Jumaat, Disember 7

ini sewel kita semua

Lidah - lidah tiada budaya terus bersepah di gelanggang biol. Berselindung di balik tembok - tembok kebodohan pendirian. Mengangkat kebaculan sendiri untuk disaluti keberanian yang diangan - angankan. Tingkatnya? Di buku lali sahaja.

Gelanggang biol, bikin kita semua sewel.  


Sabtu, November 3

kembalikan

Setelah mungkin bertahun aku kejar apa yang aku impikan, sebenarnya aku telah tinggalkan apa yang aku pernah ada. Tapi itulah pengorbanan yang tanpa sedar, telah aku lakukan.

Aku membuka terapiku, Bogel Menuju Tuhan edisi penulis yang selalu terselit di antara buku - buku yang aku bawa ke set, setiap hari. 

Helaian demi helaian aku semak dan baca semula 'aku yang dahulu'. Yang dahulu yang ternyatanya dalam tempoh hari - hari tidak berwarna, penuh rabak dan pedih. Tapi percaya atau tidak, aku tak mungkin dapat menyatakan apa yang aku rasa hari ini ke atas kertas seperti yang pernah aku lakukan. 

Aku sedar bahawa dahulu aku hidup dalam ruang imaginasi aku sendiri. Yang sebenarnya dimiliki setiap orang. Sebuah ruang yang aku panggil ruang infiniti tidak bergraviti, yang mana ruang itulah yang mengajar siapa diri kita hari ini. 

Ruang untuk kita kenali diri kita, ruang untuk kita selongkar apa fungsi diri, ruang yang telah banyak mengajar kita tentang hidup. 

Kerana setiap kali kita bertanyakan siapa nama kita pun, kita akan memasuki ruang itu. Apatah lagi bertanya pada diri sendiri tentang apa yang hendak kita lakukan, apa yang telah kita lakukan. Pendek kata, 

setiap kali kita berfikir, kita berada di dalam ruang itu. Itulah dunia kita yang lagi satu .

Hari ini aku tak yakin aku punya lagi ruang yang mewah seperti dulu. Hari ini pada aku sudah lain, usia sudah meningkat yang menolak aku untuk bertanyakan soalan - soalan fasa yang baru. Yang bertanggungjawab. Sama sekali tidak sama. Dengan tuntutan kerjaya yang menghimpit aku setiap hari. Tapi malam ini, aku kembali ke ruang itu lagi dan mengharapkan..

Agar kembalikan ruang itu...


Khamis, Oktober 18

untitled #2

Apa ada dalam langit malam ini? Katanya ada bintang baru. Kalau awak mahu, awak tunggu sini, Biar saya terbang, ambil untuk awak. Tolong hulurkan CD lagu tu, takdalah saya bosan nanti. Mungkin 2 3 hari lagi saya pulang.

Tapi 2 3 di atas sana tak sama dengan 2 3 hari di bumi, kan? 



Selasa, September 25

Sabtu, September 22

Ada waktu, apa yang aku pilih untuk lalui, tidak bersebab. Tiada. 
Aku putuskan untuk laluinya sahaja. Redah. 

Mungkin dalam melaluinya itu, aku akan jumpa sebabnya. 
Mungkin. 

Tapi kalau sebabnya aku tak jumpa, juga.

Bermakna. 
Ia. 
Memang. 
Tidak. 
Bersebab.

Sebab aku pilih untuk melaluinya untuk berada di sana.
Dan bukan disini. 

Jadi jangan tanyalah kenapa aku tiada di sini. 
Kerana aku pilih untuk berada disana.

Sebab?

Selasa, September 4

pala hotak aku

Aku tanggalkan topi
Malam ini aku duduk di beranda
Bersedia membelah tengkorak
Selepas sebatang rokok ini.
Fuhh.. 

Lega menyedut racun buat aku penuh bersedia.
Lalu aku koyakkan kulit kepala.
Menggergaji tengkorak aku.
Penuh waspada otakku ambil keluar.


Sekrang otakku penuh dalam dua telapak tangan.
Darah menderas leleh.
Bila aku menjulang tinggi otakku.

Aku lepaskan, biar ia terbang
Ke tingkat - tingkat yang paling atas.
Ke lapisan ke tujuh, lapan, sembilan.
Suka hati kau lah otak. 

Jaga.
Bila kau pulang otak,
Pastikan kau otak yang baru
dan aku disini.
 
Menuggu, tidak berotak. 

p/s : Pala hotak kau.


Selasa, Julai 24

permulaan Ramadhan

Syukur Alhamdulillah, masuk hari ke-4 Ramadhan. Ramadhan kali ini, sudah tentunya lain dari Ramadhan aku yang sebelumnya. Kali ini bersama isteri tercinta. Momen - momen sahur bersama dan lain - lain adalah priceless

Dan juga, kali ini aku menyambut Ramadhan dengan 2 keluarga. Indah. 

Mulanya aku fikir bulan puasa tahun ini nak berehat kejap. Berehat dari bekerja, tapi apakan daya, sudah ditentukan aku harus bekerja juga dalam Ramadhan tahun ini. Aku ok, syukur. Walaupun terpaksa menembak babak - babak berlari turun naik bangunan yang boleh bikin aku pengsan, ahh.. tapi peduli apa aku. Indahnya Ramadhan jauh lagi best dari seteguk air menghilangkan lelah.

Kita sama - sama doa ya? Agar Allah Ta'ala terima setiap amalan kita. Itu lebih penting. Nikmat. Kalau boleh kita cuba lah buat extra amalan yang baik bulan ni. Walaupun sebenarnya tak perlu tunggu Ramadhan baru nak buat, tapi aku percaya kalau itu boleh jadi motivasi untuk kita buat extra amalan, tak salah kot. 

Contoh kalau bulan ni kita nak start bersedekah, dengan motivasi yang apa pun kita buat bulan ni pahalanya double, kita buat je. Insyaallah bulan - bulan yang lain, kita akan terus tersimpan sifat suka bersedekah tu dalam diri kita. Mulakan dari hari ini. Itu contoh. Insyaallah.

Dan jangan lupa, banyak lagi amalan yang baik kita boleh buat selain dari bersedekah sahaja. Tapi kalau kita buat seikhlas - ikhlas yang boleh, tanpa mengharapkan balasan dunia dan akhirat, oh, itu lagi best! 

Jadi, selamat berpuasa kepada semua pembaca blog ini, kepada semua kawan - kawan yang kita suka, selamat menyambut Ramadhan Al - Mubarak. 

p/s: Kalau kita borak dengan orang yang betul, kita akan dapat inspirasi yang betul. Insyaallah.

Isnin, Julai 16

sempadan kawan, sempadan!

Dan akan ada waktu - waktu kita melanggar sempadan itu. Kita langgar, rempuh, tolak-jatuh. Sempadan - sempadan inilah yang membezakan kita manusia. Tinggi rendah nilainya.

Kawan, aku selesa begini. Begini lah aku, dan hidupku. Dan jalanku hanya satu, kerana Tuhanku. Aku bukan tak mahu ikut kau dulu, dengan cara hidup kau yang begitu. Tak mungkin. Aku tahu mana tempat ku, mana cara ku. Di sini kawan, di sini tempat aku. Di sinilah aku. 

Tapi lihatlah kawan, aku juga mampu. Saing - saing kamu, tak jauh mana pun kita sebenarnya. Bezanya aku tidak sanjung apa - apa yang kau perlu sanjung. Meletakkan tinggi dari Tuhan. Oh, aku tak perlu itu. Begini lah aku. Masih berdiri senyum.

Begini hidup aku.

Rezeki aku masih halal kawan, bukan rezeki kamu. Rezeki bawah meja, tepi meja, dalam meja, luar meja. Aku tak perlu meja - meja. Kalau ada, ada lah. Kalau tiada, maknanya Tuhan yang kata begitu. Aku terima kawan. Aku masih tersenyum. 

Lihatlah, aku tak megah dimana aku, tapi kau megah kawan, dengan kelilingmu, dengan gaya hidupmu. Aku tahu. Oh, tak mungkin aku mahu begitu kawan. 

Pilihan aku masih setuju kawan, masih yang satu. Masih begini, tak perlu itu. Kita bukan hidup untuk berlumba kawan. Kalau benar berlumba, tunjukkan aku mana garis akhirnya?

Kawan, senyumlah. Lihat wajahku kawan, aku masih mampu tersenyum. Lihat! 

Hoi, bangun kawan!
Hidup ini bukan milik kita kawan, milik Tuhan!
Jagalah sempadan!


Rabu, Jun 13

tadi punya hantu, sekarang untuk kamu

Masuk lah, sana bilik tidur.
Bermalam lah di sini.

Kalau lapar atau dahaga, minum sahaja air - air di situ.
Di atas tikar itu.
Aku hidangkan tadi, untuk hantu - hantu yang datang.
Datang untuk kononnya membantu aku. 
Untuk mengubah nasib aku. 
Tapi hantu - hantu itu semuanya bohong.
Sudah lah datang dengan hodoh - hodohnya.

Menakutkan. 
Mata takda, 
Giginya tajam.
Muka nya pucat. 
Matanya ada terkeluar,
Lidahnya terjelir panjang.
Sampai ke pinggang. 
Rambut mengerbang.
Kukunya panjang,
Kulitnya menggerutu.
Ketawanya mengilai - ngilai.
Kuat sekali. 
Baunya busuk, hamis. 
Ada yang tiada kepala.
Hodoh - hodoh semua. 

Tuannya kata semuanya akan bantu aku.
Untuk upacara. 
Habis aku hidangkan darah kambing, pulut kuning, telur dan ayam kampung.
Memang aku nak bagi makan semua. 
Bila aku dapat tahu sahaja hantu hodoh tu semua tak mampu buat aku ubah nasib, 
Aku terus halau semuanya.

Aku ugut dengan keris yang sedang terpacak tu. 

Sekarang tiada siapa yang mahu makan. 
Saudari semua ambil lah. Makan. 
Makan! Makan lah!

Cuma tinggalkan darah kambing tu sahaja.
Sebab nanti ada lagi hantu yang terakhir akan datang. 
Lebih hodoh dan mengerikan. Tapi jangan khuatir.
Rasanya waktu itu, saudari semua, 

sudah tidur.


Ahad, Jun 3

melancong hidup

Bayangkan, kita sedang berada di negara orang. Kita sedang melancong dengan persekitaraan yang terlalu baru dalam hidup kita. Pertama kali mata menyaksikan rupa pandang, orang tempatan, bangunan dan segala - galanya. Kita dibawa melawat ke tempat - tempat menarik, tempat - tempat bersejarah atau tarikan pelancong.

Dengan sebuah bas. Bas pelancong. 

Sekitar kita adalah orang - orang yang tidak sama bahasa dengan kita, dan kalau tidak ada pemandu pelancong, kita bakal sesat. Sesat yang menyukarkan kita untuk kembali pulang menjalankan kehidupan seharian kita.

Bayangkan, kita berhenti di zoo negara itu. Kita lihat haiwan - haiwan yang tak pernah kita lihat. Tak ada di negara kita, dan kita jadi teruja. Kita rancak berbual dengan rakan - rakan atau keluarga, tentang fizikal haiwan itu, bunyian yang dikeluarkan oleh haiwan itu. Habitatnya, tabiatnya. Macam - macam. Kita bual, kita gali informasi tentang haiwan itu. 

Bayangkan, kemudian kita naik bas semula dan dibawa ke muzium pula. Dimana sejarah dan cerita - cerita purba tentang negara itu. Wang lama, pakaian askar lama tentera negara itu. Kita berdiskusi, kita duduk dalam muzium itu memikirkan tentang pelbagai hal yang berkaitan dengan pameran dalam muzium itu. Kita bercanggah pendapat dengan pelancong lain, atau kenalan. Kita cuba dapatkan jawapan tentang sejarah dan barang - barang pameran. 

Dan sekarang, bayangkan. Zoo, Muzium dan tempat - tempat itu semua adalah masalah atau kecelakaan yang menimpa hidup kita. Kita duduk dalam masalah, kita bersedih, kita bergaduh, bercanggah pendapat dan macam - macam dan bas itu pula adalah kehidupan kita yang akan terus bergerak ke tempat - tempat lain. 

Kalau kita terus duduk dalam muzium itu, terlalu memikirkan tentang hal dalam muzium itu,

Bas akan terus bergerak meninggalkan kita. Begitu juga kehidupan.

Yang akan terus bergerak...


Ahad, Mei 27

tapak

Sebaik aku sampai di daerah itu, aku terus membuka sebuah kerajaan baru. Sebuah empayar baru. Empayar aku. Hasil dari perjalanan aku menerokai hutan dan lautan. Jalan air, dan jalan darat. 

Sekarang, kerajaan aku semakin luas. Aku sudah punya barisan menteri sendiri, aku sudah punya hulubalang, pendekar - pendekar yang berani berjuang demi kerajaan aku. Pembangunan lebih laju dari apa yang aku bayangkan. Ekonomi mencurah - curah keberjayaannya. Ekar - ekar tanah, sudah aku takluk semuanya, sana sini. Aku besarkan lagi dan lagi. 

Bertahun - tahun usahanya. Yang dulu tanah merah, kini menjadi jalan tar. Menghubungkan negeri - negeri dalam kerajaan aku. Digunapakai dari setiap menteri - menteri, sehinggalah rakyat jelata.

Tapi bila satu hari, aku melalui satu kawasan di mana tempat aku mula - mula pijak tanah kerajaan yang aku bina ini, mulanya tapak kakiku merasa tanah selepas laut yang aku redah, 

Kesan - kesan tapak kaki aku masih ada. Melekat. Segar. 

Macam baru tadi aku pijak sini.

Rabu, Mei 23

VS BMT

Ini ada sikit perkara yang nak aku kongsikan pada sesiapa yang masih lagi belum dan berhajat untuk dapatkan buku aku, 'Bogel Menuju Tuhan' (Oh, tolonglah jangan tanya lagi apa maksudnya dan kenapa tajuk macam tu)

Jumaat ini, insyaallah aku akan ke booth ibuku di Space U8, Bukit Jelutong Shah Alam. Booth mak aku yang jual buku - buku lama (2nd hand book). Jadi kalau sapa - sapa yang akan ke sana untuk layan konsert VERSUS TV9 tu, sambil - sambil tu kalau nak beli, boleh singgah booth mak aku. Insyaallah aku ada dekat sana sampai malam. Nak borak ke, nak lepak ke, boleh. Sila lah. Nak bawak buku yang dah pernah beli untuk aku tandakan pun boleh. 

Okay? Jumaat ni, sambil tengok VERSUS TV9, di Space U8, Shah Alam.  

Aku serius tau. 


Ahad, Mei 20

itu bulu ayam, habis kita?

Carik - carik bulu ayam, lama - lama bercantum juga. Carik - carik antara sesama manusia?

Parah.

Khamis, Mei 17

bukan harapan, ia persoalan


Kadangkala, ada ruang - ruang kosong dalam hidup yang tak perlu kita selongkar. Biar ia tertutup rapat. Biar ia mampat dengan angin bergelimpangan di dalamnya. Tak tembus walau cuba dibocorkan oleh misteri, kenangan, harapan, kesedihan, kegembiraan, sejarah dan apa sahaja. Biar ia terus kosong, tertanam dalam kepadatan rutin - rutin tuntutan kehidupan melalui dosa - dosa lampau atau upah dari kebodohan sendiri. 

Ia memang diciptakan begitu, yang sampai sudah kita tak mungkin bertemu jawapan. Bukan harapan, tapi inilah persoalan. 

Tak kental.

Foto oleh Kas Roshan.

Ahad, Mei 13

datanglah lena, semoga demammu reda

Matanya terpalit rapat,
dibuai mimpi mungkinnya.
Menghilangkan lelah,
menerima dugaan kecil dariNya, 

Dia demam siang hari,
menggigil tubuh menahan resah,
menarik daya.
Tiada upaya.
Wajahnya ku tenung, 
dalam tidurnya. 
dalam sunyi malam,
sedalam - dalamnya. 
Melihatmu,
aku tenang, Puteri hatiku.

Tidurlah isteriku, 
demam ini dari Tuhan, 
baik buruk, ia tetap pemberian Tuhan. 

Tidurlah, suamimu disebelah ini.
Biar aku tidur lewat malam ini,
Menunggu kau didatangi lena. 
Semoga esok, demammu reda.

p/s: Terciptanya rasa kasih, rasa sayang, dalam diri, didikan ayah ibuku. Walau ia milik Tuhan.

Khamis, Mei 10

apalah daya

Sehingga hari ini, sudah ramai yang datang padaku dan suruh aku sambung menulis. 

"Jangan berhenti, tulis lagi, tolong lah" 

Nak dikira pakai jari, aku pun tak ingat dah berapa ramai. Tapi apalah daya aku, dengan setiap hari aku, dipenuhi dengan jadual mencari makan. Bukan aku tak rindu, sangat - sangat rindu waktu zaman habis belajar dan setiap hari aku kosong dan penuh masa untuk menulis, melemparkan rasa - rasa waktu itu.

Oh, apa lah daya aku hari ini.

Khamis, April 19

semuanya okay

Acara penembakan pun dah habis. Sekarang sedang goyang kaki di rumah, melaksanakan tanggungjawab kehidupan seharian.

Juga melaksanakan kerja - kerja, menyusun serta mengemaskini segala order - order untuk BMT Langsung Dari Tangan #2.

Maaf, pada yang dah order awal - awal hari tu. Tapi takpe, yang order awal - awal tu memang confirm ada stok untuk diaorang lah.

Maknanya juga, aku akan tutup order dalam beberapa hari lagi. Mungkin hari ini, mungkin esok. Lepas kemas kini segala order, kalau aku check dah over limit order semuanya, aku pun tutup lah. Sesiapa yang nak order, baik cepat. Sebab aku dah nak buat kerja - kerja mengepos ni.

Kesian yang tunggu lama. Hangpa don't worry nah?
Insyaallah semua okay.

Selasa, Mac 13

suruh resahku menari

Nyanyikanlah keresahan mu dalam tulisan,
Goyang - goyangkan agar ia lalai,
tentang pedihnya kenyataan,
Lenggokkan tubuh,
Ke kiri dan ke kanan,
Agar keresahan, memujuk jiwanya sendiri,
Tarikanlah ia mengejek rentak dengki,
Mengubati luka - luka,
Hirisan duniawi.
Perit ini akan kembali.
Bukan janji, tapi pasti.

Penyembuhnya bukan dihujung dunia,
tapi tercipta dalam diri.

Pujuk lah diri ku sendiri.
Walau pupus seni dari industri.

Khamis, Mac 8

BUNOHAN

Hujan lebat malam ni semacam memberikan satu mood yang penuh tanda tanya pada aku. Beribu - ribu persoalan, juga punca - punca cuba aku gali dan cari akan perkataan yang tepat untuk aku padankan dengan mood yang singgah pada aku malam ini, tapi aku gagal.

Mungkin Tuhan memang tidak izinkan, mungkin Dia hanya mahu aku 'rasa' tanpa aku kenal pasti. Jadi, tak apalah.

Lalu aku pinjam 'rasa' ini untuk menggerakkan jari - jari aku menggigit papan kekunci ini. Mungkin 'rasa' ini hampir sama dengan rasa yang aku terima selepas menonton filem BUNOHAN.

Seakan kosong dan membisukan serba serbi pada diri. Yang tinggal hanya ruang fikiran untuk diselongkari. Aku fikir, ya, aku mahu kongsikan tentang BUNOHAN di sini.

Hari ini, 8 Mac 2012 sudah bermula tayangan filem BUNOHAN yang dinantikan ramai. Berapa ramai aku kurang pasti, yang penting dinantikan aku sendiri. Tolak tepi tentang soal aku adalah salah seorang pelakon filem ini, kerana aku lebih suka berbicara tentang filem ini dari mata penonton.

Yang penting aku bukan nak buat review tentang filem ini disini. Aku war - warkan sahaja.

Mungkin ramai yang menganggap filem ini filem action packed, sebenarnya tidak. Aku lebih sukakan konflik dan perhubungan dalam filem ini. Aksinya tidak terlalu banyak yang bakal memualkan penonton. Pada aku cukup, tak perlu lebih - lebih.

Selepas habis menonton di malam perdana tayangan filem BUNOHAN tempoh hari, aku sungguh terkesan. Tak payah cakap tentang sinematografi, lakonan dan lain - lain. Pada aku semuanya sudah di tahap yang membanggakan (tidak termasuk aku) Kerana aku tak pernah puas dan bangga dengan hasil kerja aku.

Tapi aku terdiam dan terkesan dengan sifat manusia yang digambarkan dalam filem ini. Keesokkan harinya, aku harus ke Alor Star untuk meneruskan penembakan drama dan sepanjang berada di dalam kapal terbang, aku masih lagi memikirkan tentang BUNOHAN. Dalam hotel, berseorangan tersandar pada dinding katil, aku masih ligat memikirkan tentang BUNOHAN.

Ahhh.. memang terkesan.

Bagaimana seorang manusia dengan pekerjaan yang kejam/ganas akhirnya tumbang kerana rasa kasih sayang pada seorang adik dan bagaimana pula seorang manusia dengan pekerjaan yang mulia, dihasuti syaitan dan menumbangkan rasa kasih sayang.

Beza.

Aku nak cerita lebih, nanti potong stim pulak pada yang belum menonton, tapi aku memang sarankan anda semua tonton filem ini. Kalau sebelum - sebelum ini kita selalu menonton filem komedi hiburan ringan, mungkin ini masanya untuk kita tonton filem sebegini. Lepas ni kalau nak sambung tonton filem hiburan ringan, tak salah. Silalah.

Jangan takut untuk berfikir sewaktu menonton, tak jadi hal. Macam aku pernah tulis di Twitter, kita nak beli seluar dalam pun kita fikir. Saiz, warna, corak. itu semua kita fikirkan. Berfikir bukan satu aktiviti yang kita buat - buat, ia memang sudah sebati dengan manusia. Jadi jangan takut.

Dan aku juga yakin yang pembaca blog aku ini juga bukan calang - calang. Aku sudah berjumpa, berbual di internet dengan pembaca - pembaca yang mengikuti blog aku. Kebanyakkan daripada anda semua adalah jenis yang mencari bahan yang baik samada untuk dibaca, ditonton dan lain - lain. Aku tahu. Aku bukan main petik. Ye dak?

Anda bukan calang - calang orang dan BUNOHAN memang untuk anda.

Jadi sebelum aku tinggalkan papan kekunci ini, aku tinggal beberapa video untuk anda tonton, untuk dapatkan gambaran tentang BUNOHAN, tentang 'rasa' dan bahasa filem ini. Ada trailer, di sebalik tabir dan juga video blog sepanjang pembikinan filem ini. Segala sinopsis, para pelakon anda boleh google sendiri. Jangan malas. Menonton filem ni kena rajin berfikir, kena pandai cari jawapan sendiri. Ini, belum tengok lagi dah malas nak cari jawapan.

Terima kasih buat setiap pembaca blog ini. Kita semua adalah pembaca.

























Selasa, Februari 21

ketawakan siapa?

Dah makin lama, dah makin meningkat umur. Kehidupan bujang dah aku tinggalkan, jadi segala - galanya lain.

Kemarahan yang dulu - dulu aku buangkan. Lebih tenang dan senang. Mungkin itu pasal aku jarang menulis, jarang menaip. Setiap hari bangun pagi, fikir pasal rumah, rumahtangga dan masa depan rumahtangga.

Fikir tentang kerjaya, fikir tentang kewangan.

Hoishh.. Dah lain. Serius.

Dulu banyak kemarahan. Tentang isu ini, isu itu. Perkara - perkara yang mengusik jiwa, kandungannya dah berbeza. Nampak?

Aku angguk - angguk kan kepala, setuju pada diri sendiri. Bila aku pusing kebelakang, ya aku makin percaya dengan pendapat aku sendiri.

Jangan risau, aku boleh pusing kebelakang. Takda masalah. Memang betul orang cakap, hidup pandang ke depan, jangan pusing belakang. Tapi kerja aku tak.

Kerja aku kena pusing belakang selalu. Bila memerankan peranan - peranan yang berkaitan dengan latarbelakang, nak taknak aku kena jugak pusing belakang. Ambik balik rasa.

Hmmm....

Tapi baru - baru ni aku terfikir, kalau bujang halangannya lain, dah kawin pun halangannya lain. Kita takkan terlepas. Halangan atau dugaan ni sentiasa datang. Biasalah tu. Diam dan senyum je. Ketawakan je.

Lepas tu aku fikir lagi, antara "kita" dan "kehidupan",

Siapa yang patut mentertawakan siapa?





Rabu, Januari 25

ok kot

Hari jadi baru lepas.

Filem JUVANA pun dah habis shooting.

Esok berangkat ke Jepun. Family trip + wifey. Juga melawat abang ipar, kakak dan 2 orang anak buah yang dirindui.

Macam rilek sangat je hidup aku ni?
Ok ke? Ok kot.

Tengoklah kat sana kalau rajin, aku update sikit - sikit. Tu pun kalau sempat jumpa internet. Apa - apa hal boleh usha Twitter aku.
@zahiriladzim

Ahad, Januari 8

langsung takda

Aku masuk bilik komputer.
Aku bukak suis lampu.
Aku bukak komputer.
Aku tarik kerusi.
Aku duduk.

Aku bukak blogger.com sebab nak tulis entri baru.
Aku pandang dua biji monitor depan aku.
Aku pandang, aku tenung.
Tenung monitor, tenung punya tenung.
Aku tenung lagi.

Peh, monitor ni tak memberi inspirasi langsung siot.
Bangang.
Tak bleh blah.
Aku blah.


+ Ini bukan puisi

Isnin, Januari 2

2 0 1 2

Selamat Tahun Baru buat semua pembaca blog ini. Saya tak tahu nak update apa sebab otak belum ready nak menaip apa - apa lepas bernikah hari tu. Kenapa?

Sebab terlalu sibuk nak susun balik semua benda. SEMUA. Kerja, kehidupan, rumah, kewangan dan segala - galanya lah. Alah, korang yang dah kahwin mesti faham.

Kan? Kan? Kan? Kan? Banyak benda nak settle, ye dak?

Jadinya, bila dah ada benda nak tulis, dan bersiap sedia, insyaallah, saya update entri di sini. Memang banyak benda nak cerita, tapi tak banyak masa.

OK, jangan marah.

SELAMAT TAHUN BARU.
I LEV YIU.