Aku masih lagi dalam tempoh menembak filem 'Pekak' dan juga masih lagi membawa 'Uda' bersama. Tinggal berapa hari saja lagi sebelum aku meninggalkan Uda dan biar dia hilang entah ke mana.
Aku pun tak tahu.
Jangan cakap tak tahu mana akan dihilangkan, mana aku jumpa dia pun aku tak pasti. Yang pasti hampir - hampir sebulan aku rasa apa yang Uda rasa. Aku lihat apa yang Uda lihat. Aku bau apa yang Uda bau. Mungkin.
Cuma aku tak pekak macam dia.
Dan tak lama lagi juga, aku menjemput Daim pula. Daim yang mungkin masih aku kenal atau Daim yang mungkin aku sudah tidak kenal.
Aku mahu tarik satu perubahan ke dalam lingkaran hidup. Kebaikan, keselesaan, ketaatan, keimanan, kebahagiaan. Bermula daripada sebuah rasa 'teringin', aku cuba tekadkan kebolehan agar dapat menolak ku ke hadapan.
Lebih 4 atau 5 tapak ke hadapan.
Simpan, kekalkan semangatku. Biar ia terus hangat. Hangat yang terus panas biar ia marak. Wahai jiwa, sambutlah kuasa ingin ini. Jadikan ia, wujudkan ia.
Tapi ia bukan beban padaku. Ia cumalah sebuah tanggungjawab yang besar, yang kadang - kadang buat kau terduduk, terjatuh. Baguslah, sekurang - kurangnya bila terjatuh, menyedarkan kau supaya jangan berlari setiap masa.
Tersandar di kerusi depan komputer aku ni, aku rapatkan mata, menarik nafas sedalam - dalamnya dan terucap,
"Benar ini tanggungjawab untuk aku? Aku redah! Let's do this!"