Wednesday, August 3

lewat

Lewat malam.

Masih banyak yang belum aku lewati dalam hidup ini, sementara hari telah bersilih ganti dengan malam yang lewat.

Peristiwa - peristiwa datang dan pergi. Dugaan dan kesejahteraan datang dan pergi setiap hari dan aku masih terlalu kecil yang terlalu banyak belum dilewati.

Kecilnya aku berbanding alam ini.

Allahu rabbi.

p/s: Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua pembaca dan kawan - kawan yang kita suka.

Monday, July 25

diubah sejarah yang sedang mengubah sejarah

Berhari, berminggu, berbulan, bertahun.
Berpuluh - puluh tahun.

Kita masih hidup menjadi kita. Tidak berubah. Yang berubah hanya sekeliling. Orang - orang. Mungkin. Atau alam. Mungkin. Atau alam orang, mungkin. Atau orang alam. Juga mungkin.

Memungkinkan.

Di sekeliling berubah - ubah menulis, melukis sejarah. Menjadi sejarah. Yang terdustakan. Tapi mampu didustai. Atau mungkin sejarah sedang mengubah kita? Atau mungkin juga, aku yang sedang menulis ini sedang diubah oleh sejarah aku?

Dimungkinkan.

Mungkin benar, aku atau Aku yang menggerakkan jemari menekan papan kekunci ini sedang hidup di dalam kehidupan yang telah diubah oleh sejarah atau aku sedang mengubah sejarah?

Bingai. Tak temu jawapan.

Friday, July 8

kabar - kabar biasa

Hampir jam 5 pagi.

Baru - baru ini aku banyak terjebak dengan kemalangan minda. Tapi, syukur Alhamdulillah aku masih lagi mampu tersenyum dengan tenang. Bukan main - main, memang masih dapat tersenyum dengan tenang.

Apabila bertemankan kalimah - kalimah suci Allah, memang inilah keistimewaannya.

Entri aku yang kali ini cumalah tentang perkhabaran yang aku fikir, perlu aku kongsikan. Tentang kerja aku, tentang peran yang aku perankan. Jadi, yang pendek - pendek sahajalah taipan aku kali ini ya?

Baik, semalam telah bermula tayangan filem aku yang terbaru iaitu "Tolong Awek Aku Pontianak". Ini terang - terang bukan cerita seram lagi, tapi komedi. Buat ringan - ringankan minda, dengan niat nak berhibur (yang tidak over). Sudah banyak watak - watak berat yang aku bawa selama ni, jadi mungkin kali ini aku ingin lari sekejap.

Memang sekejap, tak percaya? Baca sampai bawah.


Untuk filem kali ini, watak aku lebih ringan dan sengal. Segala info dan sinopsis, seperti biasa, bak kata Hanis Zalikha, aku tak akan senang - senang spoon-feed-you. Rajin - rajinkan lah google.

Antara tukang lakon yang menjayakan filem ini ialah, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed, Rashidi Ishak, Yus Waisar, Nurul Wahab, Syanie, Ameerul, Datuk Jalaludin Hassan, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki, Ruminah Sidek, Jehan Miskin, Bell Ngasri.

Baik? Jangan lupa serbu pawagam. Janganlah tunggu DVD keluar atau di Astro First. Ternyata feel nya lain. Bukan main - main, ini serius.

Seterusnya.


Sekarang ini aku dalam proses menembak drama bersiri "Khurafat" yang bakal ditayangkan di Astro Ria, bermula 12 Julai ini, jam 10 malam selama 13 episod. Sepanjang menembak projek inilah aku jadi kurang tidur, kurang ini dan kurang itu. Tetapi tidak kurang ajar. Kalau ya pun ada, aku mintak maaf. Ini tidak disengajakan. Sekali lagi, infonya? Sila google.

Dalam drama ini pula, watak aku berat. Damn, kembali membawa watak cenggini. Selalunya memang macam tu, bila bawak watak - watak berat macam ni, seluruh tubuh badan aku akan jadi lesu setiap hari. Tapi takpa..

Biasalah, orang nak menikah, kenalah kerja keras sikit.

Wednesday, June 22

kurus sekarang gemuk - gemuk esok lah

"Apasal kurus sangat sekarang?"

"Kurang makan, kurang tidur, kerja keras"

"Ler, rileks ar. Ni kurus sangat weh. Agak - agak lah."

"Aku dah nak kawin kan"

"Orang lain pun nak kawin, tak menggelabah pun macam ni"

"Takpe lah, biarlah aku kerja keras sekarang, senang kemudian hari"

Memang takkan ada sesiapa pun nampak sekeras mana aku kerja. Untuk cari pinggan nak makan lebih. Tapi waktu - waktu macam ni, ada jugak yang masih nak amik kesempatan. Sampai hati.

Aku terus berdoa, dikuatkan iman, dikentalkan hati. Mudah - mudahan.

Thursday, June 16

yang aku nantikan


Alhamdulillah.

Setelah ditolak - tolak oleh Faisal, setelah dicuri - curi masaku untuk memberi perhatian pada penyiapan, akhirnya buku aku yang pertama berjaya diterbitkan. (kalau mungkin ada yang kedua) Sekali lagi syukur.

Dalam keadaan yang kelam - kabut aku menulis entri ini kerana mata sudah tidak lagi mengangkang seperti biasa. Separa - separa tinggal. Minda pun sudah berhenti di sana - sini. Ringkasnya, aku menulis untuk mengumumkan tentang pelancaran buku aku iaitu BOGEL MENUJU TUHAN yang akan diadakan pada Sabtu ini, bersamaan dengan 18 Jun di Annexe, Central Market jam 12 tengahari.

Jadi sukacitanya aku ingin menjemput kawan - kawan yang kita suka serta pembaca entri ini untuk sama - sama memeriahkan lagi pelancaran buku itu nanti. Masuk?

Adalah percuma.

Pada hari itu nanti, buku aku akan dijual serta beberapa hadiah saguhati (mungkin) akan diberikan. Selain itu, rakan - rakanku telah aku jemput untuk membuat bacaan. Antaranya ialah, yang tersayang, tunangku sendiri Shera Aiyob, sahabatku Riz Ainuddin yang juga seorang aktor, Sharifah Amani yang tidak asing lagi, seorang aktor dan sutradara.

Serta aku sendiri yang akan membacakan sajak ku.

Aku pasti, akan wujud suara - suara yang mempertikaikan sekaligus menghakimi tajuk buku ini. Terserahlah, kerana aku yakin ramai pembaca hari ini lebih matang, lebih tahu apa yang lebih penting. Samada kulitnya atau isinya.

Dont judge a book by its title. Amaaigaaddd...

Tetapi sebelum apa - apa, aku ingin menempel di sini apa yang aku tulis di kulit belakang buku ku ini.

"Bogel Menuju Tuhan adalah salah satu tajuk catatan yang aku tulis di blog, satu masa dahulu. Ia merupakan satu keadaan yang aku gambarkan dalam setiap perjalanan kehidupan manusia yang percaya akan dugaan Tuhan. Tidak ada manusia yang terlepas dari dugaanNya, maka tidak adalah manusia yang tidak akan menempuh satu tempoh kesakitan, penuh perit dan pedih dalam hidupnya.

Aku simpulkan, buku ini adalah antologi catatan dan puisi sewaktu aku dalah hari - hari tidak berwarna, sebelum jingga"

Dan aku harap apa yang aku tempelkan di atas, sedikit sebanyak dapat memberi gambaran serta sekali gus menghambat hukuman oleh suara - suara sumbang yang bakal muncul. Apa yang paling penting, isi buku ini tidak ada gambar lucah. Juga ia bukan buku berunsur ketuhanan, tetapi lebih kepada kejadian - kejadian sosial yang berlaku sekitar aku.


Pelancaran Buku Bogel Menuju Tuhan
12 tengahari
Annexe Gallery, Central Market

Harga: RM30 (tak termasuk kos penghantaran)
Penerbit & Penyunting : Faisal Mustaffa
Penulis & Rekabentuk Kulit : Zahiril Adzim
Blurbs : Ana Raffali
Prakata oleh Nora Murat. Sultanmuzaffar, Hanis Zalikha

Halaman:108
ISBN: 978-967-10126-3-5
Tahun: 2011


To order;

1. Pls SMS 017-2002944 (Type )
2. After confirmation from the administrator, pay the amount to maybank2u.com or Maybank Kawanku to account Faisal bin Mustaffa (MBB 114179439605)

Belian Online
http://tokobuku.fotopages.com/

Thursday, June 9

tinggi kerana tidak sanggup

Yang direnung ialah keluasan langit malam, jingga. Diisi oleh awan - awan berselerak indah.

Kalau lah aku punya sayap yang mampu menerbangkan aku, aku akan terbang dan lepak di celah - celah awan. Siang atau malam. Aku tak kisah. Yang penting tinggi.

Tinggi.

Tinggi sehingga aku nampak manusia seperti semut. Bumbung - bumbung rumah seperti bentuk huruf - huruf keyboard komputer.

...supaya aku takkan nampak lagi kekejaman di bumi.

Tak sanggup.


Thursday, June 2

sejak dua menjak

Sejak
dua menjak
tiga menjak
empat menjak
lima menjak
enam menjak
tujuh menjak
lapan menjak
sembilan menjak
sepuluh menjak ini,
Aku sudah tidak bersajak.