Rabu, Jun 13

tadi punya hantu, sekarang untuk kamu

Masuk lah, sana bilik tidur.
Bermalam lah di sini.

Kalau lapar atau dahaga, minum sahaja air - air di situ.
Di atas tikar itu.
Aku hidangkan tadi, untuk hantu - hantu yang datang.
Datang untuk kononnya membantu aku. 
Untuk mengubah nasib aku. 
Tapi hantu - hantu itu semuanya bohong.
Sudah lah datang dengan hodoh - hodohnya.

Menakutkan. 
Mata takda, 
Giginya tajam.
Muka nya pucat. 
Matanya ada terkeluar,
Lidahnya terjelir panjang.
Sampai ke pinggang. 
Rambut mengerbang.
Kukunya panjang,
Kulitnya menggerutu.
Ketawanya mengilai - ngilai.
Kuat sekali. 
Baunya busuk, hamis. 
Ada yang tiada kepala.
Hodoh - hodoh semua. 

Tuannya kata semuanya akan bantu aku.
Untuk upacara. 
Habis aku hidangkan darah kambing, pulut kuning, telur dan ayam kampung.
Memang aku nak bagi makan semua. 
Bila aku dapat tahu sahaja hantu hodoh tu semua tak mampu buat aku ubah nasib, 
Aku terus halau semuanya.

Aku ugut dengan keris yang sedang terpacak tu. 

Sekarang tiada siapa yang mahu makan. 
Saudari semua ambil lah. Makan. 
Makan! Makan lah!

Cuma tinggalkan darah kambing tu sahaja.
Sebab nanti ada lagi hantu yang terakhir akan datang. 
Lebih hodoh dan mengerikan. Tapi jangan khuatir.
Rasanya waktu itu, saudari semua, 

sudah tidur.


Ahad, Jun 3

melancong hidup

Bayangkan, kita sedang berada di negara orang. Kita sedang melancong dengan persekitaraan yang terlalu baru dalam hidup kita. Pertama kali mata menyaksikan rupa pandang, orang tempatan, bangunan dan segala - galanya. Kita dibawa melawat ke tempat - tempat menarik, tempat - tempat bersejarah atau tarikan pelancong.

Dengan sebuah bas. Bas pelancong. 

Sekitar kita adalah orang - orang yang tidak sama bahasa dengan kita, dan kalau tidak ada pemandu pelancong, kita bakal sesat. Sesat yang menyukarkan kita untuk kembali pulang menjalankan kehidupan seharian kita.

Bayangkan, kita berhenti di zoo negara itu. Kita lihat haiwan - haiwan yang tak pernah kita lihat. Tak ada di negara kita, dan kita jadi teruja. Kita rancak berbual dengan rakan - rakan atau keluarga, tentang fizikal haiwan itu, bunyian yang dikeluarkan oleh haiwan itu. Habitatnya, tabiatnya. Macam - macam. Kita bual, kita gali informasi tentang haiwan itu. 

Bayangkan, kemudian kita naik bas semula dan dibawa ke muzium pula. Dimana sejarah dan cerita - cerita purba tentang negara itu. Wang lama, pakaian askar lama tentera negara itu. Kita berdiskusi, kita duduk dalam muzium itu memikirkan tentang pelbagai hal yang berkaitan dengan pameran dalam muzium itu. Kita bercanggah pendapat dengan pelancong lain, atau kenalan. Kita cuba dapatkan jawapan tentang sejarah dan barang - barang pameran. 

Dan sekarang, bayangkan. Zoo, Muzium dan tempat - tempat itu semua adalah masalah atau kecelakaan yang menimpa hidup kita. Kita duduk dalam masalah, kita bersedih, kita bergaduh, bercanggah pendapat dan macam - macam dan bas itu pula adalah kehidupan kita yang akan terus bergerak ke tempat - tempat lain. 

Kalau kita terus duduk dalam muzium itu, terlalu memikirkan tentang hal dalam muzium itu,

Bas akan terus bergerak meninggalkan kita. Begitu juga kehidupan.

Yang akan terus bergerak...