Berkepul - kepul asap rokok naik dari ashtray yang penuh puntung ke ruang udara dalam bilik aku. Cahaya dari lampu tidur memancar suram gelapnya bilik aku yang seperti bekas tapak pasar malam. Berselerak terbiarnya.
Aku tak dapat tidur malam ini.
Mataku tidak mahu pejam seperti biasa. Minda ini tidak mahu berhenti bekerja seketika. Berguling - guling, beratus - beratus darjah sudah ku pusing. Sudah puas ku pujuk diri. Tidak mahu juga.
Lalu aku bangun. Nikotin dan kafein berlawan - lawan memasuki tubuhku. Mereka sebati, dari dulu lagi. Aku bangun kerana benar - benar tidak terpejam mataku mengundang tidur. Aduhh.. Aku bingung soal kerja lagi. Mindaku terus berfikir, tetapi tidak banyak yang aku catatkan. Aku percaya ramai manusia sepertiku, otak mereka laju berfikir, tetapi hanya secebis yang mampu dinyatasuarakan. Takpalah, lupakan itu.
Lihat!
Tadinya sebelum jari jemari ini mengatuk papan kekunci, berbuah - buah perkataan yang mahu aku turunkan ke sini. Nyata sekarang telah kabur terhilangnya sendiri. Waktu ini aku hanya mahu menulis untuk tidur.
Aku mahu tidur..
Nah, tak boleh juga. Orang tiada kerja jadi bingung, aku yang terlebih kerja juga bingung. Dua jam yang lepas, aku baru mengatur jadual kerjaku yang telah bikin semak otak aku seperti seluruh bilikku ini. Banyak semuanya. Ke sana kemari. Ke depan ke belakang dan ke kiri ke kanan. Hujung minggu ini aku mula menembak semula. Kali ini tidak kenal rehat lagi sehingga bulan April lamanya. Lanjutan itu pula, lain kerja yang menunggu di ruang masa yang berbeza.
Aku yang telah meletakkan jiwa pada kerja dan kerjaya, bertitik mula dari keinginan yang disaluti kesungguhan. Apa yang aku lakukan hari ini adalah apa yang aku inginkan 5 tahun lepas dengan cebisan hati hancur yang dikutip semula lalu aku bawa lari ke hari ini. Aku pada masa itu jauh sekali dari aku pada hari ini. Yang menolak aku ke hari ini adalah kekecewaan. Jadi, siapa kata kekecewaan itu hanya berakhir dengan kehancuran?
Tidak. Jika ia diheret ke ruang baru yang lebih positif.
Sekali lagi aku cuba untuk pujuk diri agar menyambut kepenatan yang membutuhkan?
TIDUR...
Selamat malam seluruh hamba.