Monday, October 5

telan nasib, berambus satu hari


untuk naik,
untuk dihormati,
untuk dipandang tinggi,
untuk nampak hebat,
untuk dilihat funny,
untuk dilihat lain dari yang lain,
untuk dilihat berpendirian, konon,
untuk di look up to,

apa yang anda perlu buat ialah
jatuhkan atau pijak rakan/kawan
atau sesiapa yang anda rasa pencabar atau lebih dari anda.

Busuk hati.

Aku dah terkena. Sedang.


Aku menunggu masa untuk berambus.
Akan.

Friday, September 25

mimpi metafora kemalangan dari Tuhan

Aku kurang pasti sebenarnya. Tentang apa? Tentang maksud - maksud dari hint yang aku terima sejak kebelakangan ini.

Kalau orang Melayu kata, petanda.

Sebelum aku terlibat dalam kemalangan kecil baru - baru ini, aku hampir - hampir terlibat dengan kemalangan yang dahsyat. Yang terjadi betul - betul depan mata dan jaraknya hanya beberapa saat. So damn close kata orang putih.

Yang paling aku ingat, pertamanya adalah pada hari terakhir aku dan Rumah Anak Teater membuat pementasan Teater Kompilasi Volume II. Dua buah kereta di depan aku, sekali lagi ya - jaraknya hanya beberapa saat!, terbabas merempuh sesama sendiri lalu berguling - guling dan terseret di atas jalanraya. Kemudian kereta itu terseret meluru ke arah aku dan alhamdulillah, aku berjaya mengelak hanya kerana kelajuan aku ngam - ngam. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

Menggigil aku waktu itu bila sedar yang aku terselemat.

Beberapa hari selepas itu, situasi yang lain pula. Sebuah lori di depan (satu lorong dengan aku) yang juga hanya beberapa saat jaraknya, terbabas merempuh pembahagi jalan.

Baik, yang ini betul - betul menguji kebolehan menekan brek kaki aku!

Sebiji lori besar yang selalu digunakan pada tapak pembinaan bangunan yang bakal meragut nyawa sesiapa pun. Juga sekali lagi aku menggigil selepas sedar yang aku terselamat.

Itu 2 situasi yang aku terselamat, atau diselamatkan. Oleh siapa? Tuhan mungkin. Sehinggalah baru - baru ini aku dirempuh oleh seorang pemandu mabuk. Tapi Alhamdulillah, terselamat juga.

Jadi kisah mistiknya bermula begini. Seorang kenalan yang rapat, telah diberi mimpi. Mimpi menyelamatkan aku. Yang menjadi tanda tanya, dia bermimpi pada waktu aku sedang dirempuh. Kenalan yang rapat dengan aku itu bermimpi aku sedang berdiri senyap. Kemudian aku hendak pergi memandu kereta. Entah kenapa kenalan aku itu menarik tangan aku atau dalam kata dia, "menyelamatkan aku".

Tiba - tiba aku seperti terbahagi kepada dua. Seolah pada waktu itu, muncul satu lagi aku - seperti roh katanya. Dengan pantas dia menangkap 'roh' aku juga. Maka, dua - dua diselamatkan.

Kemudian dia menelefon aku. Betul - betul dalam 10 minit selepas aku kemalangan.

Dia tanyakan aku di mana pada waktu itu kerana dia risau akan mimpinya. Dia cerita tentang mimpi 'buruknya', lalu aku beritahu aku baru sahaja kemalangan.

Siapa tak terkejut?

Aku terdiam. Kata aku, nanti aku telefon lagi.

Seorang lagi kenalan menghantar sms beberapa jam selepas kejadian malam tu. Tapi aku rasa dia tidak tahu yang aku terlibat dalam kemalangan.

"Zahiril, saya harap kamu tidak apa - apa kerana saya baru mimpi buruk tentang kamu."

Lebih kurang begitu sms-nya.

Sekali lagi aku terdiam. Sedangkan aku tak rasa dia tahu aku kemalangan. Dan baru sahaja semalam, seorang lagi kenalan mimpi tentang aku.

Lagi.

Tapi mungkin ini tidak dekat dengan situasi kemalangan. Agak terpesong mimpinya. Katanya, aku datang kepadanya dan bertanyakan pendapat tentang keputusan yang aku buat dalam hidup.

Entahlah.

Bila aku duduk termenung hari ini sambil menyedut nikotin dari Pall Mall merah, aku bersyukur tetapi terfikir apa metafora yang Tuhan mahu sampaikan?

Tolong jangan beritahu aku "oh itu maknanya tuhan mahu kau bersyukur nikmat dunia, oh insaflah" dan lain - lain nasihat klise yang kamu sendiri pun tidak faham erti sebenarnya nasihat itu. Kenyataan seperti itu terang - terang sudah difikirkan oleh kita, hamba Allah setiap hari.

Aku mahu makna yang lebih dalam. Yang tak mungkin akal aku terfikirkan.

Sunday, September 20

Salam Raya Gugur Jantung

Habis lah wa... Boleh pengsan lah wa macam ni. Aduhhh...

Bila tiba musim perayaan Aidilfitri macam ni, maka sana sini akan muncul gadis - gadis berbaju kurung/kebaya/kebarung.

"Kurung kebaya kebarung itu!"

Gugur jantung weh! Cair.

SELAMAT HARI RAYA SELURUH HAMBA!

Budak ni nak blah pergi Jepun nanti.
Siot, wa dah takda geng ar lepas ni.

Wednesday, September 16

momok bidadari

Dengan mengheret tubuh yang penat, aku melangkah masuk ke bilik aku. Bilik yang selama ini ruang realiti dan fantasi aku, kadang bergraviti dan kadang tidak. Aku berhenti.

Baju - baju yang masih ber-hanger yang aku campak ke atas katil sebelum keluar rumah menembak, aku perhatikan - silent.

Malasnya bukan, penatnya tidak. Memang keinginan untuk menggantung semula baju - baju itu tidak ada. Entah kenapa. Mungkin aku tahu, mungkin aku tidak tahu. Atau mungkin aku betul - betul tidak tahu, keliru. Aku yang tadi masih berdiri tegak, bergerak ke almari menukar pakaian untuk bersiap - terus tidur, hajatnya.

Tapi aku lengahkan, kejap - kejap aku bakar rokok. Kemudian aku belek blog ini, takut kalau - kalau dah berhabuk. Belum. Komputer riba namanya milik abangku, aku pinjam. Mengelap - ngelap blog yang hampir berhabuk ini.

Otak aku dijentik tiba - tiba dengan pertanyaan kenalan, suatu tempoh sebelumnya,

"Bob, kenapa dah lama tak update blog?".

Mana aku tahu nak jawab macam mana. Kerja dan apa lagi? Memang aku sedang kuat bekerja kebelakangan ini. Kerana tidak ada apa lagi yang dapat memenuhi minit - minit kehidupan harian aku.

Atau mungkin aku yang diselubungi rasa insecure. Tapi dia muncul dalam keadaan sangat indah. Bukan status atau nama, tapi memang dia. Maksudku bukan insecure, tapi hadir roh dan jasadnya.

Kau seorang bidadari yang menyerupai ibuku. Bukan momok yang aku takuti, tapi kuasa ibu yang aku hormati.

p/s: Nasihat ketuhanan adalah escapism. Beri yang nyata dahulu. Logik akal.

Thursday, September 3

robot permainan ber-bateri

Kalau aku yang terakhir, maka aku lah yang terakhir..

Aku terima, aku terima dan aku terima.

Seperti robot permainan ber-bateri yang sudah lemah, langkah - langkahnya semakin layu. Menunggu berhenti, hampa.

Aku yang biasa - biasa. Bencana.

Tuesday, August 11

pemeran harapan sedang mengharapkan

Jejak kaki ke Kuala Lumpur, mindaku dihambat kerja semula selepas beberapa hari berada di negeri bawah bayu yang menyemai senyuman dalam keindahan pelbagai detik situasi yang aku lalui.

Pengalaman sudah aku memorikan. Rasa sudah aku rasai. Pemandangan sudah aku pandangi.

Semalam, selepas pulang ke Kota Lumpur, aku terus ke Stor Teater, Dewan Bahasa Pustaka. Untuk mengejar semula keghairan teater yang aku tinggalkan untuk beberapa hari. Sampai pagi buta lamanya berlatih.

Padahal, orang lain balik terus tidur. Tapi aku tidak.

Sudahlah pagi sebelumnya aku terlepas menembak tanpa sengaja, akibat berseorangan di bilik tanpa bantuan untuk dijagakan dari tidur. Kapal terbang berlalu tanpa aku sebagai isinya. Ah, makin pening susunan dan aturan mindaku sekarang ini. Aku sudah disekolahkan disana dan disini.

Inilah antara perkara yang aku hadapi kerana berseorangan.

Gembira kerana terpilih masih terlekat, tetapi aku harus kecilkan untuk meneruskan kerja, untuk meneruskan keghairan berteater. Disana juga, ada perkara yang terjadi, yang aku dengari. Pemilihan aku disoalkan oleh individu lain.

Atau mungkin berkumpulan.

Pada aku, pertikaian dia atau mereka ini hanya menjadi bahan ketawa aku, atau juga bahan bualan bersama teman - teman aku apabila sedang berborak kosong di meja segiempat mamak nanti.

Sekurangnya, aku ada bahan untuk dibualkan. Mentaliti begitu, seharusnya ditong- sampahkan. Cumanya, tidak akan ada homeless yang akan kutip makan.

Abaikan. Mari cerita perkara lain.

Semalam aku tidur, dengan harapan apabila terceliknya mata aku, dia tidak berlari dalam mindaku lagi. Kerana ia dan dia sungguh indah yang tak dapat aku kendongkan dalam rasa. Namun, cacatnya perkara ini ialah, perasaan itu terdalam simpan.

Ish, habis lah aku.

Aku pejamkan mata, wajahnya yang terlukis.
Aku diamkan mulut, hatiku yang menyebut namanya.
Aku senyapkan segalanya, mindaku memikul dia.

Dimana - mana beb!

Esok, angin tiup, aku harap hilang. Kalau tak, aku akan kejar. Kalau aku kejar, dunia putar - putar. Maka aku ciptakan kata - kata ini,

"Apabila mata kita terkunci, pemandangan dari aku lebih hebat. Kerana kamu hanya nampak aku, tetapi.."

"AKU NAMPAK KAMU"

View aku lebih indah, sebab aku nampak kamu, tapi kamu hanya nampak aku.

Habislah, si pemeran harapan, sedang mengharapkan. Cis!

p/s: Sebenarnya, aku mahu tulis tentang perkara lain. Tapi, entahlah. Ini yang terkeluar. Yang lain itu, mungkin aku simpankan sahaja kerana terlalu mengarut dan tidak penting untuk dituliskan.

Oh ya, ini satu video untuk dikongsi tentang Projek KoKEN : Teater Kompilasi Volume II yang sedang dikerjakan. Ini video kami yang poyo.





Saturday, July 25

aku kau dan tuhan

Jikalau kata ganti nama "AKU" dan "KAU" itu dianggap kasar, biadap, kurang ajar, tidak menghormati...

apakah bermakna kita berkasar/kurang ajar dengan Tuhan setiap hari dalam doa kita?

Cannes dari pandangan burung besi

Monday, July 20

Teater Kompilasi Volume II


Yang pertama sudah dibikin, maka yang kedua pula menyusul. Inilah antara perkara yang aku kerjakan selama masa dipenuhkan. Memenuhi nafsu membikin teater, kami kembali turun ke ruang latihan, memerah serta memecahkan kepala masing - masing untuk ini.

Teater Kompilasi Volume II akan menghidangkan 2 cerita yang bertemakan "HOME". Masing - masing akan mempersembahkan karya selama masa 1 jam.

Baik. Jadi aku lekatkan sedikit informasi mengenai Teater Kompilasi Volume II, agar korang mendapat gambaran kasar, atau gambaran pandai-pandai-sendiri. Jadi jangan pandai-pandai membuat kesimpulan sendiri sebelum menonton.

Untuk mengelakkan dari terus melekat dengan gambaran pandai-pandai-sendiri, kenalah datang menonton!


Projek KoKEN : Teater Kompilasi Volume II
11 - 16 Ogos 2009
8.30 malam (11 - 16 Ogos)
3.00 petang (15 & 16 Ogos)

Stor Teater, Dewan Bahasa Dan Pustaka
Kuala Lumpur

Masuk atas sumbangan (RM20)

Untuk keterangan lanjut, hubungi
019 - 2232002 Faisal Mustaffa

http://rumahanakteater.blogspot.com

"LEGASI"
Karya & Arahan
MOIZZISR.CONG

Pelakon
TAI-YUDDIN BAKAR
DIRA ABU ZAHAR
KHAIRIL RIDZUAN
NUR AMEERA RAMLI

"NATURALISASI"
Karya
NAM RON

Arahan & Olahan
FARED AYAM

Pelakon
ZAHIRIL ADZIM
AMERUL AFFENDI
NORIS ALI


SINOPSIS LEGASI


Legasi sebuah cereka yang mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang saling mencintai di antara satu sama lain sepenuhnya akan tetapi mempunyai sisi persepsi paksi politik yang berbeza. Ia berlatar belakangkan kepada budaya politik Malaya 1940an. Cikgu Bakar dan isterinya, Cikgu Zaharah adalah elitus Melayu lepasan Sultan Idris Teachers College yang menyokong dan bersama menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Apabila KMM mulai lemah (1945), ramai pemimpin utama kesatuan itu mengambil pendirian untuk meninggalkan KMM, termasuklah Cikgu Zaharah, namun ianya tidak melibatkan Cikgu Bakar. Hal ini adalah kerana Cikgu Bakar tetap terus berpaksi kepada perjuangan KMM. Konflik persepsi politik ini terus menyelubungi kehidupan Cikgu Bakar dan Cikgu Zaharah. 50 tahun kemudian, di hari-hari terakhir Cikgu Bakar, dia sempat berjumpa dengan cucu perempuannya yang merupakan seorang liberal anthropologist, Suhaila. Bersama Suhaila, Cikgu Bakar merungkai pengalaman, pandangan, kepercayaan politiknya. Adakah Suhaila akan meneruskan “LEGASI” yang di bangunkan oleh Cikgu Bakar.


SINOPSIS NATURALISASI

Mengisahkan tentang watak Razman, seorang peguam kepada seorang ahli perniagaan yang ternama dan teman baiknya Rahmat, seorang penulis bebas. Suatu malam Razman termenung sendirian di dalam gelap. Kegelisahannya berpunca dari kes perbicaraan membabitkan ahli perniagaan tersebut siang tadi. Rahmat, yang juga merupakan teman serumah Razman yang baru pulang dapat mengesan perubahan Razman. Mereka berbincang tentang hal tersebut, kemesraan tetap ada walau kadangkala keadaan menjadi agak tegang. Nurul kekasih Razman sampai dengan keadaan marah dan runsing. Setelah dipujuk oleh Razman barulah dia tenang. Darinya diketahui bahawa Nurul mengandungkan anak Razman. Mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Malam itu Nurul tidur di situ, Rahmat marah dengan tindakan Razman. Mereka bertengkar. Pagi besoknya, Rahmat cuba menghasut Nurul dengan membuat satu helah, tujuannya untuk memisahkan hubungan Nurul dengan Razman. Setelah Rahmat keluar, Razman sekali lagi bertengkar dengan Nurul dan akhirnya Razman terperangkap dengan helah yang dicipta Nurul dan mengaku bahawa dirinya adalah lelaki gay. Nurul terkejut lalu mahu memutuskan hubungan dengan Razman. Tengah hari, Rahmat pulang membawa berita bahawa dia menghidap HIV positif.

Yeahh!!!

Jadi kawan - kawan yang kita suka boleh lah ambil poster di atas dan promote di blog - blog, atau myspace atau facebook atau apa sahaja medium kesukaan korang. Aku dahulukan dengan ucapan terima kasih daun keladi, dah tua jangan miang - miang keladi. Lepas promote tu, ambil pen dan tulis dalam diari ataupun dalam telefon canggih untuk block tarikh tu dan datang menonton.

Kalau ada first date, apa kata bawak date anda pergi menonton teater! Barulah rare! Menonton wayang, pergi dinner dah ramai orang buat. Jadi, korang buat benda yang jarang orang buat. Yeah!

Oh ya, korang juga boleh telefon nombor di atas untuk menempah tiket atau pun berborak - borak dengan Faisal. Dia tak kisah macam Aiman tak kisah. Bukan sebab apa, sebab Stor Teater tu, takdalah besar mana. Yang dulu kita buat, sambutannya macam orang cucuk ATM hujung bulan. Penuh sampai orang kena duduk atas lantai. Jadi kali ni, kita tak mahu ada yang 'mendengar' teater dari luar, bukan menonton.




Buat masa ini, korang bolehlah melawat - lawat blog Rumah Anak Teater kalau ada pertanyaan serta soalan, tidak kira soalan profesional atau peribadi untuk anak - anak RAT. Kami juga akan mengemas kini dengan beberapa temubual berbentuk tulisan dan video, dengan mereka ini. Layannn!

Monday, July 13

adik sekolah berbahasa

Pernah sekali sewaktu aku sedang menembak bersama teman - teman sepenembak dan ditembak, kami didatangi oleh sekumpulan adik - adik comel, jelita, cute dan lain - lain perkataan indah buku teks.

Kenapa buku teks? Kerana aku kaitkan dengan umur mereka. Masih belasan, kata mereka. Teman - teman aku (sepenembak dan ditembak) pun agak terkejut dengan fizikal mereka yang dikatakan masih belasan itu.

"Nampak matang", tegur seorang teman.

Mereka juga pemeran tambahan untuk filem yang sedang ditembak waktu itu. Mereka berbaju sekolah, meminta untuk bergambar bersama, beramai - ramai. Maka, kami pun dengan senang hati bersetuju. Sekurang - kurangnya ada juga pembunuh kebosanan di lokasi menembak.

Kemudian, kami semua berbual, berborak, bergelak ketawa dan lain - lain aktiviti terhad yang dapat membunuh kebosanan serta mengalihkan minda dari ketidakselesaan panas matahari.

Setelah cukup waktu berehat, kami pun dituntut untuk menyambung kerja. Lalu, salah seorang daripada adik - adik pembawa keceriaan tadi pun bertanyakan pada aku bagaimana untuk menghubungi aku melalui internet.

Myspace dan Facebook sangat sinonim dengan mereka.

"Kalau adik pandai cari, mesti jumpa abang punya". Aku merahsiakan identiti, kononnya misteri.

Dengan reaksi penuh yakin, budak tu pun menggangguk bersetuju. Memang dalam kepala aku, adik ni pasti mahir tentang selok - belok Myspace dan Facebook.

Dan dalam kepala juga aku sudah tergambarkan photo - photo 'shot-amik-sendiri' atau 'shot-pantulan-cermin' miliknya. Haha..

Biasalah.. bisik aku. Aku akur.

Tapi, kata - kata terakhir sebelum dia meninggalkan aku, memberi seribu tanda tanya pada aku. Benar - benar seribu tanya.

"Nanti kalau dah add, jangan lupa komen my peach!"

Peach
tu bukan buah ke
?? Uishhh, berani sungguh!


Saturday, July 4

tarikh kedepan, kita tetap jalan

Semalam aku dan segala konco - konco Rumah Anak Teater turun berkumpul bersama teman - teman baru, menggemparkan meeting yang tak berapa nak gempar. Buah agenda utamanya ialah mengenai Projek KoKEN : Teater Kompilasi Volume II yang akan kami pentaskan tidak lama lagi. Kata orang, hujung - hujung corner je.

Ya, benar. Kerana itulah aku jarang meluangkan masa bersama papan kekunci berwarna putih milik aku yang agak lapuk putihnya tetapi bersemangat menuju kekuningan.

Di atas beberapa kesilapan atau untuk menyedapkan hati, kita panggil kesalah fahaman beberapa pihak yang mengatur tempat kami mahu berteater, kami terpaksa akur untuk mengubah tarikh pementasan Teater Kompilasi Volume II, ini. Jadi sekarang, tarikhnya BUKAN LAGI 29 Julai - 30 Ogos.

Bukan. Tarikh barunya akan aku umumkan di sini kelak sehingga kepastian dimiliki. Tapi dalam dunia ni, takda benda yang pasti, ye tak? Apa - apa pun, yang pasti, kemunculannya perlu dinantikan Ogos ini. Bersiap sedia untuk mengheret rakan - rakan, girlfriend - boyfriend, daddy mummy korang semua, untuk datang memenuhkan tempat duduk Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka nanti. Jangan lupa jiran tetangga.

Bukan senang mahu membikin teater-kental-budget-rendah-tidak-komersial ini. Kami terpaksa budget hensem sahaja. Walaupun kami mirip buruh kontraktor Indonesia. Tapi itulah yang membuatkan kami mahu terus membikin teater. Dan lagi, dan lagi, dan lagi.. Bukan kerana kami mirip buruh kontraktor, tetapi..
Kerana kepayahannya.
Kerana halangannya.
Kerana keperitannya.

Lagi payah, lagi nikmat, lagi sedap, lagi berahi membikin teater.

Terus aku teringat kata - kata seorang guru, "Teater ni macam onani, yang sedapnya proses, bukan hujungnya."

Sambung.

Sebab itu lah kami memilih title projek KoKEN yang mengendong maksud - Komuniti Kental. Agaknya untuk menyedapkan hati kami sendiri juga. Ataupun tidak. Walau kami tahu, membikin teater ni tidak akan membawa pulangan yang menjanjikan kereta mewah BMW (kata seorang guru). Apatah lagi sehelai T-Shirt Ed Hardy (kata aku).

Oh, jauh sekali.

Baiklah, aku sengaja tidak mahu menulis tentang gambaran kasar Teater Kompilasi Volume II ini, kerana aku mahu simpan untuk entri yang akan datang. Disitu aku akan jelaskan lagi. Apabila hampir dekat dengan tarikh. (agaknya). Mungkin disitu.

Tetapi yang pastinya, Teater Kompilasi Volume II bukan teater komersial atau popular yang memerlukan kau memakai pakaian formal, tali leher hitam, kot dan kasut kulit gaya elitis, untuk datang menonton. Tak perlu. Janji pakai baju dan rela minda dikongsi. Chip!!

Oh, teater ini juga tidak ada 'orang terbang' teknik dari Chicago atau budget satu juta dengan menggunakan pragawati tempatan, ya! Ooopss tak sayang mulut!

(Teater itu cermin kepada masyarakat, bukan fotografi yang boleh diedit pakai photoshop)

Naturalisasi yang pernah kami pentaskan di ASWARA dulu.

Tuesday, June 16

jun 20 di batu pahat mall

Aku teringat kata orang tua - tua, "Jauh perjalanan, luas pemandangan".

Jauh?

Betul, itu lah kata kunci untuk entri kali ini. Sebenarnya takda apa pun, cuma aku nak kongsi sikit je yang aku akan berada di Batu Pahat Mall, Sabtu ni, untuk RoadTour Shout Awards, jam 2 hingga 4 petang.

Memang jauh, cuma aku tak berjalan. Aku naik kenderaan.

Jadi, takdalah rapat sangat dengan pepatah 'jauh perjalanan, luas pemandangan' ni. Mungkin ia akan jadi,

"Jauh naik kereta, luas tempat nak membuta".

Hmm... sekejap! Macam tak kena. Takpalah, abaikan.

Baiklah, jadi kalau kawan - kawan yang kita suka,

yang menetap disana,
yang belajar di sana,
yang menumpang rumah teman di sana,
yang ada sedara mara di sana,

yang tak buat apa hari Sabtu ni, di sana, boleh kita jumpa di sana.


p/s: Eh, aku nak tukar layout lah. Bosan pulak layout ni. Amacam?

Thursday, June 11

aman sahaja lah semua!

Baiklah, aku rasa kita tak perlu lagi perah otak untuk fikirkan hal serang - menyerang, tahan - mempertahan ni. Balik - balik kita pusing di tempat yang sama jugak.

Dah jadi kelakar pulak sekarang. Hehe..

Akibatnya, dua - dua pihak tak dapat apa dan tak rugi apa - apa. Ya? Cuma kita semua telah membuang masa. Itu sahaja.

Oleh itu, aman sahajalah semua. Kita nak argue sesama kita pasal perkara begini? Bukan sesama kita yang perlu kita tentang. Sepatutnya kita tentang pemerintah yang zalim, akta yang kejam dan banyak lagi isu yang lebih besar.

Sekarang kita usah hingar lagi tentang perkara ini.

Baiklah...

Sebenarnya aku tertarik dengan komentar seorang pembaca blog ini.

Miz_S

@ZA--
entry yang kamu tulis tu..aku faham point yang kamu nak smpaikan...tentang perbezaan antara manusia...tetapi perlukah kamu menulis "taksub menjadi Melayu dengan mentaliti tepu."..nah sekarang kamu sendiri sudah membezakan...apakah hanya kaum Melayu sahaja mempunyai pemikiran tepu...dan cuba kamu lihat dan berfikir sejenak dengan sebahagian komen yang dihantar...apa yang kamu perasan?

Entah macam mana, aku telah bersetuju dengan tulisan dia. Kecuali bahagian mentaliti tepu itu. Satu kenyataan yang aku harus perbetulkan, tulisan aku kepada segelintir, bukan semua. Dan itu bukannya satu perbezaan.

Terus aku teringat akan kata - kata guru aku sewaktu aku masih sedang belajar dulu,

"Kalau kita nak tahu keburukkan kita, kita tanya musuh kita, bukan tanya kawan" - Nam Ron, skrip Naturalisasi.

Cuma aku tak menganggap Miz_S sebagai musuh, tetapi dia cuma salah seorang pembaca yang tidak sependapat. Itu sahaja.

Ada betulnya tulisan dia. Aku terima.

Jadi kawan - kawan yang kita suka, kita berhentilah mengutuk atau mengata orang yang tidak sependapat dengan kita ya?

Kita tak perlu terlalu defensif,
kita tak perlu menghina orang lain,
kita tak perlu mengata mereka.
hanya kerana mereka tidak sependapat.

Kalau kita terus provoke, maka perkara ini takkan kemana. Dan aku percaya juga, segelintir mereka di forum tempatan itu bukannya orang jahat, mereka juga sama seperti kita, manusia. Cuma mereka punya sedikit kemarahan yang perlu dilepaskan. Kita biar mereka lepaskan ya? Mereka juga punya hak bersuara.

Yang penting, kita hormat pekerjaan manusia lain.

Ini negara, semua orang boleh bersuara!

Aman sahaja lah semua!

Yeah!!

Tuesday, June 9

aku buruh kontraktor indon

Aku terpanggil untuk membaca komentar - komentar serta kritikan berasaskan emosi di sebuah forum tempatan. Aku tak tahu samada aku perlu beritahu forum apa, atau tidak.

Mungkin tak penting.

Dah lama aku baca dan aku terganggu dengan bahan bualan serta luahan kurang-kemanusiaan sesetengah mereka ini, tetapi telah aku abaikannya. Kemudian, terbaru, salah seorang pembaca blog ini atau juga kawan - kawan yang kita suka, telah mengesyorkan aku untuk melawat sambil membaca di forum yang lain tetapi masih di atas tapak yang sama. Jadi sekarang, ada beberapa bebenang (thread) pasal isu ni.

Aku agak terganggu dengan komentar - komentar manusia yang gemar membeza - bezakan manusia lain ni sebenarnya! Baik, aku mula memupuk kemarahan sekarang.

Antara komentar sebahagian daripada mereka ini ialah mengenai rupa fizikal aku yang katanya tak ubah seperti buruh kasar/kontraktor Indonesia. Walaupun komen - komen ini sebenarnya sudah jauh terpesong dari topik forum itu, aku tetap tidak terganggu.

Memang aku tak terganggu kalau orang kata muka aku macam kontraktor. Nak buat macam mana kan? Diaorang suka muka - muka Pan Asian agaknya. Disebabkan mentaliti beginilah industri kita dipenuhi dengan muka - muka cantik tanpa mengira kualitinya. Disebabkan mentaliti beginilah yang menyebabkan pembikin filem dan produser tempatan memenuhkan filem dan drama mereka dengan rupa paras sahaja. Tapi tak mengapa, perkara - perkara mengenai fizikal ini jarang mengganggu minda aku. Otak aku tak punya ruang untuk isu - isu begini. Jadi, kalau nak kutuk muka aku, kutuklah. Aku tak terganggu.

Tapi kalau kau beritahu aku yang sistem pilihanraya di negara ini dihapuskan, YA, aku terganggu!

Kalau kata beritahu yang sistem monarki akan diguna pakai dan diberi kuasa pemerintahan secara mutlak, YA, aku sangat terganggu!

Walau macam manapun, kalau aku tak terganggu sikit pun pasal forum tu, takkan aku tulis entri ni, ya tak? Memang aku ada terganggu bila mereka ini mengutuk buruh serta kontraktor Indonesia. Hebat - hebat diaorang kutuk, seolah menghina dengan dahsyat tentang buruh - buruh Indonesia yang diletakkan di bawah tahap paling bawah.

Itu yang aku terganggu. Kerana muka aku macam buruh, kenapa pulak buruh - buruh Indonesia yang jadi mangsa? Apa yang hina sangat buruh / kontraktor Indonesia tu semua? Atau soalan yang lebih kasar bunyinya,

Apa korang lagi mulia ke dari buruh / kontraktor Indonesia tu??

Aku tahu mungkin ada yang akan berfikir kerana buruh / kontraktor Indonesia kebanyakkannya pendatang haram dan selalu melakukan jenayah. Tapi itu bukan sebab yang kuat untuk korang menghina buruh - buruh ini. Kau tahu tak yang berada di Malaysia secara haram dan melakukan jenayah, hanya berapa peratus sahaja dari populasi sebenar penduduk Indonesia? Jangan keseluruhannya menjadi mangsa!

Terus sahaja dengan senang hati mereka mengangkat diri sendiri lebih mulia dari buruh / kontraktor Indonesia.

Beb, mana lu punya sifat kemanusian? Dah tenggelam dalam ketaksuban menjadi Melayu ke?

Dengan penggunaan bahasa yang shortform-ala-sms-dengan-awek, aku tertawa kecil membaca gelagat mereka ini. Aduhh.. sedih

Apalah yang ada pada diri kita sehingga nak mengutuk dan menghina para kaum buruh yang telah berpenat lelah membina bangunan pencakar langit demi mengejar globalisasi yang diaorang idam - idamkan. Kan? Itu yang korang nak kan?

Nak kejar globalisasi, nak bangunan gempak - gempak, nak nampak kita maju, kononnya.

Sekali lagi, sejujurnya aku tak da hal kalau orang nak kutuk muka aku, tapi tak perlu menghina para buruh / kontraktor Indonesia kerana mereka juga manusia atau dalam kata lain hamba Allah. Benda - benda macam ni lah patut dibuang dari pemikiran kerana kelak ia akan mempengaruhi anak - anak kita untuk membenci manusia lain dan serta - merta merasa bongkak dengan diri sendiri atau terlalu taksub menjadi Melayu dengan mentaliti tepu.

Jadi aku syorkan lain kali kalau nak kutuk muka aku, korang boleh cakap muka aku macam jalan tar ke, macam berus tandas ke, macam jamban ke atau apa - apa benda lain. Sekurangnya kau tak menghina manusia lain. Aku bukan back up Indonesia, aku back up manusia.

Beb, belajar jadi manusia dulu baru jadi Melayu. Dan kurangkan membaca gossip artis tempatan atau cerita - cerita seram Mastika.

Dengan selamba dan senang hati ingin aku tekankan yang forum tu tidak bermasalah, cuma segelintir daripada forumer itu je yang mengamalkan sikap prejudis sesama manusia. Ada pulak yang salah makan.. Aduhhh...

p/s: Nak tengok aku lebih 'Indon'? NAH! Hehe!

Pengarah - pengarah Teater Kompilasi Volume 1.

(Star-Ecentral.com)
Next up, Projek KoKEN : Teater Kompilasi Volume 2, AKAN DATANG!

Dah tahu pasal Shout! Awards? Aku ada di dalam. Hehe... http://www.8tv.com.my/shoutawards/
Kawan - kawan yang kita suka boleh vote kalau terdetik di hati ya? Secara online atau sms. Ada 2 kategori, pertama, Best On Screen Chemistry - dengan cik Liyana Jasmay (untuk filem KAMI) dan satu lagi.. korang cari sendiri eh? Sebab aku malu, haha!

Baiklah, Kawan - kawan yang kita suka, jumpa di tayangan filem GADOH, Jumaat ni dan lepas tu boleh tengok telemovie "100 Harijadi" di ASTRO Ria jam 10.30 malam.

Banyak pulak benda aku nak umumkan.. Eyysshh!

Hidup buruh dan kaum tani!

Tuesday, June 2

hari bintang jatuh 09 3 venus

Kelmarin aku pergi Hari Bintang Jatuh 09 : 3 Venus.
Melayang - layang aku dalam bilik tu.
Puisi dan melodi mereka menghilangkan graviti.

Bagus budak - budak ni. Bikin aku melayang - layang lagi dalam kereta bersama CD mereka.

Habis bila aku nak pijak bumi ni?

http://waniardy.com

p/s: Wa dah kata wa pantang dengan kurung / kebaya ni... Heyshh...

Cik Wani Ardy, kamu pasti kamu bukan anak patung?

Friday, May 29

gadoh lagi!

Filem GADOH sekali lagi akan ditayangkan di HELP University College pada 12 Jun 2009 ini. Terima kasih KOMAS, sebab aku terlepas tayangan pertama hari tu.

Ya, aku akan berada di sana. Insyaallah.

Jadi, kawan - kawan yang kita suka, yang terlepas tayangan yang pertama hari tu, bolehlah datang menonton filem arahan NAMRON dan BRENDA ini pada pukul 8 malam.

Filem ini dibikin untuk tujuan pendidikan. Sekali lagi bagi yang tak faham bahasa,

PENDIDIKAN.

Tentang isu perkauman yang sedang berlegar - legar di sekitar kita. Jangan buat - buat tak tahu. Memang masalah ini wujud. Tapi filem cereka ini dibikin bukan untuk menjatuhkan mana - mana bangsa. Kalau kau rasa filem ini ada tujuan samada kecil atau besar untuk menjatuhkan mana - mana bangsa, aku rasa kau harus kurangkan membaca gossip artis tempatan dan mula membaca atau menonton perkara - perkara yang lebih matang atau ilmiah.

Kerana mentaliti kau sudah tepu dan terkunci. Lebih malang, kau sedang selesa dengannya.

Seperti yang kita semua dah tahu, trailer GADOH sedang disiarkan di Youtube. Dan seperti yang aku juga sudah tahu yang kamu semua tahu dan faham apa itu "trailer".

Petikan, atau 10% atau lebih atau kurang dari cerita penuhnya. Jadi bagaimana kita boleh membuat kesimpulan tentang ceritanya jika kita tidak menonton cerita penuhnya?

Aku ada terbaca tentang komen - komen di website KOMAS dan juga Youtube. Memang seperti yang aku jangka, bangsa aku sendiri mesti ada yang melatah.

Individu ini marah kerana katanya mereka berjuang untuk bangsa mereka. Eerrr.. berjuang di tempat yang salah dengan mentaliti yang tepu, mungkin?

Lebih menyedihkan bila aku terbaca satu komen yang memperjuangkan Melayu (kononnya) tetapi dengan menggunakan bahasa yang aku tak pasti samada itu bahasa Melayu atau tidak.

"Blew"
"Ctew"
"fuck offlah!"

Sekarang kawan - kawan yang kita suka beritahu aku, adakah itu bahasa Melayu??

Aku kurang pasti apa yang individu - individu seperti ini cuba buktikan. Ini cuma filem cereka yang dibikin tanpa memikir soal keuntungan tetapi bertujuan untuk mendidik serta memecahkan tembok perkauman.

Sekurang - kurangnya, sebiji bata dari tembok itu pun cukuplah. Ini cuma usaha.

Aku dengan rendah diri menunduk ke bumi, hamba kepada Maha Pencipta Allah S.W.T, sangat - sangatlah berharap agar kawan - kawan yang kita suka,

Tidak ada pemikiran seperti itu.

Tolonglah. Keluarlah dari kotak pemikiran tepu itu yang boleh membunuh sifat kemanusiaan kita.

Aku hargai.

Credit to Beto Kusyairy dan KL Motion Pictures


Bangsa itu cuma label manusia kerana kita semua adalah hambaNya.

BANGSA MALAYSIA.

Monday, May 25

sudah pulang

Baik, sudah pulang.

Terlalu banyak perkara dalam kepala aku yang sampai aku pun tak tahu nak tulis macam mana. Aku menyaksikan terlalu banyak perkara, terlalu banyak imej dan macam - macam.

Ilmu, juga aku dapat. Itu yang penting.
Pengalaman, inspirasi tercetus.
Kesungguhan, passion.


Berada di Festival Filem Cannes, betul - betul satu pengalaman. Biasa atau luar biasa, bergantung kepada cara aku menggunakannya kelak.

Aku malas nak tulis atau berkongsi pengalaman dari mula -mula memijakkan kaki disana kerana ia pasti akan membosankan untuk dibaca. Seperti diari jadinya nanti. Cuma ada beberapa perkara yang betul - betul melekat dekat aku untuk dibawa pulang ke kehidupan asal.

Berkunjung bersama orang - orang yang bagus (great people) membuatkan perjalanan aku lebih menarik.

Berbual, bergelak ketawa, berkongsi pengalaman, bertukar pendapat, berbincang dengan macam - macam orang termasuk pembikin, pengarah, pelakon, pencinta filem dan lain - lain, dari seluruh dunia telah mencelikkan aku yang mencetuskan inspirasi serta membakar semangat untuk melakukan apa yang perlu dilakukan di sini.

Juga terhadap kehidupan.

Persekitaran yang baru dan cuaca yang bagus telah membawa aku ke ruang khayalan yang akan menolak aku untuk melakukan sesuatu yang lebih bermakna atas diri sendiri.

Apa lagi yang mahu aku kongsikan, terlalu besar impiannya.

Demi menjaga kawalan kualiti produksi, aku diarahkan untuk tidak menyiarkan terlalu banyak gambar. Ya, kerana akan ada yang menyalah gunakan ia. Hak milik tidak dihormati nanti.

Akan tetapi aku akan cuba berkongsi beberapa gambar yang aku fikir tidak akan mencetuskan kecurian hak milik.










Oh ya, kami juga ada bertemu dengan beberapa orang pelajar dari Malaysia di sana. Aku sungguh teruja berjumpa dengan mereka. Benar - benar aku hargai kehadiran mereka ke tayangan hingga ke sesi soal jawab.

Lebih banyak gambar akan datang...


Wednesday, May 20

selesema babi dubai

Sedang berehat menikmati kopi bikinan Dubai.
Sementara menunggu penerbangan ke Nice dan kemudian ke Cannes.

Di sini. Di lapangan terbang Dubai. Yang dimana manusia datang dari seluruh dunia untuk ditransitkan.

Berapa orang sahaja yang memakai topeng pengelak selesema babi H1N1. Aku boleh kira pakai jari kiri sahaja.

Katanya wabak bahaya.

Atau kita sahaja yang terlalu paranoid?

p/s: Maaf, aku tak boleh upload gambar. Kemudahan dan peralatan di dalam bagasi. Aku sekarang sehelai sepinggang hanya duit dan tubuh yang kecil.

Thursday, May 14

gadoh screening


Apa?
Mau Gadoh?
Mari lah!
Tau kat mana?

Haa.. lu tak tau, wa kasi tau sini!

"Gadoh" arahan Brenda Danker & Namron akan ditayangkan pada 22 Mei 2009 ni, dekat HELP Univerisity College. Memang takkan keluar TV punya, jangan risau. Kalau keluar TV, aku rasa ramai yang akan telefon Nizam Kring Kring, atau Soseh Soseh. Mungkin lah..

Kalau nak baca sinopsis dia, korang boleh masuk website KOMAS kat bawah ni. Tapi aku boleh kongsi sikit cerita dia.

Sikit lah tak banyak pun.

Cerita pasal isu perkauman di kalangan pelajar - pelajar sekolah. Dari mana datangnya didikan perkauman tu? Sudah tentu mereka dibesarkan di rumah sebelum ke sekolah kan? Kebanyakkan daripada budak - budak ni, dididik secara tak langsung oleh mak bapak diaorang yang rasis.

Budak - budak sekolah ni (Melayu dan Cina) memang suka bergaduh. Suka sangat. Macam ahli parlimen suka gaduh dalam dewan. Tapi sebenarnya mereka tak tahu pun apa yang mereka gaduhkan. Perkauman, tapi tidak ada sebab yang kuat.

Sehinggalah sampai suatu hari mereka (Melayu & Cina) didenda. Mereka harus mengikuti kelab teater di sekolah itu dan perlu membuat satu pementasan bersama.

Hehehe.. E'eh, gelak pulak aku ni.

Jadi, kawan - kawan yang kita suka kalau berada di sekitar Kota Lumpur atau berhampiran pada tarikh dan waktu tersebut, boleh lah datang menonton.

Sebuah Filem
Big Pictures Production

Dibintangi oleh
Namron
Zahiril Adzim
Nick Davis
Amerul Affendi

Turut DiBantu oleh
Chew Kin Wah
Maya Arissa Tan Abdullah
Ryan Lee Bhaskaran
Khairil Ridzuan
Intan Diyana
Muhd Hilmi Che Azman
Ivan Chan Chee Pang
Cher Yew Kay
Yeo Keong Lee

Launch Date: May 22nd 2009
5pm for public screening

Venue:
Theatrette,
HELP University College (Main Campus),
Pusat Bandar Damansara, KL
BZ-2, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, 50490, Malaysia










p/s: Tapi aku kat tempat lain masa ni. Siot betul. Aku sendiri pun tak tengok lagi.

Saturday, May 9

eksploitasi wanita

Semalam aku lepak minum bersama sutradara AIR CON dan beberapa penggiat teater & tari tempatan. Sedang kami berbual, bertukar pendapat, mengutuk sesama sendiri, kami didatangi oleh gadis - gadis berskirt pendek dan baju - baju yang agak tidak sesuai dalam ruang yang sungguh berhawa dingin begitu.

Mereka menjual rokok.

Aku tidak ada masalah dengan rokok yang mereka jual itu. Juga, aku tidak ada masalah dengan gadis penjual rokok yang menggiurkan itu. Cuma aku terfikir kenapa syarikat penjual rokok dan beberapa syarikat lain menggunakan perempuan untuk menjual rokok.

Dan kalau kita tengok syarikat kereta, telefon, kamera dan banyak lagi, yang juga menggunakan atau dalam kata lain,

mengeksploitasikan wanita.

Kalau kita berjalan di mana - mana, katakan di Midvalley dan sedang berlangsungnya promosi menjual kereta-bapak-mahal, pastinya lebih mahal harga kereta itu, lebih pendek skirt dan lebih terlopong dada gadis penjual kereta itu.

Begitu juga bila kita berjalan di PC Fair. Yang memegang kamera, printer dan barang - barang elektronik lain, pasti perempuan/gadis/wanita. Lelaki hanya duduk di belakang kaunter mengira keuntungan. Berapa sangat je gaji gadis - gadis itu?

Bukan. Aku tidak ada masalah dengan perempuan/gadis/wanita seksi. Tidak sama sekali, itu hak mereka berpakaian. Baguslah jika mereka nak tunjukkan yang mereka menjaga kulit. Aku faham.

Tapi aku cuma bermasalah dengan para kapitalis yang mengeksploitasikan mereka untuk keuntungan.

Bila hari ini, aku berjalan membeli rokok di sebuah kedai majalah, aku lihat ramai juga perempuan/gadis/wanita yang dieksploitasikan untuk meningkatkan penjualan majalah.

Biar orang kata, "Wah! Cantiknya covergirl majalah ni, aku kata, "Wah! Semakin banyak wanita dieksploitasikan!". Malangnya, yang dieksploitasikan ini tidak sedar, malah lebih teruja.

Adakah mereka ini sedar bahawa mereka sedang dieksploitasikan? Kalau betul mereka setuju untuk dieksploitasikan, baguslah kerana mereka sendiri yang mahu. Sekurang - kurangnya mereka tahu apa yang mereka buat. Kalau begitu, andaikata mereka sedang berjalan di pasar malam, ada tangan yang menggenggam punggung mereka, mereka mahu marah? Separuh badan sudah dipertontonkan, mesti ada yang mahu merasa pula, kan?

Aku tidak ada masalah dengan sesiapa yang pernah menjadi covergirl/boy, kerana aku sendiri pernah muncul di muka depan majalah. Tapi isinya dibualkan mengenai hasil kerja aku. Bukan isu covergirl/boy yang aku tekankan disini. Harap maklum.

Tun Mahathir, Anwar Ibrahim pun pernah banyak kali keluar mukasurat depan majalah TIME. Aku tidak ada masalah.

Walau bagaimanapun, isu ini sebenarnya sudah lama dibualkan, dibincangkan. Namun tiada penghujungnya, malah semakin hebat. Agak basi sebenarnya. Cuma aku terdetik untuk menulis kerana aku terfikir,

Apakah kemodenan hari ini harus berjalan seiring dengan buah dada wanita?

Kalau ya, aku mungkin ketinggalan zaman.. Haha!

Bukti yang aku tidak ada masalah dengan covergirl (Kiera Knightley) Haha!

p/s: Tapi tetap tidak cukup kuat untuk aku membeli mana - mana majalah yang ada mukanya, yang pada aku, majalah tidak ada isi. 80% hanya lah iklan. Aku maki hamun sorang - sorang.

Ouh ya, aku ada seorang rakan lelaki yang takdahal untuk dieksploitasikan. Malangnya tidak ada sesiapa yang mahu menggenggam punggungnya pun? Haha..

Ouh, dunia sudah gila.. Aku juga!

Thursday, May 7

pekan sekinchan

Pekan Sekinchan sebuah pekan kecil. Terik mataharinya bersaing hebat dengan derasan bayu. Yang bikin aku keliru untuk merasakan yang mana satu kerana dua - duanya dalam masa yang sama. Motorsikal di sini jarang digunakan untuk merempit, sebaliknya sebagai transportasi buat anak muda khatam belajar di sekolah.

Kedai - kedai kopi peneman pakcik - pakcik berkongsi pengalaman sebagai seorang suami, bapa dan juga seorang rakyat. Beer - beer di restoran Cina menjadi kepastian untuk uncle - uncle melepas lelah pasca perniagaan.

Padang bola jarang kelihatan melainkan padang padi menghijau indah ciptaanNya. Premis kedai agak rapat - rapat dihimpit jalan tar yang menampung kenderaan penduduk. Sarap - sarapan sampah kelihatan diabaikan di beberapa sudut ruang yang diagaknya tidak akan dipandang.

Tapi tak mengapa.

Apa yang paling menarik di sini ialah, sekurang - kurangnya tidak ada yang terlalu teruja nak jadi selebriti di sini.

p/s: nanti wa upload gambar.