Rabu, Mac 12

Model Bermasalah

Aku perlukan bantuan daripada sesiapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Aku ada beli sebuah notebook model Compaq Presario V3713AU. Dah sebulan lebih. Modelnya betul – betul menarik perhatian aku. Aku fikir aku boleh berkerja dengan notebook aku ini. Sebelum aku beli notebook ni, puas lah aku survey satu Plaze Low Yat tu, cari model yang paling berkenan dengan spec yang memuaskan hati, memandangkan aku akan banyak buat kerja – kerja grafik dan video editing, aku pilih yang betul – betul sesuai.

Tapi lepas beberapa hari aku beli, aku ada terbaca di forum – forum tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna model ini. Bukan setakat di Malaysia sahaja, pengguna negara lain pun mengalami masalah yang sama.

HP memang design model ini untuk Windows Vista sahaja. Tapi aku pakai Windows XP. Banyak masalah yang aku baca dari forum – forum iaitu mengenai drivernya. Memang diaorang tak bagi driver sekali masa aku beli. Katanya, kena download dari website HP.

Tapi dekat website HP hanya ada untuk Windows Vista. Untuk Windows XP memang susah nak cari. Ada pengguna yang mengalami masalah dengan Wi-Fi, Audio, Webcam, Graphic Card. Kadang – kadang ada juga yang mengalami masalah CD-ROM tak boleh nak read CD.

Setakat ini aku tak ada masalah dengan webcam, wireless semua. Cuma aku ada masalah yang sama seperti semua pengguna yang lain iaitu bila aku plug-in headphone aku, sound dari speaker masih kedengaran. Nak cari driver untuk audio dia, sikit punya payah.

Sekarang ni tambah lagi masalah aku bila CD-ROM aku tak boleh nak read CD!

Sesiapa yang ada driver untuk CD-ROM model ni, tolong hantar dekat aku. Atau sesiapa yang tahu dekat mana aku nak cari drivernya, tolonglah bagitahu. Aku dah penat mencari.

Aku dengar pulak, ramai pengguna yang pakai AMD, kemungkinan motherboardnya untuk terbakar adalah tinggi dan aku juga pengguna AMD!!

Tolonglah aku, terimah kasih.

Presario V3717AU
AMD Turion™ 64x2 TL-58 1.92 GHz
2Gb RAM
Windows XP Professional SP2

KAMI The Movie

Untuk pengikut drama ‘KAMI’ sekalian, atau penggemar, atau hanya penonton biasa sahaja.

Dah selesai menonton KAMI The Series, ada yang sedang menunggu KAMI The Movie keluar pulak sebab terlalu banyak persoalan yang timbul dalam kepala setelah sirinya tergantung begitu sahaja. Ada yang menyalahkan 8TV kerana menyekat penyiarannya sehingga episode ke-8 sahaja. Tidak. Bukan salah 8TV. KAMI tidak disekat oleh 8TV.

KAMI The Series sebenarnya memang dibikin sampai episode ke-8 sahaja, sebab aku difahamkan KAMI ini sebenarnya merupakan projek filem. Tetapi sebelum munculnya filem KAMI, penonton akan disogok dengan 8 episod sirinya sahaja oleh Red Films, bagi memperkenalkan kepada penonton tentang projek ini, disamping menarik crowdnya untuk masuk ke panggung kelak. Segala persoalan akan dijawab di dalam filemnya nanti.

Kami The Movie dah pun selesai menjalani pengambarannya pada Disember tahun lepas kalau tak silap aku. Aku pun dah lupa sebab busy dengan study aku. Ada makan sebulan jugaklah shootingnya. Kebanyakkan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur dan ada juga diluar kota ini. Maklumat selebihnya adalah dilarang untuk dibocorkan. Sekarang ni tengah kerja – kerja post-production seperti dubbing, promosi dan lain – lainlah, korang pun tahu sendiri.

Aku tak pasti bila filem ini akan keluar panggung, ada yang kata Jun ada yang kata Ogos. Apa – apa pun kita tunggu sahaja. Tapi, secara jujur peribadi aku, aku berharap filem ini ditayangkan secepat yang mungkin kerana sirinya sudah lama berlalu, dan aku khuatir kehangatannya akan hilang. Atau mungkin itu adalah sebahagian daripada strategi Red Films? Ntahlah, anda tanya produsernya sendiri, Lina Tan.

Sedikit mengenai watak Boy dalam KAMI.

Dalam KAMI The Movie ni, Boy datang semula untuk mencari Lynn di Kuala Lumpur dan kali ini, Boy betul – betul membawa masalah bukan sahaja kepada Lynn, malah kepada 5 orang sahabat ini juga. Kalau dalam siri, kita lihat, watak Boy ini agak kabur samada Boy ini benar - benar jahat atau tidak? Apa lagi masalah yang dibawa oleh Boy? Apa jadi seterusnya bila Boy datang KL cari Lynn? Insyaallah korang akan dapat tahu siapa Boy ini sebenarnya dan belangnya akan jelas kelihatan dalam filem ini nanti. Boy dalam filem kali ini dah tak bawak motor TZM dan dia juga ada orang kanannya sendiri nanti, yang dilakonkan oleh Betto Kushairy.

Hujung kata dari aku, filem keluar > cari masa & duit > pergi tengok, habis cerita! Industri tempatan perlu disokong oleh orang tempatan dahulu sebelum dibawa keluar kemana – mana. Tidak kiralah apa – apa produk tempatan sekalipun.

___________________________________________

Gambar sewaktu kerja – kerja pengambaran



Nyonya - nyonya di Istana Budaya

Pementasan Nyonya telah berlangsung di Istana Budaya pada 20 – 24 Febuari lalu. Promosi mengenai pementasan ini tidaklah sehebat Muzikal Puteri Gunung Ledang, namun informasi mengenainya dapat kita baca dalam akhbar – akhbar tempatan. Itupun jika kita rajin menyelak halaman - halaman yang berkaitan dengan dunia seni setiap hari. Barisan pelakonnya menjadi salah satu faktor untuk menarik penonton kerana kebanyakkan pelakon Nyonya dilakonkan oleh pelakon yang dikenali di layar perak. Namun, apakah pelakon – pelakon yang dianggap berpengalaman ini benar – benar menggunakan pengalaman mereka?

Sebaik sahaja saya sampai di pintu masuk, saya menyaksikan pegawai – pegawai Istana Budaya yang disarungi uniform hitam beramai – ramai dalam keadaan yang sangat kelam kabut untuk menempatkan penonton – penonton yang hadir. Perkara ini membuatkan saya terfikir, “Sudah berapa kali mereka ini mengawal penonton?”. Setahu saya Istana Budaya sudah mencecah ratusan kali dalam melaksanakan pementasan, kebanyakkan pula di Panggung Sari yang jauh lebih besar dan melibatkan ramai penonton.

Saya tinggalkan karenah ‘profesional’ mereka itu seketika untuk balik kepada tujuan asal saya ke sana, iaitu untuk menyaksikan sebuah pementasan arahan Rosminah Tahir, seorang penggiat teater yang agak dikenali ramai.

Naskah Nyonya secara kasarnya dilihat sebagai naskah komedi satira yang sememangnya mengandungi metafora dan perlambangan yang banyak. Naskah ini membenarkan penonton untuk berfikir secara profesional tentang maksud – maksud yang tersirat di dalam naskah. Naskah yang mengandungi pemikiran ini telah ditulis oleh seorang karyawan dari Indonesia, Wisran Hadi. Dari sudut ‘taboo’ dapat dilihat apabila Nyonya terikat dengan pantang larang seorang isteri yang harus menjaga nama suaminya apabila berada di rumah seorang diri. Sudah menjadi adat dan budaya kehidupan orang – orang timur untuk seorang isteri tidak membenarkan lelaki lain berada di dalam rumah selain daripada suaminya sendiri. Bagi tidak mencacatkan nama suaminya, Nyonya berdepan dengan masalah apabila Tuan berusaha berulang kali untuk mendekatinya.

Di dalam naskah ini juga mengandungi unsur tuhan dan roh, apabila babak Khatijah Tan ‘menurun’ dan berjumpa dengan dukunnya. Namun, apabila dikaji latar masa pementasan ini, komedi serta dialog – dialog yang dibawa oleh Khatijah Tan jauh terpesong dari latar masa pementasan ini. Contohnya apabila Khatijah Tan menyatakan bahawa dukun ‘Tok Ayahnya’ sedang sibuk menggantung bendera sempena kempen pilihanraya, padahal latar masa pementasan tersebut adalah pada tahun 50an di mana kaum nyonya di Indonesia masih lagi mengenakan pakaian kebaya sebagai pakaian harian mereka.

Interpretasi pengarah terhadap teks ini bagaimanapun telah berjaya mengkaburkan metafora dan perlambangan yang terkandung dalam teks ini. Pengarah telah membenarkan komedi slapstik berada di dalam pementasannya. Watak Tuan yang dilakonkan oleh Zaifri Husin sangat menjelekkan dengan lakonan yang slapstik atau berlebih – lebihan dari mula hingga akhir. Watak Tuan sebenarnya merupakan satu watak yang menarik kerana watak itu mengandungi perlambangan kepada seorang penindas yang memiliki sifat kapitalis. Setiap agendanya disusun atur dengan baik sekali sehingga pada penghujungnya, watak itu dapat membolot segala kemahuannya.

Walau bagaimanapun, dengan gaya lakonan yang slapstik oleh Zaifri Husin telah merempuh segala keindahan watak yang ditulis oleh Wisran Hadi. Zaifri secara tidak langsungnya mengkaburkan perlambangan ‘totem’ di dalam watak itu walaupun watak itu sangat jelas menunjukkan perlambangan tersebut. Apabila Zaifri menghidangkan lawak slapstiknya di hadapan mata penonton, penonton terlupa dan tertinggal tentang perlambangan tersebut. Jika dibaca dari buku program yang diedarkan di hadapan pintu masuk, Zaifri boleh dikatakan seorang yang berpengalaman luas dan memiliki Ijazah daripada universiti luar negara dan juga telah berpeluang untuk mengikuti bengkel – bengkel teknik lakon tetapi melalui apa yang ditonjolkan telah benar – benar mengganggu saya.

Walau bagaimanapun, ada juga pelakon – pelakon yang telah membawa watak masing – masing dengan berkesan. Juhara Ayob telah membawa watak Nyonya dengan baik sekali dan harus diberi pujian. Wataknya begitu kukuh dari awal hingga akhir pementasan. Bukan mudah untuk membawa sesuatu watak yang menjalankan cerita, tetapi Juhara Ayob telah memikul watak dan penceritaan dengan baik sekali. Yani Mae juga harus diberikan kredit dengan lakonan yang bersahaja. Meskipun beliau digandingkan dengan Zaifri, beliau masih lagi mengekalkan wataknya dan tidak terikut – ikut sepanjang pementasan berlangsung. Tania Zainal juga tidak ketinggalan untuk memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk membuktikan kebolehannya. Kejujuran dalam pembawaan wataknya dapat saya rasakan. Ternyata, pelakon baru ini lebih matang pemikirannya di atas pentas berbanding pelakon yang kononnya sudah berpengalaman besar.

Selasa, Mac 11

Saya ada masalah letak kereta!

Satu peristiwa yang terjadi hari ini dan suka hatinya aku ingin berkongsi kepada sesiapa yang membaca tulisan ini.

Hari ini seluruh pelajar ASWARA diwajibkan untuk menghadiri satu perjumpaan bersama Rektor ASWARA, dan juga pengerusi lembaga pengarah ASWARA. Ramai juga student yang datang, boleh tahan penuh panggung ini.

Rektor memberi ucapan dan menyelitkan beberapa isu yang menarik perhatian pelajar – pelajar ASWARA. Ucapannya tidak begitu membosankan pelajar kerana dalam ucapan beliau, ada menyebut bahawa pelajar – pelajar ASWARA harus diberi hak pemakaian tersendiri ke kuliah kerana kononnya, pelajar seni tidak sama dengan pelajar di universiti – universiti lain di bawah Kementerian Pendidikan. Katanya lagi, ASWARA diletakkan dibawah akta khusus, iaitu Akta ASWARA di bawah KeKKWA, jadi beliau membangkang kepada kementerian apabila disuruh mengeluarkan undang – undang supaya pelajar memakai baju kemeja ke kuliah seperti sesetengah universti yang lain. Ramai pelajar yang menyokong dengan pendirian beliau dan secara tidak langsung beliau telah memperolehi pengaruhnya sendiri di kalangan pelajar ASWARA. Aku tidak ada masalah dengan janji – janji yang ditaburkan oleh Rektor. Cuma aku lihat, pelajar – pelajar ASWARA sendiri yang semakin naik lemak apabila diberi betis.

Setelah itu, pengerusi lembaga pengarah ASWARA pula memberi ucapan, iaitu Dato’ Prof. Dr. Mohd Ghouse. Beliau mengingatkan supaya pelajar ASWARA tidak mensia-siakan peluang yang dimiliki setelah bergelar pelajar ASWARA, kerana dengan kemudahan pembelajaran diberikan, yang tidak dapat dimiliki dari tempat lain, kebanyakkan pelajar ASWARA hanyut dengan kebendaan ini.

Itu juga tidak menjadi masalah kepada aku.

Apabila sesi question and answer dimulakan, seorang demi seorang pelajar bangun menghampiri ke microphone untuk mengajukan soalan serta cadangan dan aduan. Ada beberapa aduan pelajar ASWARA yang boleh diterima pakai dan aku rasa ia memang patut dibangkitkan pada waktu tersebut dihadapan pelajar, rektor dan juga kakitangan ASWARA yang lain. Contohnya ada pelajar yang menyoalkan tentang waktu perkhidmatan perpustakaan yang ditutup pada waktu tengahari. Seperti yang sedia maklum, boleh dikatakan seluruh fakulti di dalam ASWARA mempunyai jadual kuliah yang sangat padat dan agak susah untuk pelajar ASWARA ke perpustakaan. Satu – satunya waktu yang terluang ialah pada waktu tengahari, tetapi malangnya perpustakaan di tutup pada waktu itu kerana kakitangannya keluar makan tengahari. Ramai pelajar yang menyokong dengan isu tersebut. Rektor terus mengeluarkan respond dengan mengatakan, isu tersebut akan diselesaikan pada esok hari juga. Dan kemudian segala rungutan yang diajukan oleh pelajar disambut dengan janji rektor bahawa beliau akan selesaikan masalah itu pada esok hari juga. Terujalah seluruh pelajar ASWARA.

Tapi aku tengok semakin aduan yang dilemparkan mendapat laungan kuat dari seluruh pelajar ASWARA, semakin banyak aduan yang nonsense dikeluarkan. Untuk apa? Bukan selalu kami, pelajar – pelajar ASWARA, dapat berkumpul dan berjumpa dengan Rektor, kenapa dikeluarkan soalan – soalan yang bodoh? Aduan - aduan yang bangang untuk mentaliti seorang pelajar universiti! Apatah lagi seorang pelajar sekolah seni! Ada yang mengemukakan supaya ASWARA mencarikan rumah sewa bagi pelajar – pelajar yang tak dapat duduk asrama. Boleh dikatakan 20% dari pelajar ASWARA yang tinggal di asrama dan yang selebihnya sudah lama tinggal di rumah sewa luar ASWARA. Sudah menjadi lumrah, untuk seorang pelajar ASWARA yang tidak dapat tinggal di asrama keluar berdikari untuk mencari rumah sewa sendiri. Hari ini seorang pelajar tahun 1 bangun dan meminta supaya ASWARA mencarikan rumah sewa untuk beliau.

Tak cukup dengan itu, ada lagi pelajar yang bangun dan bertanyakan tentang keselamatan kami, pelajar ASWARA. Aku setuju dengan soalan itu. Kerana aku pun ingin tahu sejauh mana sistem keselamatan yang disediakan oleh ASWARA untuk pelajar. Tetapi, selepas itu ada pula yang bangun dan bertanyakan tentang keselamatan pelajar ASWARA di luar ASWARA. Katanya, mereka selalu berjalan kaki ke stesen LRT setiap malam untuk pulang ke rumah dan sepanjang perjalanan di Padang Merbok itu terdapat banyak anjing liar. Pelajar itu mengemukan cadangan supaya ASWARA menyediakan sistem keselamatan dari ASWARA ke stesen LRT!

Bertalu – talu aduan dan cadangan dilontarkan oleh pelajar – pelajar sekolah seni ini yang aku sampai muak mendengarnya contohnya,

“Kami nak mesin ATM”

“Kami nak pondok telefon!”

“Kami nak instrument diperbaiki”

“Kami nak harga makanan di cafĂ© diturunkan”

Aku semakin menjadi tidak selesa dengan kemanjaan yang ditunjukkan oleh pelajar – pelajar ASWARA. Terdetik di hati aku bertanyakan, “Inikah pemikiran seorang pelajar sekolah seni? Mengadu tentang hal – hal yang sangat kebudak-budakkan ? Takut dikejar anjing pun nak mengadu dengan Dato’ Rektor?”

Semakin kecoh keadaan di dalam panggung, aku semakin terganggu. Aku fikir perkara ini harus berhenti sekarang juga. Rektor baru sahaja mengatakan beliau telah menentang apabila menteri menyarankan agar pelajar – pelajar diwajibkan memakai baju kemeja ke kuliah. Kata rektor, mereka ini lain dari yang lain, pelajar seni mempunyai pemikiran yang tersendiri, kerana itu mereka tidak harus dipaksa untuk memakai uniform. Tapi lain pula yang ditunjukkan oleh pelajar ‘seni’ ini! Malangnya, aku lihat Dato’ Rektor dan Dato’ Ghouse hanya tersenyum melayan karenah pelajar – pelajar yang bersorak menyokong suara – suara yang nonsense ini.

Aku berfikir lagi. Apa yang aku harus lakukan sesuatu supaya situasi ini dikawal dengan segera. Aku harus bertindak supaya orang yang paling berkuasa waktu ini, iaitu Dato’ Rektor dan Dato’ Ghouse menghentikan kemanjaan mereka ini. Aku mahu kedua – dua Dato’ ini rasa mual, rasa marah dengan aduan – aduan ini semua. Tetapi aku tidak mahu menjadi hero untuk bangun dan mengatakan aduan – aduan ini semua nonsense. Seorang pelajar seni tidak harus mempunyai pemikiran seperti anda semua! Aku percaya kalau aku bertindak seperti itu, aku akan dibangkang ramai. Tetapi mungkin aku boleh guna reverse phsycology?

Aku bangun menghampiri microphone dan menyuarakan satu aduan yang paling nonsense dari aduan – aduan nonsense yang sedia ada, yang dapat aku fikir waktu ini.

“Nama saya Zahiril Adzim dan saya ada masalah letak kereta saya kerana parking penuh, terima kasih”

Aku sedikit pun tidak huraikan aduan aku. Aku sedikit pun tidak menunjukkan minat aku terhadap aduan yang aku suarakan. Tidak seperti pelajar yang lain, bersungguh - sungguh menghuraikan aduan mereka yang nonsense tersebut. Aku bersuara tidak sampai 10 saat. Kemudian aku duduk dan memberikan tanda tanya kepada seluruh panggung.

Aku pandang muka Dato’ Rektor dan Dato’ Ghouse. Mereka sepertinya tersentap dengan kebodohan soalan yang aku lontarkan. Pelajar – pelajar lain terdiam dengan aduan aku. Dato’ Rektor menjawab soalan aku..

“Masalah parking kereta saya tidak boleh selesaikan kerana ruang kita terhad. Itu susah, awak kena fikir sendiri. First come first serve!” Dari riak mukanya, sangat jelek dengan aduan aku.

Hehe.. aku tersengih sendiri kerana aku percaya aku telah berjaya provoke Dato’ Rektor. Kemudian beliau bersuara lagi.

Ada aduan yang saya tak boleh dengar hari ini, saya harap awak semua tulis dan letakkan di dalam peti aduan ok? Saya tak cukup masa untuk mendengar semua aduan awak. Jadi kita minta seorang dua je lagi untuk memberikan aduan, kemudian kita bersurai”

Ya, memang bodoh aduan aku, aku mengaku. Tetapi sekurang – kurangnya, aku telah berjaya menamatkan satu situasi yang tidak patut berlaku di kalangan pelajar – pelajar yang kononnya “pelajar seni”. Kemudian Dato’ Ghouse memberi ucapan penutup. Beliau kelihatan sangat kesal. Katanya dari tadi beliau perhatikan pelajar – pelajar ASWARA tidak mempunyai respect dengan soalan dan aduan yang diberikan. Seorang pelajar sekolah seni harus tahu membezakan hal – hal yang mustahak atau priority. Janganlah keluarkan aduan yang tak masuk akal, yang tak perlu difikirkan beramai – ramai di dalam dewan ini. Contohnya seperti masalah parking kereta!

Terdiam satu panggung. Aku tersengih seorang diri. Aku lihat banyak mata-mata yang menyalahkan aku. Tak apa. Aku puas hati dengan tindakan aku. Tindakan memprovoke supaya terdetik kemualan, kejelekkan di hati kedua-dua Dato’ supaya mengawal situasi yang pada aku adalah sangat bangang!

Walau bagaimanapun, mungkin pada aku tindakan aku berkesan, tetapi pada mata orang lain? Mereka tidak tahu apa niat aku yang sebenarnya. Apabila aku bertanya kepada kawan aku, Ayam, dia mengatakan bahawa dia sendiri tidak faham kenapa aku mengeluarkan aduan yang bodoh seperti itu. Ayam marah dengan kebodohan aduan – aduan yang dikeluarkan oleh pelajar – pelajar ASWARA, termasuk aku katanya. Kalau Ayam yang boleh berfikir dengan kreatif pon tidak faham dengan aduan sinisme aku itu, adakah aku gagal?

Ya, mungkin aku gagal. Atau mungkin tidak berdasarkan tindak balas dari Rektor yang sememangnya aku inginkan.

Dan aku juga terfikir, bagaimana jika Ayam yang mengeluarkan aduan sinisme seperti itu. Kerana kebanyakkan pelajar ASWARA tahu bahaya Ayam tidak akan mengeluarkan aduan seperti itu, jika Ayam mengeluarkannya juga, pasti ada isu disebalik aduan sinismenya itu.

Adakah kita perlu menjadi seorang yang berpengaruh untuk melakukan tindakan yang mengandungi isu tersirat seperti yang aku lakukan?

Atau aku sendiri yang gagal menyampaikan agenda aku.

Setelah aku menerangkan kepada Ayam dan Merul barulah mereka faham dengan tindakan aku.