Friday, September 5

Al - Fatihah buat Pak Samad Ismail

Gambar dari MalaysiaKini

Tan Sri Abdul Samad Ismail, 84, atau lebih dikenali dengan nama Pak Samad Ismail telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, jam 5.58 petang semalam (4 September 2008). Pak Samad telah dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Jenazah Pak Samad akan dikebumikan di Tanah Perkuburuan Islam, Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

Tokoh Kewartawanan Negara ini dilahirkan pada 18 April 1924 di Geylang, Singapura dan aktif dalam gerakan politik. Pak Samad pernah menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (GERAM), bersama - sama Abdul Aziz Ishak. Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga pernah menjadi tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada tahun 1976. Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Semoga Tuhan menempatkan Pak Samad dalam golongan orang - orang yang beriman dan rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Berita dari MalaysiaKini.

No comments: