Showing posts with label oh kota lumpur. Show all posts
Showing posts with label oh kota lumpur. Show all posts

Monday, November 9

sorong seni, tarik sukan.

Pernah aku dan konco - konco (Rumah Anak Teater) bercakap tentang 'seni dapat menyatukan kaum' dan sebagainya. Tidak kira seni apa.

Samada seni muzik, seni teater, seni tari, seni penulisan, seni filem, seni kraftangan, seni visual, seni halus, seni ukir serta seniman jalanan. Seniman jalanan? Apa - apa lah.

Tak kira.

Ini sudah terbukti. Terbukti apabila bangsa - bangsa yang dikelaskan oleh penjajah satu ketika dahulu (ya, bangsa sebenarnya diwujudkan oleh penjajah) berkumpul untuk merayakan sesebuah medium yang digemari, diminati dan segala macam lagi.

Kita ambil contoh yang paling dekat dengan semua orang (harap - harap), iaitu seni filem.

Seperti yang kita semua sudah tahu dan terpalit di dalam kepala, setiap kali kita menonton filem di panggung wayang, secara tidak langsung di dalam panggung itu sudah ada penyatuan. Di mana pelbagai bangsa berkumpul untuk merayakan (menonton) filem tersebut.

Katakan filem itu bagus dan memuaskan hati penonton yang hadir, masing - masing akan keluar berjalan pulang, tersenyum berbual sesama sendiri, berbincang tentang filem yang baru sahaja ditonton. Dalam kesesakan berjalan kaki keluar dari panggung, kebanyakkannya, apa yang ada di dalam kepala masing - masing semuanya tentang filem yang baru ditonton. Walau terlanggar bahu sedikit, walau terpijak kasut sedikit, pasti kemaafan cepat sahaja dibenarkan! Aman bukan? Yeah!

Tapi ini untuk filem yang bagus dan memuaskan hati. Kalau filem tak bagus? Aku tak tahu.

Atau mungkin ada yang fikir dekat mana nak makan lepas tu. Mungkin. Aku pernah.

Sambung.

Ditambah pula, dalam lorong yang sesak yang panjang, menuju ke pintu keluar, lorong yang kalau kita pekik akan bergema seluruhnya, masing - masing berbual, mengkritik dan sebagainya. Tiba - tiba ada seorang penonton yang carried away, atau terlalu into filem tersebut, melaungkan satu dialong yang masih tercalit di dalam kepala dia (atau kepala penonton yang lain)

Lalu bergema dan didengari oleh penonton lain yang sedang berjalan kaki keluar. Maka tergelak kecil yang lain - lain kerana secara tak sedar, dialog itu juga terpalit dalam kepala mereka. (lagi sekali, jika filem itu bagus dan memuaskan hati)

"Aaaawwwww!" (oh, aku ambil contoh This Is It - Michael Jackson) Kerana lebih universal kata awek Hartamas.

Ada yang memandang senyum. Ada juga yang bersuara.

"That's nice bro! You really sound like him" sambut seorang bangsa lain, yang merujuk kepada watak hero dalam filem tersebut. Dan mereka semua tergelak kecil....

Oh, aku terbayangkan keamanan kaum yang melampau. Maaf.

Tapi sepanjang menonton filem tersebut, tidak ada langsung pemikiran bahawa, "Eh kenapa aku tengok filem dengan bangsa lain ni?"

Takda, kan?

Baiklah, mungkin ada segelintir. Itu bukan masalah kaum, tapi individu itu sendiri yang racist tak habis - habis. Abaikan.

Tak pun kalau ada yang menendang kerusi kita dari belakang, buat bising atau beromen, bila kita toleh untuk suruh diam, kita tengok bangsa lain. Tapi sekali lagi, itu bukan salah bangsa, salah individu.

Jadi secara langsung jika sedar, dan secara tidak langsung untuk yang kurang sedar, itu adalah contoh kecil bahawa seni itu telah menyatukan atau membenarkan kaum yang pelbagai, berkumpul (gather).

Untuk merayakan.

Baik, itu cerita seni filem. Kalau kita bercakap tentang seni muzik, lebih kurang sama ceritanya. Cuma naratifnya lain - lain. (harapnya lah)

Tak masuk peminat - peminat sedunia Michael Jackson, Britney Spears, Metallica, Green Day, John Mayer (cheh, aku ler tu), Beyonce dan lain - lain. Bila mereka datang nak buat konsert di negara, berpusu - pusu orang beli tiket!

Yah, sekali lagi, itu contoh penyatuan yang membenarkan sesama bangsa berkumpul untuk merayakan.

Dan kemudian, contoh - contoh lain pun menyusul, yang kalau aku tulis berjela - jela nanti.

Untuk aku yang paling dekat, ialah seni teater. Korang dah tengok filem GADOH? Tengok dan jawab sendiri.

Ini cuma contoh kasar. Contoh kecil. Kasar yang kecil - kecil. Sebenarnya luas lagi penyatuan serta perpaduan dalam seni ini, cuma aku je yang malas nak bagi contoh dalam - dalam. Korang kenalah fikir sendiri sebab benda dah depan mata.

Takkan semua aku nak suapkan.

Kemudian aku terfikir lagi, apakah selain seni yang dapat menyatukan?

Sukan boleh tak?

Lalu aku menjawab pada seorang teman, MoizzisR.Chong namanya. Seorang penulis skrip filem GADOH. Penulis bersama, untuk lebih tepat.

"Sukan boleh Chong!", aku mencelah.

Sukan boleh menyatukan kaum, sukan membenarkan kita berkumpul secara aman! Tengok masa pasukan badminton negara bertanding, tengok masa Lee Chong Wei main, berapa ramai orang - orang kampung (bangsa selain Cina) bersorak dengan kaca TV?

Menyokong bangsa lain atas nama negara!

Sahut seorang rakan lain, "Bapak aku yang racist pon sokong Lee Chong Wei dulu weh! Walaupun dia suka bercakap tentang Melayu!"

Jawab R.Chong, sukan boleh. Tapi jangan lupa, sukan ada sifat bersaing, sifat berlawan. Sukan memiliki sifat - sifat yang bakal menyebabkan pertelingkahan. Bakal menyebabkan perbalahan.

"Hmmmm...." aku berfikir sejenak, dari hari tu sampailah dua hari lepas.

Bila tengok rusuhan penyokong bolasepak di Stadium Bukit Jalil, bila tengok stadium di bakar, bila dapat tahu di luar stadium telah tercetusnya keganasan antara penyokong,

Aku terus kembali berpihak pada 'seni dapat menyatukan'. Setidaknya aku mengharapkan itu, kerana sukan gagal mewujudkan perpaduan. Lebih teruk, sesama bangsa.

Tidak lagi sukan.

(Walaupun sukan ada seninya)

p/s: Contoh Awww! di lorong itu hanya khayalan 'keamanan kaum' aku yang melampau.

Saturday, May 9

eksploitasi wanita

Semalam aku lepak minum bersama sutradara AIR CON dan beberapa penggiat teater & tari tempatan. Sedang kami berbual, bertukar pendapat, mengutuk sesama sendiri, kami didatangi oleh gadis - gadis berskirt pendek dan baju - baju yang agak tidak sesuai dalam ruang yang sungguh berhawa dingin begitu.

Mereka menjual rokok.

Aku tidak ada masalah dengan rokok yang mereka jual itu. Juga, aku tidak ada masalah dengan gadis penjual rokok yang menggiurkan itu. Cuma aku terfikir kenapa syarikat penjual rokok dan beberapa syarikat lain menggunakan perempuan untuk menjual rokok.

Dan kalau kita tengok syarikat kereta, telefon, kamera dan banyak lagi, yang juga menggunakan atau dalam kata lain,

mengeksploitasikan wanita.

Kalau kita berjalan di mana - mana, katakan di Midvalley dan sedang berlangsungnya promosi menjual kereta-bapak-mahal, pastinya lebih mahal harga kereta itu, lebih pendek skirt dan lebih terlopong dada gadis penjual kereta itu.

Begitu juga bila kita berjalan di PC Fair. Yang memegang kamera, printer dan barang - barang elektronik lain, pasti perempuan/gadis/wanita. Lelaki hanya duduk di belakang kaunter mengira keuntungan. Berapa sangat je gaji gadis - gadis itu?

Bukan. Aku tidak ada masalah dengan perempuan/gadis/wanita seksi. Tidak sama sekali, itu hak mereka berpakaian. Baguslah jika mereka nak tunjukkan yang mereka menjaga kulit. Aku faham.

Tapi aku cuma bermasalah dengan para kapitalis yang mengeksploitasikan mereka untuk keuntungan.

Bila hari ini, aku berjalan membeli rokok di sebuah kedai majalah, aku lihat ramai juga perempuan/gadis/wanita yang dieksploitasikan untuk meningkatkan penjualan majalah.

Biar orang kata, "Wah! Cantiknya covergirl majalah ni, aku kata, "Wah! Semakin banyak wanita dieksploitasikan!". Malangnya, yang dieksploitasikan ini tidak sedar, malah lebih teruja.

Adakah mereka ini sedar bahawa mereka sedang dieksploitasikan? Kalau betul mereka setuju untuk dieksploitasikan, baguslah kerana mereka sendiri yang mahu. Sekurang - kurangnya mereka tahu apa yang mereka buat. Kalau begitu, andaikata mereka sedang berjalan di pasar malam, ada tangan yang menggenggam punggung mereka, mereka mahu marah? Separuh badan sudah dipertontonkan, mesti ada yang mahu merasa pula, kan?

Aku tidak ada masalah dengan sesiapa yang pernah menjadi covergirl/boy, kerana aku sendiri pernah muncul di muka depan majalah. Tapi isinya dibualkan mengenai hasil kerja aku. Bukan isu covergirl/boy yang aku tekankan disini. Harap maklum.

Tun Mahathir, Anwar Ibrahim pun pernah banyak kali keluar mukasurat depan majalah TIME. Aku tidak ada masalah.

Walau bagaimanapun, isu ini sebenarnya sudah lama dibualkan, dibincangkan. Namun tiada penghujungnya, malah semakin hebat. Agak basi sebenarnya. Cuma aku terdetik untuk menulis kerana aku terfikir,

Apakah kemodenan hari ini harus berjalan seiring dengan buah dada wanita?

Kalau ya, aku mungkin ketinggalan zaman.. Haha!

Bukti yang aku tidak ada masalah dengan covergirl (Kiera Knightley) Haha!

p/s: Tapi tetap tidak cukup kuat untuk aku membeli mana - mana majalah yang ada mukanya, yang pada aku, majalah tidak ada isi. 80% hanya lah iklan. Aku maki hamun sorang - sorang.

Ouh ya, aku ada seorang rakan lelaki yang takdahal untuk dieksploitasikan. Malangnya tidak ada sesiapa yang mahu menggenggam punggungnya pun? Haha..

Ouh, dunia sudah gila.. Aku juga!

Wednesday, November 26

bengkel kolaborasi - snap!

Hari ini tamatlah collaboration workshop yang aku sertai semenjak beberapa hari yang lepas. Banyak perkara yang telah dibincang dan di petir-otakkan (brainstorming). Berlandaskan tema besar bengkel ini iaitu HOME, pelbagai cara telah dilaksanakan. Perbincangan, presentasi, improvisasi dan lain - lain lagi. Antara kami terdiri dari Melayu, Cina dan India yang datang dari pelbagai latarbelakang dan kerjaya. Itu yang membuatkan aku tertarik untuk bekerjasama lagi. Insyaallah, kalau tidak ada aral melintang, kolaborasi ini akan diteruskan lagi.

Jadi semalam, kami sekumpulan telah berjalan atau bersiar - siar di sekitar Kuala Lumpur untuk lebih mengenali kota yang dipanggil HOME ini. Walaupun dalam masa yang singkat dan tempat yang terhad, aku telah ke beberapa tempat yang tidak pernah aku singgah sebelumnya.

Kami bersetuju untuk menggunakan pengakutan awam agar lebih berpeluang untuk melihat sekeliling sewaktu melakukan observasi.

Aku teringat, masa aku darjah 5 aku dah pandai naik bas mini pergi Sungei Wang main game. Memang dari kecik aku sudah berlegar - legar di Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, bas dan teksi. Bila aku sudah meningkat dewasa dan memiliki keselesaan berkereta, aku sedar bahawa banyak perkara yang aku terlepas.

Sebagai pemandu, fokusnya terhad kepada pemanduan sahaja.

Nah, ini sedikit foto yang aku snap! untuk dikongsi, selebihnya adalah simpanan peribadi. Aku bukan seorang jurugambar ya, ingat itu.


(Foto oleh Cathy)








(Foto oleh Cathy)

(Foto oleh Cathy)

(Foto oleh Cathy) Sheerad memang lapan kali besar dari aku!

(Foto oleh Cathy)






(Foto oleh Cathy)

(Foto oleh Cathy)

Namron dan kameranya, haha.

(Foto oleh Cathy)

(Foto oleh Cathy)

(Foto oleh Cathy)

p/s: Maaflah, aku bukan abang jurugambar gempak dengan DSLRnya. Kamera itu pun bukan milik aku, pinjam.

Ouh ya, saudara JD dari Berita Harian telah menyelitkan berita bahawa aku sedang solo tanpa ikatan cinta. Hahaha.. Nak selit jugak... (tetap, katanya)

Takpalah, solo itu kan lebih mudah untuk fokus kepada diri sendiri? (ayat penyedap hati sendiri)

Thursday, October 30

Dusta Dalam Berita Hari Ini

Niatnya nak makan tengahari dengan mak bapak aku, maka aku dengan Fared Ayam pun park kereta dan berjalan kaki mencari mak bapak aku yang telah sedia menunggu di kedai buku berhampiran tempat makan, untuk memayung makan tengahari kitaorang hari ni. Yehaa!

Tengah berjalan tu, aku berhenti lah kejap dekat kedai suratkhabar, membaca headline - headline suratkhabar hari ni. Biasalah, akhbar pro-kerajaan menjual cerita kipas kerajaan mereka, sementara akhbar pembangkang (Suara KeADILan dan Harakah) dengan cerita ahli parti kebanggaan masing - masing serta fakta tentang harga sebenar BBM (petrol). Mata aku melintas ke Suara KeADILan dengan headlinenya, Kerajaan Tipu Rakyat. Aku selak sikit - sikit, aku tutup balik. Muak pulak rasanya.

Fikiran aku spontan berkata, "Ah, politik. Yang ni kutuk yang tu, yang tu kutuk yang ni. 2 x 5. Nanti - nanti je lah aku baca, nak sumbat perut dulu".

Mata aku lintas dekat akhbar Metro dan Kosmo. Cerita pasal jual bayi. Aku nampak perkataan bayi dan nombor 500 dan 600. Aku biarkan, sebab pada aku agaknya ini headline pelaris.

Aku tak rasa nak beli mana - mana suratkhabar hari ni. Baik aku balik rumah, baca suratkhabar yang bapak aku beli hari - hari. Aku beredar dari kedai tu. Fared Ayam, kawan aku tadi, terus stay depan kedai tu dengan muka yang bingung.

"Weh! Sini kejap! Tengok ni!"

Diangkatnya untuk membezakan headline 2 akhbar yang mata aku singgah kejap tadi. Metro dan Kosmo. Aku jawab,

"Orang jual bayi, aku dah baca. Terdesak sangat kot. Kenapa?"

"Baca lagi sekali"

Cerita macam sama, tapi gambar agak berbeza. Metro dengan gambar perempuan Melayu bertudung mencium bayi, Kosmo gambar suami isteri berbangsa India mencium bayi. Ya, memang nampak macam bangsa India (masalah printing, mungkin?).

"Dua penculikkan dalam satu masa? Yang ni Melayu, yang ni India. Tengoklah gambar", aku terangkan dengan fikiran yang tipikal dan tidak tepat langsung sebab nak makan cepat dan nak mengejar masa ke tempat latihan.

Ayam diam kejap sebab tak percaya. Aku pun tak puas hati. Kitaorang luangkan beberapa saat untuk membaca agar lebih tahu.

"Weh bukanlah, ini cerita sama tapi fakta lain - lain!". Tengok nama ni, sama; Zaiton Awang", setuju aku.

Metro tulis bayi tu dijual dengan harga RM500 manakala Kosmo tulis, dijual dengan harga RM600. Mana satu betul, aku pun tak tahu? Tuan kedai Mamak ni agaknya sengaja letak 2 akhbar ni bersebelahan. Dusta dalam berita, kata Ayam. Aku terus beli kedua - dua akhbar tu sebab nak baca cerita betul, sebab aku tak percaya. Aku tak anggap perkara ni remeh, sebab aku teringat masa buat teater eksperimental TANDA dulu. Kenapa? Pesongan kata di bawah akan menjawab.

Hasilnya?

Memang betul, cerita yang sama tapi tak serupa. Salah satu contoh 2 versi cerita ini ialah; Metro tulis, mereka yang bersubahat dalam penculikan itu ditemui di tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan. Kosmo pulak tulis mereka yang bersubahat itu dipercayai penghidu gam tegar dan ditemui di tepi jalan, dipercayai dalam keadaan stoned atau khayal atau high atau syiok. Ini contoh 2 versi yang berlainan. Tidak termasuk harga bayi yang dijual itu.

2 akhbar yang mempunyai pembaca yang ramai, menulis fakta yang berlainan tentang satu cerita yang sama.

Mungkin benda ni remeh. Tapi remeh untuk siapa? Memang percanggahan fakta ni dah banyak berlaku dalam penyebaran berita - berita. Di mana - mana saja. Di akhbar, TV, blog dan banyak lagi. Aku tak tahu yang mana betul, yang mana salah. Tapi kasihan pada yang betul, kerana wujud yang palsu, maka disaingkan faktanya. Disyak wasangkakan faktanya yang betul juga.

Dalam suratkhabar juga ada pelbagai section seperti isu semasa, hiburan, sukan dan macam - macam lagi. Bukanlah semua yang menyebarkan fakta yang salah. Aku juga ada kenalan yang bekerja dalam section lain, terutamanya hiburan. Tapi kita taknak pasal orang lain, mereka ini yang terkena tempiasnya. Hanya kerana berada di bawah satu bumbung.

Mungkin ini peringatan untuk aku juga agar lebih berhati - hati setiap kali hendak menyebarkan fakta. Memang manusia buat salah.

Itu tak dapat lari dan aku tak dapat sangkal kenyataan ini.

Lepas tu aku terbaca pulak pasal Yoga yang berkemungkinan akan diharamkan untuk dipraktikkan oleh umat Islam di Malaysia. Tetapi fatwa rasmi belum di keluarkan lagi. Bertenanglah dulu. Aku dan teman yang lain bantai gelak dekat panggung teater tadi. Aduh. Pelik aku. Takpa, nanti kita story - story lagi pasal Yoga dan Islam ni. Sekarang aku dah ngantuk sebab penat.

Tapi ingat, jangan keliru antara Islam Allah S.W.T dengan Islam politik di Malaysia. Senyum skettt!!

Cerita dusta dalam berita atau 1 cerita 2 fakta berlainan ni telah sedikit mengganggu otak aku (sekejap) hari ni. Apa daaa...

Pesongan kata;
Dusta dalam berita ialah salah satu tanda kecil penghujung zaman menjelang Kiamat.
Jadi, remeh kah sekarang?


Wallahualam.

Monday, September 29

Ingat & Jangan

INGAT ada manusia yang tak cukup makan
INGAT ada manusia yang takda keluarga
INGAT ada manusia yang takda tempat tinggal
INGAT ada manusia yang takda baju raya langsung
INGAT ada manusia yang bumbung rumahnya tidak kalis air
INGAT ada manusia yang takda wang yang cukup untuk berbelanja raya
INGAT ada manusia yang makanan pagi raya mereka sama macam makan petang kita
INGAT ada manusia yang tak dapat sambut raya langsung
INGAT ada manusia yang lebih dahsyat perit hidupnya dari yang kita dapat bayangkan
INGAT ada manusia yang keluarganya tahanan ISA

Jangan berlagak di hari raya.
Jangan eksyen dengan diri dalam baju raya
Jangan langsi dengan make up di pagi raya
Jangan kiasu dengan handbag raya
Jangan kerek dengan kereta gempak di pagi raya

Jangan lebih - lebih lar.. fikir orang lain jugak.
Ada orang yang jauh lebih derita.

Bumi ini kita kongsi

Sunday, September 28

pesta jalanraya

Aku berhenti dekat Shell, highway NKVE, petang tadi. Nak isi minyak yang baru turun 10sen beberapa hari lepas. Aku keluar kereta nak peg.. Sekejap!!

10sen jer ?!?!?! Kalau nak amik hati rakyat pun, amik lah betul - betul!!

Sambung.

Aku keluar kereta nak bayar minyak. Entah kenapa, stesen minyak yang selalu aku pergi ni, ramai orang. Berkeluarga terutamanya. Orang dah mula balik kampung ni, kata aku pada aku sendiri.

Aku lihat,
Kereta yang penuh dengan anak - anak,
Tuala yang disangkutkan ke tingkap macam tinted untuk mengelak panas,
Budak - budak dengan muka yang tak sabar nak balik kampung, jumpa sedara - mara nak main mercun,
Bapak - bapak membeli rokok dan mineral water, standby berbuka dalam kereta. Nak balik jauh agaknya.
Beg baju sederhana kecik, terikat di belakang mat motor single rider,
Kumpulan konvoi yang berjanji tidak akan merempit balik kampung,
Pasangan baru kahwin yang belum dapat zuriat, dari pakaian mereka sangat bersedia untuk balik jauh.
Dan kereta - kereta beratur pendek untuk mengisi minyak. Ini bukan hari biasa.

Tak boleh jadi. Semua orang dah switch on mood Raya. Cuma aku sorang yang memandu sendirian. Aku masuk kereta lepas tutup kepala tangki minyak kelisa aku, aku cari CD lagu raya, aku pasang kuat - kuat!

Nah, sekarang aku juga dalam mood Raya! Biarpun seorang!

Jadi untuk mereka yang menggunakan jalanraya, kamu tahu itu adalah tempat paling mungkin untuk terlibat dalam celaka?

Si bapak atau si pemandu bersama anak kecil, jangan biarkan kepala anak tersembam memecahkan cermin hadapan lalu mengoyakkan wajah mereka, JANGAN! TOLONGLAH.

Penunggang serta pembonceng motorsikal, kamu juga mungkin menjadi statistik. Enggan bukan? Risiko kamu paling hebat kerana dikelilingi kenderaan besar yang sial.

Brader bas serta lori. Kamu selalu membaca akhbar bukan? Menggunakan jalanraya sahaja, kamu sudah berkemungkinan mencantas nyawa 40 manusia serta kenderaan berlebihan berhampiran kamu. Kamu bukan malaikat maut, jangan amik nyawa orang senang - senang.

Teliti perkataan hati - hati dalam pemikiran sendiri. Hati - hati itu bukan hanya perkataan dari iklan keselamatan jalanraya, faham? BUKAN HANYA PERKATAAN.

Selamat menggunakan lebuhraya.
Jangan tewas di jalanraya.
Selamat Hari Raya!

Tuesday, July 1

Dah jadi lagi

Aku terkejut hari ni bila aku balik rumah, tengok surat khabar berita pasal Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat sekali lagi.

Aku pasti ramai manusia - manusia kat luar sana di dalam dan luar malaysia
yang tertanya - tanya,
yang sedang terhegeh - hegeh membuat ramalan,
yang dah membuat kesimpulan sendiri,
yang mengamuk,
yang menahan sabar,
yang beralih arah dan macam - macam lah.

Aku tak tahu apakah berita ni benar atau salah. Kau pun tak tahu dan ramai pun tak tahu. Tapi pada aku kita jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan setiap informasi yang kita dapat.

Apa yang paling penting adalah dari mana sumber maklumat yang kita dapat. Tidak semestinya sumber yang selalu kita pegang, memberitahu maklumat yang betul. Walaupun hari - hari kita membacanya atau menontonnya, tidak semestinya mereka betul. Kebanyakkan medium penyebar maklumat hari ini dipegang atau dikawal oleh mereka yang empunya kuasa. Kenali dulu sumber kau orang, apakah selama ini berita yang disebarkan semuanya betul? Kenali dulu. Jangan kita mengambil dari sebelah pihak sahaja, pasti kita akan dipengaruhi. Itu yang penting. Biarlah kalau kita ketagih dengan jawapan yang betul, carilah pada setiap sumber yang ada.

Satu lagi persoalan dari aku, kenapa homoseksual ini dijadikan sebagai isu di dalam ruang pemimpin? Apabila terlalu besar isu homoseksual ini disebarkan maka selepas ini semakin ramai orang - orang di Malaysia yang akan menjadi takut dengan gay dan lesbian. Mereka akan menjauhkan diri, mengutuk dan menghina homoseksual yang lain. Double standard kan manusia ini untuk apa? Homoseksual yang lain tidak bersalah tapi kenapa mereka harus dikutuk?

Aku faham dari segi agama, memang perkara ini terang - terang melanggar hukum, tetapi apakah agama kita juga mengajar kita untuk mengutuk, serta memisahkan sesama kita? Double standard kan manusia lain? Jika hukumnya haram, maka itu adalah isu mereka dan tuhan. Biar lah tuhan yang menghukum dan bukan kita. Buat apa kita nak ambil alih kerja tuhan dengan menghukum manusia lain? Tugas kita hanya untuk memberi nasihat dan berkongsi perkara yang elok, dengan cara yang elok. Itu sahaja. Jangan melanggar hak manusia lain di bumi tuhan ini.


Friday, June 27

Terasa jugak lah kan..

Sakit betul hati bila tiap kali tengok meter minyak kereta aku habis. Perasaan terpaksa ke stesen minyak tu betul - betul menyakitkan. Kalau dulu takpa lagi. RM20 aku boleh bawak kereta aku dari rumah (Shah Alam) ke kelas (Kuala Lumpur) untuk tempoh 2 hari. Aku bukannya rajin berjalan kemana - mana pun, setakat ke kelas dan balik rumah. Nak suruh aku melepak memang takda masa lah kan.

Tapi hari ni RM20 tak banyak beza pun. Satu hari je habis terus minyak tu. Kelisa aku ni dah cukup menjimatkan pun, aku boleh terasa perbezaannya inikan pula orang lain yang pakai kereta besar. Berapa je tinggal untuk aku makan dari pagi ke malam, kerja sana sini? Fuhhh.. Aku bujang, umur 24, tinggal dengan keluarga, belum berpendapatan stabil lagi, terkapai - kapai untuk survive kat Kuala Lumpur ni. Takkan nak perhabis duit mak bapak? Segan gila! Belum lagi dah kahwin nanti, nak bayar sewa, nak beli susu anak lah apa semua, macam mana lah orang lain boleh tahan ya? Patutlah hari ini aku tengok semua orang bekerja bagai nak gila. Macam dekat Jepun budaya kerja memang gila. Sampai pukul 9 -10 malam pun bersepah - sepah lagi orang dekat pejabat macam waktu tengahari. Tapi penat - penat kita bekerja, masuk poket kita sikit je, masuk poket orang lain tu yang banyak. Siap beli kapal selam tu..