarang, senang kemudian hari"

Memang takkan ada sesiapa pun nampak sekeras mana aku kerja. Untuk cari pinggan nak makan lebih. Tapi waktu - waktu macam ni, ada jugak yang masih nak amik kesempatan. Sampai hati.

Aku terus berdoa, dikuatkan iman, dikentalkan hati. Mudah - mudahan.

Khamis, Jun 16

yang aku nantikan


Alhamdulillah.

Setelah ditolak - tolak oleh Faisal, setelah dicuri - curi masaku untuk memberi perhatian pada penyiapan, akhirnya buku aku yang pertama berjaya diterbitkan. (kalau mungkin ada yang kedua) Sekali lagi syukur.

Dalam keadaan yang kelam - kabut aku menulis entri ini kerana mata sudah tidak lagi mengangkang seperti biasa. Separa - separa tinggal. Minda pun sudah berhenti di sana - sini. Ringkasnya, aku menulis untuk mengumumkan tentang pelancaran buku aku iaitu BOGEL MENUJU TUHAN yang akan diadakan pada Sabtu ini, bersamaan dengan 18 Jun di Annexe, Central Market jam 12 tengahari.

Jadi sukacitanya aku ingin menjemput kawan - kawan yang kita suka serta pembaca entri ini untuk sama - sama memeriahkan lagi pelancaran buku itu nanti. Masuk?

Adalah percuma.

Pada hari itu nanti, buku aku akan dijual serta beberapa hadiah saguhati (mungkin) akan diberikan. Selain itu, rakan - rakanku telah aku jemput untuk membuat bacaan. Antaranya ialah, yang tersayang, tunangku sendiri Shera Aiyob, sahabatku Riz Ainuddin yang juga seorang aktor, Sharifah Amani yang tidak asing lagi, seorang aktor dan sutradara.

Serta aku sendiri yang akan membacakan sajak ku.

Aku pasti, akan wujud suara - suara yang mempertikaikan sekaligus menghakimi tajuk buku ini. Terserahlah, kerana aku yakin ramai pembaca hari ini lebih matang, lebih tahu apa yang lebih penting. Samada kulitnya atau isinya.

Dont judge a book by its title. Amaaigaaddd...

Tetapi sebelum apa - apa, aku ingin menempel di sini apa yang aku tulis di kulit belakang buku ku ini.

"Bogel Menuju Tuhan adalah salah satu tajuk catatan yang aku tulis di blog, satu masa dahulu. Ia merupakan satu keadaan yang aku gambarkan dalam setiap perjalanan kehidupan manusia yang percaya akan dugaan Tuhan. Tidak ada manusia yang terlepas dari dugaanNya, maka tidak adalah manusia yang tidak akan menempuh satu tempoh kesakitan, penuh perit dan pedih dalam hidupnya.

Aku simpulkan, buku ini adalah antologi catatan dan puisi sewaktu aku dalah hari - hari tidak berwarna, sebelum jingga"

Dan aku harap apa yang aku tempelkan di atas, sedikit sebanyak dapat memberi gambaran serta sekali gus menghambat hukuman oleh suara - suara sumbang yang bakal muncul. Apa yang paling penting, isi buku ini tidak ada gambar lucah. Juga ia bukan buku berunsur ketuhanan, tetapi lebih kepada kejadian - kejadian sosial yang berlaku sekitar aku.


Pelancaran Buku Bogel Menuju Tuhan
12 tengahari
Annexe Gallery, Central Market

Harga: RM30 (tak termasuk kos penghantaran)
Penerbit & Penyunting : Faisal Mustaffa
Penulis & Rekabentuk Kulit : Zahiril Adzim
Blurbs : Ana Raffali
Prakata oleh Nora Murat. Sultanmuzaffar, Hanis Zalikha

Halaman:108
ISBN: 978-967-10126-3-5
Tahun: 2011


To order;

1. Pls SMS 017-2002944 (Type )
2. After confirmation from the administrator, pay the amount to maybank2u.com or Maybank Kawanku to account Faisal bin Mustaffa (MBB 114179439605)

Belian Online
http://tokobuku.fotopages.com/

Khamis, Jun 9

tinggi kerana tidak sanggup

Yang direnung ialah keluasan langit malam, jingga. Diisi oleh awan - awan berselerak indah.

Kalau lah aku punya sayap yang mampu menerbangkan aku, aku akan terbang dan lepak di celah - celah awan. Siang atau malam. Aku tak kisah. Yang penting tinggi.

Tinggi.

Tinggi sehingga aku nampak manusia seperti semut. Bumbung - bumbung rumah seperti bentuk huruf - huruf keyboard komputer.

...supaya aku takkan nampak lagi kekejaman di bumi.

Tak sanggup.


Khamis, Jun 2

sejak dua menjak

Sejak
dua menjak
tiga menjak
empat menjak
lima menjak
enam menjak
tujuh menjak
lapan menjak
sembilan menjak
sepuluh menjak ini,
Aku sudah tidak bersajak.