Rabu, Disember 31

baru punya tahun baru punya tahun, selambe?

Salam Maal Hijrah.
1 Muharram 1430.

Belum terlambat lagi. Dan juga Selamat Tahun Baru 2009. Maaf kerana aku tidak dapat menconteng begitu kerap buat masa ini. Sedikit kelam kabut dengan carma (cari makan).

Bukan cari nama.

Setiap tahun berbeza kisah perjalanan hidup aku. Daripada pembinaan kerjaya sehinggalah percintaan. Turun naik. Naik turun. Macam petrol. Tapi itu yang seronok. Buat kita lebih kental meredah kehidupan yang ada sambil menggalas cita - cita.

Takpa. Takpa. Takpa.

Selagi boleh bertahan, kita bertahan sahaja.

Untuk kawan - kawan yang kita suka, semoga makin bijak mengawal kehidupan masing - masing. Kehidupan yang indah tu hanya dalam ruang khayalan, imaginasi atau dalam TV.

Dalam realiti, tidak ada istilah kehidupan yang perfect.

Salam.

Ahad, Disember 28

beri aku kuasa lah

Bila manusia nak berhenti guna keganasan sebagai jalan penyelesaian?

Kalaulah aku ada kuasa, aku taburkan kuasa 'cinta' pada semua orang.

Sedih.

Lebih baik aku hidup dengan dinasour. Sekurang - kurangnya dinasour ganas sebab takda otak. Hari ni, yang ada otak pun sama dengan dinasour.

Sekali lagi, SEDIH!


atau biri - biri mungkin?

Isnin, Disember 22

entah siapalah penjenayah

Dah selesai menembak.

Jadi sekarang sedang berehat sehari dua setelah bekerja dan juga setelah beberapa kali jatuh sakit di set. Naik menyampah aku. Takpa, sakit boleh sembuh. Itu tak penting. Aku hanya ada sehari dua sahaja untuk berehat. Dalam masa yang sama, aku perlu memerah otak yang sedang lembab ni untuk menulis skrip yang akan diarahkan oleh aku dan beberapa pengarah muda penuh kemarahan yang lain, bagi projek teater kompilasi yang akan kami kerjakan pada Januari nanti. Insyaallah.

Menembak filem mengambil masa 8 hari. Yasmin Ahmad pun 13 hari kalau tak silap aku jadi segala - galanya dimuatkan ke dalam 8 hari tersebut. Agak ketat, kerana itulah aku terbongkang di set sampai pukul 6 pagi.

Koyak, memang koyak rabakkk...

Aku ada juga menangkap foto sewaktu kerja untuk dikongsi dengan kawan - kawan yang kita suka, tapi tunggulah bila aku sedikit senang nanti.

Kebanyakkan babak dalam cerita ni, mengambil tempat di sebuah rumah usang 2 tingkat di ladang kelapa sawit di Ijok. Dalam beberapa hari berkampung di kampung itu, aku ada berbual dengan seorang pekerja ladang yang datang bertenggek di situ kerana perasaan ingin tahunya tentang apa yang sedang kami lakukan. Aku dan beberapa pemeran yang lain berbuallah dengan lelaki pekerja ladang yang berasal dari Bangladesh itu. Bagaimana aku tahu lelaki itu dari Bangladesh?

Sebab aku tanya lah.

Perbualan kitaorang lebih kepada soalan - soalan dari dia dan kami (aku dan pemeran lain). Dia bertanyakan tentang apa yang sedang kami lakukan dan kami pula bertanyakan tentang pekerjaannya di ladang itu, juga tentang majikannya. Lelaki itu terpaksa bekerja dari jam 6 pagi setiap hari hingga lewat malam. 6 pagi hingga lewat malam itu pada aku kerja keras namanya. Apatah lagi bekerja di ladang. Bila ditanyakan berapakah upah hasil dari kerja kerasnya itu, jawab lelaki itu RM400 sebulan.

RM400 sebulan??

Terus terpancul sembur soalan dari mulut aku yang agak bemaksud (mean) tapi sebenarnya tak puas hati dengan upah yang diterimanya.

Cukup ke RM400 sebulan?? Apa you makan??

Jawabnya lebih menyedihkan.

Abang, RM400 cukup untuk saya abang. Saya lagi hantar wang balik kampung. Cukuplah abang. Kalau saya duduk di Bangladesh sampai ini hari saya takkan dapat rasa gaji banyak RM400. Saya sana tada kerja, miskin.

RM400 itu jumlah paling banyak pernah diterima dalam hidupnya.

Aku tak kenal majikannya, tapi kalau aku kenal memang aku akan pastikan bahawa dia tidak akan jadi kawan aku si majikannya itu.

Cekik darah, lahanat. Sudah kau paksa pekerja kau bangun pagi - pagi berkumpul seawal jam 6 dan kau lepaskan waktu tamat bekerja lewat petang yang juga kadang malam, kau campakkan RM400 saja sebulan padanya?

Memang seawal 6 pagi mereka berkumpul di pintu masuk ladang itu. Aku sendiri yang menyaksikan pekerja - pekerja ladang yang begitu ramai berkumpul berdiri sambil masing - masing mulut masih berbau ubat gigi. Kemudian berdiri seorang kepala atau kapten atau apa saja gelaran untuknya dengan suara yang agak garang, memanggil nama untuk mencatat kehadiran dan memberi upah kepada setiap pekerja yang terdiri daripada bangsa India, warga Indonesia dan Bangladesh.

Inilah perangai celaka para kapitalis yang tak habis - habis menindas para buruh serta petani lain. Titik peluh tidak dipedulikan. Bergembira lah mereka apabila memiliki para pekerja yang taat dengan sejumlah wang kecil yang dicampakkan yang langsung tidak berbaloi dengan usaha mereka.

Ini industri kelapa sawit, bukan jual nasi lemak. Untungnya berjuta berbillion. Jangan lah tipu.

Kawasan perumah yang aku tinggal sekarang ini ialah bekas ladang kelapa sawit. Pembangun atau juga developer telah mencantas semua pokok kelapa sawit lalu menjadikan ia sebagai kawasan perumahan yang terdiri daripada banglo - banglo mewah dan rumah - rumah teres setengah juta harganya (tidak termasuk rumah aku) yang menunggu untuk dipecah masuk dan dirompak. Aku perhatikan penduduk di sini bukan calang - calang ekonominya kerana saiz kenderaan masing - masing seperti tidak cukup jalan. (juga tidak termasuk kenderaan aku)

Jadi, untuk menghapuskan ladang dan menukarkan kepada kawasan perumahan merupakan satu keputusan yang melibatkan pemikiran keuntungan yang berlipat kali ganda. Bermaksud, pemodal tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghapuskan ladang dan kemudian membangunkan kawasan perumahan mewah, kerana mereka ada banyak lagi ladang kelapa sawit di sekitar Malaysia.

Dan kamu fikir, berapa pulangan yang mereka perolehi?

Kelapa sawit juga dikatakan satu hari nanti akan menjadi alternatif bagi menggantikan petrol. Selain daripada jagung. Ini peluang lebih besar untuk memberanak pinakkan jutaan wang mereka.

Pernah lihat iklan sebuah kereta kehabisan minyak di tengah - tengah ladang kepala sawit? Tiba - tiba datang seorang pembantu pam mengeluarkan nozel dari pokok kelapa sawit. Iklan milik Sime Darby. Itu buktinya.

Jadi industri kelapa sawit bukanlah industri yang tidak mendatangkan keuntungan yang lebih tinggi dari ketinggian aku (aku tidak berapa tinggi). Tambahan pulak satu hari nanti bila alternatif untuk petrol telah berjaya dicipta, aku percaya permintaan kelapa sawit akan meningkat lebih tinggi dari KLCC. RM400 sebulan? Tak masuk akal.

Memanglah kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Tapi janganlah jadikan bersyukur itu sebagai satu penghalang untuk kita terus memajukan hidup kita dalam dunia yang sombong ini. Terlalu bersyukur tanpa usaha lebih yang halal, bermaksud memanjakan diri. Kerana terlalu bersyukurlah para kapitalis bergelak ketawa gembira.

Kamu bayangkan, kemana lagi pekerja ladang Bangladesh itu mahu pergi? Permitnya dipegang oleh majikan. Nak buat kerja lain untuk mendapat side income sebagai usaha alternatif, seperti berniaga burger, takda masa pulak akibat waktu kerja 6 pagi hingga lewat malam. Waktu yang tinggal sudah kepenatan dan keletihan. Apa cara lain yang boleh dia buat?

RM400 sebulan untuk lelaki Bangladesh itu. Berapa yang dihantar ke kampungnya? Berapa yang dibelanjakan untuk makan, pakai dan sewa rumahnya? Ditambah pula dengan harga barang yang semakin hari semakin menuju ke bulan. Pekerja ladang itu hidup hari ini dikelilingi oleh mereka - mereka yang tidak mahu ketinggalan dalam mengikut arus kemodenan akibat negara yang terlalu mengejar globalisasi. Jadi kamu tidak rasa satu hari nanti sifat kehendaknya akan mengatasi sifat keperluannya?

Kalau RM400 sebulan, maka tidak hairanlah banyak jenayah sekitar kota dilakukan oleh mereka - mereka ini.

Siapa yang melakukan jenayah sekarang ini?


Pesongan kata:

Nah, ini satu gambar untuk pekerja ladang itu. Angkatlah sabitmu, angkatlah tukulmu. Cantum silangkan dan kamu tahu apa makna itu.

Ahad, Disember 7

waktu makan, mandi, membaca, tidur aku dicuri

Aku tidak punya waktu yang percuma untuk menconteng di sini buat masa ini kerana aku sedang 'menembak' sehingga hujung bulan ini. Kemudian, mungkin aku berehat untuk beberapa hari dan terus sambung 'menembak' untuk kerja yang lain dalam beberapa bulan lagi.

Setelah aku belek - belek jadual kerjaku, rupanya aku terpaksa mencuri masa untuk makan, mandi, membaca dan tidur sehingga bulan April tahun depan. Itu buat masa sekarang, kalau ada kerja lain yang menjemput lagi, aku mungkin tidak akan ada peluang untuk mandi apatah lagi tidur di siang hari.

Dalam pada itu, kalau aku ada masa lebih untuk dicuri, Insyaallah aku akan update blog ini. Mungkin aku akan potong waktu makan dari 1 jam kepada setengah jam. Mungkin. Tengok lauk apa aku makan waktu itu. Potong waktu mandi dari setengah jam ke 15 minit dan waktu tidur dari 4 jam ke 6 jam.

Oh, itu tambah bukan tolak. Tak mengapa, aku memang perlu tambah waktu tidur aku.

Aku juga akan mengumumkan pada waktu yang sesuai tentang kerja yang sedang aku kerjakan. Eh, bukan aku yang kerjakan kerja itu, tapi kerja itu yang kerjakan aku. Jika ada teater atau apa -apa, aku pasti war - warkan.

Seperti kamu (kawan - kawan yang kita suka) tahu, aku jarang menulis entri yang berbentuk diari atau entri - entri kosong yang bertujuan untuk meraih populariti menjadi selebriti blogger dan sebagainya.

Haha, entah kenapa isu selebriti blogger ini sedang hangat diperkatakan dalam dunia blog hari ini. Lantaklah diaorang, aku tak masuk campur hal ini. Kalau aku masuk campur juga, maknanya aku kena potong waktu membaca aku pulak. Tak boleh.

Kebanyakkan dari entri aku bertujuan untuk berkongsi serta berkomunikasi dua hala disamping menggerakkan otak dan fikiran kita semua terutamanya otak aku yang sedang lembab sekarang ini akibat musim hujan, susah nak kering.

Itu tujuan kewujudan blog ini kerana pada aku blog atau internet adalah medium alternatif yang memberikan aktiviti komunikasi dua hala dan bukanlah bersifat individualistik yang total seperti TV dan lain - lain. Takpalah, nanti kita cerita pasal ini, ya? Ada juga blog yang individualistik... Kamu carilah sendiri.

Jadi jika mahu berkomunikasi dengan aku, tinggallah pesanan kamu disini atau di ruang shout out loud atau juga di mana - mana yang kamu pandai cari.

Salam Sejahtera.

Foto oleh Cathy
(kenapa warna tangan tu?)


Pesongan kata;
Terima kasih kerana terus membaca, walaupun sebagai silent reader. Entah macam mane, aku tahu kau baca blog ini.